ARAU: Jumlah belian padi di kilang menunjukkan kemerosotan sehingga 30 peratus dalam tempoh 10 tahun sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan keterjaminan makanan negara khususnya membabitkan makanan ruji rakyat Malaysia itu.
Malah, sejak kebelakangan ini juga beras tempatan di pasaran juga semakin berkurangan dengan beras import menguasai hampir sepenuhnya pasaran khususnya di pasar raya dan kedai-kedai runcit sekitar negeri ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizi Marzukhi berkata, 10 tahun lalu, jumlah belian padi di kilang mereka sekitar 10,000 tan metrik semusim.
Bagaimanapun ketika ini katanya, jumlah belian hanya sekitar 6,000 ke 7,000 tan metrik iaitu pengurangan sehingga 30 peratus.
Katanya, jumlah belian oleh pihak kilang juga bergantung di peringkat ladang jika tanaman bermasalah seperti penyakit dan sebagainya, ia bakal menjadi antara penyebab jumlah belian berkurangan meskipun bilangan pelanggan kekal.
“Memang berlaku pengurangan (belian padi) dengan jika 10 tahun lalu belian kami sekitar 10,000 tan metrik semusim namun kini menguncup kepada 6,000 ke 7,000 tan metrik sahaja,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas), pegawai-pegawai tinggi Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) serta pesawah Khamis ini bagi membincangkan isu bekalan beras tempatan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata, pihak pengilang dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sudah diarah menghantar bekalan di mana-mana lokasi berlaku kekurangan beras.
Pada masa ini, Malaysia banyak bergantung kepada import makanan khususnya beras yang merupakan makanan ruji rakyat negara ini di sebalik hasil pula masih rendah iaitu sekitar 1.7 juta tan metrik beras setahun yang direkodkan pada tahun 2021.
Malaysia perlu bergantung kepada import beras sebanyak 35 peratus setahun dengan bekalan beras bagi menampung keperluan rakyat negara ini adalah sebanyak 2.4 juta tan metrik bagi tempoh itu.
Mengulas lanjut, Ezreen Muhaizi berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku tindakan memanipulasi bekalan beras putih tempatan dalam kalangan pemborong dengan menukarkan bungkusannya kepada kampit beras import.
Katanya, di peringkat kilang masih sama untuk pembekalan beras gred tempatan.
“Penguatkuasaan lebih ketat perlu dilakukan di peringkat pemborong kerana khuatir berlakunya manipulasi bekalan beras putih tempatan dengan menukarkan bungkusannya kepada kampit beras import.
“Seperti di Dibuk (kilang) kita cuma jual secara pukal kepada pemborong. Pemborong berkemungkinan akan balik untuk beras itu dikampitkan dalam bentuk 10 kilogram dan lima kilogram,” katanya.
Mengulas mengenai kawasan tanaman padi yang makin mengecil, Ezreen Muhaizi berkata, kerajaan sebaik-sebaiknya menggazetkan kawasan-kawasan yang mengeluarkan hasil padi tinggi supaya tidak semudahnya ditukar syarat untuk pembangunan lain.
“Walaupun pembangunan ini mampu memberi pendapatan baharu kepada kerajaan negeri, tetapi daripada sudut keterjaminan makanan kita akan semakin berkurangan. Bahkan daripada segi kos pembangunan perumahan dan komersial sebenarnya lebih mahal jika dibuat di atas tanah sawah kerana perlu ditambun tanah baru. Maka ia akan meningkatkan kos rumah mampu milik untuk dibeli oleh rakyat,” katanya.
“Jika dilihat daripada segi produktiviti, jelapang-jelapang padi di Malaysia mengeluarkan sekitar 5.4 tan metrik per hektar. Jauh lebih tinggi sebenarnya berbanding Thailand iaitu sekitar 3.8 tan metrik per hektar.
“Tetapi oleh kerana Thailand mempunyai tanah pertanian jauh lebih luas, maka pengeluaran padi mereka lebih banyak. Kerana itu pentingnya untuk tanah-tanah pertanian yang ada di Malaysia ini dikekalkan kerana usaha meningkatkan hasil padi akan menjadi semakin sukar jika lebih banyak tanah yang ada ditebus guna untuk tujuan lain,” katanya. – UTUSAN










