Sesekali kena juga jaga tepi kain orang

Sesekali kena juga jaga tepi kain orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI rakan mahu kami mengulas tentang konsep karamah insaniah dalam keadaan negara beralun dengan pelbagai dimensi isu, budaya serta polemik yang menyentuh pemikiran dan firasat ramai orang. Masih ingat lirik lagu ini? Hidup bagaikan pentas opera, tirai hidup dibuka, cerita pun bermula.

Daripada lirik ini, kami membawa penerokaan anda berkaitan konsep karamah insaniah dari penelitian dan pengamatan kami berdua.

Mungkin wujud pihak-pihak yang tidak berapa selesa dengan kata berbunyi Arab ini, namun dari hal bersifat sejagat, sebenarnya bahasa yang dipinjamkan ini akan dimesrai oleh kebanyakan kita demi memartabatkan maknanya yang tinggi. Kami berikan contoh, lihat sahaja pada kata ‘jenazah.’ Kata ini telah menyatupadukan kita semua tanpa disedari. Kenderaan membawa jasad tidak bernyawa tidak kira apa bangsa disepakati menggunakan ‘van jenazah’, tidak pula kita memilih kata ‘van orang mati.’

Perkongsian ini adalah realiti masyarakat kami tampilkan dari sudut ilmu, akhlak dan budaya yang cukup halus serta memiliki signifikan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Seharian kita rentasi waktu serta udara dan cahaya yang sama ini, membangkitkan sifat kebersamaan, kekitaan serta kecintaan cukup tinggi kepada nilai murni, kasih sesama rakyat tanpa berasa prejudis dan prasangka, sudah tentu menyerlahkan sisi karamah insaniah dimiliki oleh rakyat.

Menurut Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, tahun lalu, Indeks Perpaduan Nasional yang dilaksana secara bersama dengan Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia berada pada tahap 0.62 berbanding 0.57 (2018). Walaupun ada peningkatan, harus dilihat dengan jujur berkaitan sejauh mana masyarakat kita menghayati konsep karamah insaniah ini.

Perpaduan akan menjadi utuh dan memberikan impak hebat sekiranya konsep karamah insaniah berjaya dipraktikkan oleh seluruh rakyat.

Hal ini kerana semangat perpaduan adalah aspek penting dalam menjaga keharmonian dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama. Ini membantu membina masyarakat bersatu padu dan menghormati kepelbagaian yang ada. Mahu tak mahu, kita semua perlu merancang dan mengadakan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan yang mendorong kerjasama dan persefahaman antara individu serta komuniti.

Budaya berwacana dan berforum dalam talian yang kita jalani semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harus didimensikan dengan lebih kreatif dalam kalangan komuniti, bukan semata-mata kerana mematuhi arahan bekerja oleh majikan. Melaluinya kita akan dapat meluaskan lagi komuniti dari seluruh negara malah rakyat di luar negara juga menjadi lebih dekat, bersatu padu dan harmoni.

SERBA PANTAS

Kehidupan serba pantas dan sentiasa bersaing termasuk anak-anak di bangku sekolah dan institusi pengajian tinggi amatlah dibimbangi tidak dapat menangani tekanan serta momentum budaya global yang boleh menjejaskan tumpuhan, emosi, komunikasi serta psikologi.

Menurut George Lim Shyun Jen dan Lee Yok Fee (2011), generasi Y adalah golongan muda yang diperbesarkan dan disosialisasikan dalam persekitaran internet. Sejak dilahirkan, perkembangan mereka diiringi teknologi informasi pesat malah menurut pengkaji ini lagi, dalam proses sosialisasi, sama ada formal atau informal, kehidupan mereka berkait rapat dengan penggunaan komputer dan layaran internet.

Tidak hanya generasi Y, warganegara produktif hari ini juga adalah pengguna internet yang aktif. Matlamat untuk mengharmonikan setiap sudut inilah amat penting bagi keselamatan dan kemakmuran jangka panjang negara. Selain itu, dalam kepelbagaian latar belakang tingkat kehidupan masyarakat, budaya yang mengutamakan pertimbangan, pengiktirafan, perhatian dan sokongan kewangan sewajarnya perlu diberikan perhatian oleh pihak-pihak berkaitan bukan hanya dalam bidang pendidikan tetapi juga berkaitan perawatan dan penjagaan kesihatan khususnya kesihatan mental.

Sikap saling cakna merupakan perkara yang kami rasakan amat perlu dalam hidup bermasyarakat. Kesempatan saya (Jessica) berada di Bangkok dalam menyampaikan ucaptama bertajuk Kesedaran Pengaruh dan Impak Media Sosial telah menyuntik semangat perlu ambil tahu dan mengambil berat jiwa remaja yang terdedah dengan pelbagai cabaran dan dugaan dalam dunia pendigitalan. Seorang pelajar dari Bangkok menyuarakan rasa kesal kerana tidak ambil tahu yang rakan sebiliknya mempunyai masalah akibat serangan siber sehingga kesihatan mentalnya terganggu.

Sikap tidak cukup ambil berat yang ditunjukkan oleh dirinya kepada rakannya itu menghantui hidupnya hingga kini kerana rakannya membunuh diri dan meninggal dunia di hadapannya atas serangan siber yang ekstrem. Remaja itu kini mengharapkan masyarakat perlu peka dan ambil tahu ungkapan usah menjaga tepi kain, kita gantikannya dengan nilai kasih sayang dalam masyarakat.

Berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) contohnya, saya (Rabi’ahtuladawyah) melalui pengalaman seorang pemuda India yang patah kakinya dan dipasang dengan kerangka besi hadir seorang diri. Menolak sendiri kerusi roda dalam serba kepayahan membuatkan jururawat bertanyakan bagaimana dia hadir dalam keadaan yang begitu menyukarkan. Dengan kepala tertunduk mengawal emosinya memaklumkan kepada jururawat yang dia datang sendirian dengan ‘Grab.’ Tersentap perasaan saya, bagaimana pemuda ini dalam keadaan sukar menghadapi pengalaman ini sendirian? Di manakah kaum keluarganya? Di manakah rakan-rakannya? Di manakah jiran-jirannya terdekat?

Daripada secebis pengalaman ini, jelaslah betapa pentingnya konsep karamah insaniah ini diperkukuhkan dalam masyarakat agar hal dialami remaja di Thailand dan pemuda di HKL tidak akan berlaku secara berleluasa. Kita mesti bangkit sekarang, mula melihat, mendengar, mengambil cakna, bertanya, saling bersapa untuk menunjukkan keprihatinan kita antara satu sama l ain.

Kesemua ini tidak lain hanya mahu membantu dan siapa pun kita, saling cakna dan membantu ini sudah tentu akan menjadikan kita dan masyarakat dapat hidup dalam budaya tinggi berakal budi. Selamat Hari Malaysia ke-60! – UTUSAN

Profesor Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Majlis Profesor Negara dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Rabi’awhtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa di Dewan Bahasa & Pustaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×