PETALING JAYA: Keputusan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menarik sokongannya kepada Kerajaan Perpaduan akan menyebabkan dirinya dikenang sebagai pengkhianat dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH).
Persepsi itu juga akan menyebabkan parti pimpinannya Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) meniti masa depan gelap dan sukar bahkan mungkin Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) adalah pilihan raya terakhir parti itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, tindakan Syed Saddiq itu akan dikenang sebagai ‘menikam’ kerajaan kerana keputusannya mengakibatkan kerajaan hilang majoriti dua pertiga ahli Parlimen.
Menurut beliau, keputusan tersebut sekali gus merencatkan reformasi yang mahu dilaksanakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuklah persempadanan semula.
“Perlu diingat bahawa kemenangan Syed Saddiq di Muar adalah di atas ihsan sokongan pengundi PH, jadi dengan tindakannya itu, masa depan beliau dan Muda dalam politik akan menjadi sukar.
“Beliau akan dikenali sebagai pengkhianat dalam kalangan penyokong PH dan BN (Barisan Nasional),” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, Syed Saddiq berhak berbuat demikian namun mengingatkan ahli politik itu bahawa dirinya masih muda dan masih jauh perjalanannya dalam politik.
Semalam, Syed Saddiq, secara rasmi menarik diri sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan berkuat kuasa serta-merta dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga dalam Dewan Rakyat.
Kata Syed Saddiq, punca utama tindakan itu adalah kerana langkah Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, akhir-akhir ini dilihatnya bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Muda berpegang teguh kepada prinsip Kedaulatan Undang-Undang dan beberapa keputusan yang dilakukan oleh kerajaan baru-baru ini bertentangan dengan prinsip dan nilai tersebut.
“Isu integriti dan budaya rasuah turut menjadi faktor mengapa Muda mengambil keputusan untuk tidak lagi menyokong Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berpendapat bahawa Muda akan menjadi parti picisan jika mahu bergerak solo pada PRU16.
Menurutnya, tiga pilihan raya yang disertai Muda menunjukkan bahawa kemenangannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dan Parlimen Muar adalah disebabkan ihsan PH.
“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Muda hanya menang satu kerusi (Puteri Wangsa), di PRU16 hanya satu kerusi (Muar) dan hilang deposit pada PRN enam negeri yang lalu.
“Masa depan Muda gelap jika mahu bertanding solo dan akan menjadi parti picisan. Bayangkan parti yang diterajui bekas Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) sendiri pun kalah hilang deposit pada PRU16,” katanya. – UTUSAN










