90% beras import kuasai pasaran, beras tempatan sekadar isi rak

90% beras import kuasai pasaran, beras tempatan sekadar isi rak

KEBANYAKAN pasar raya dan kedai runcit dipenuhi beras import berbanding tempatan di sekitar Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Beras import menguasai lebih 90 peratus di pasar raya dan kedai-kedai runcit sekitar negeri ini berbanding beras tempatan yang sekadar melengkapi rak-rak makanan ruji itu.

Daripada lima jenis jenama beras merangkumi berat lima dan 10 kilogram di pasar raya di sini, dapat dilihat hanya satu atau dua jenis jenama beras tempatan malah di sesetengah kedai runcit pula, semua jenis beras import.

Situasi tersebut menimbul­kan persoalan mengenai ma­salah kekurangan bekalan beras tempatan sejak kebelakangan ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar raya dan kedai runcit sekitar negeri mendapati, rak-rak dipenuhi beras super import dan sebenarnya ia bukanlah perkara baharu kerana sudah berlarutan sekian lama.

Bagi pengguna dan peniaga khususnya, mereka tidak ada pilihan terpaksa memberi beras import meskipun harga lebih tinggi berbanding beras tempatan iaitu RM26 bagi 10 kilogram berbanding import antara RM30 sehingga RM32 bagi berat sama.

Seorang pemilik kedai runcit di sini yang enggan dikenali berkata, sejak seminggu lalu bekalan beras tempatan sudah tidak ada di premisnya dengan bekalan semuanya beras import.

Katanya, jika ada sebelum ini, hanya beras tempatan bagi kampit lima kilogram.

“Beberapa hari lalu, bekalan beras tempatan tidak lagi dihantar ke kedai, tidak pasti disebabkan apa. Sebenarnya kebanyakan kedai atau pasar raya banyak beras import.

“Ia bukan perkara baharu memandangkan sebelum ini beras import yang menguasai pasaran di kedai-kedai,” kata­nya.

Seorang pengguna, Fazilah Kassim, 32, berkata, lazimnya dia membeli beras tempatan kerana harganya lebih murah.

Katanya, disebabkan sesete­ngah kedai tidak ada bekalan beras tempatan, dia terpaksa membeli beras import yang harga sedikit lebih tinggi.

“Namun, sejak ada jualan Rahmah yang harganya lebih murah, kami sekeluarga akan ke lokasi-lokasi jualan berkenaan setiap minggu,” kata suri rumah ini.

Seorang lagi peniaga, Hazrol Hafiz Hashim, 39, berkata, setiap hari dia menggunakan 30 kilogram beras bagi menyediakan nasi lemak dan beberapa lagi hidangan lain.

“Kerana bekalan beras tempatan berkurangan, saya terpak­sa membeli beras import yang harganya sedikit lebih tinggi. Harga beras tempatan boleh dikawal berbanding import tidak terkawal,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×