Kanser serviks adalah kanser kedua paling lazim dalam kalangan wanita Malaysia di bawah umur 45 tahun.
Bagaimanapun, dengan pemeriksaan awal dan rawatan yang sesuai, ia sebenarnya boleh dicegah.
Malah, kanser serviks juga merupakan satu-satunya kanser yang boleh dihapuskan.
Berpaksikan fakta itulah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Rose, menggunakan pelbagai pendekatan inovatif dalam membasmi penyakit itu dalam kalangan wanita di negara ini.
Program Rose yang direka khas untuk wanita ialah program saringan serviks Human Papillomavirus (HPV) primer yang menggabungkan pensampelan kendiri dan teknologi digital untuk memastikan wanita yang disaring dan dikesan dengan virus HPV akan dihubungkan untuk rawatan susulan di hospital awam.
Tindakan susulan dilakukan melalui telefon bimbit wanita berkenaan.
Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, lebih 24,000 wanita disaring setakat ini dan lebih daripada 92.5 peratus kes HPV yang dikesan telah dihubungkan kepada penjagaan.
Pensampelan kendiri ditawarkan secara percuma kepada golongan wanita yang berada dalam komuniti kurang disaring dan kurang mampu.
“Kadar sensitiviti adalah sebanyak 90 peratus dalam mengesan risiko kanser serviks berbanding 50 peratus untuk pap smear.
“Selepas selesai membuat pensampelan kendiri untuk ujian PCR HPV, anda akan menerima keputusan dalam tempoh tiga minggu yang dihantar ke telefon bimbit anda sama ada melalui pesanan ringkas atau Whatsapp,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Yayasan Rose ditubuhkan pada 2019 sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan dan yayasan amal di Malaysia.
Yayasan itu menetapkan matlamatnya menjadikan Malaysia sebagai salah satu daripada negara pertama di rantau ini yang bebas daripada kanser serviks.
Pemenang asia pertama
Sementara itu, usaha berterusan yayasan itu turut mencipta memori bersejarah apabila berjaya muncul sebagai pemenang Asia pertama anugerah global di bawah program Anugerah Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan UNIVANTS yang berprestij bagi tahun 2022.
Anugerah tersebut mengiktiraf pasukan yang bekerjasama merentas disiplin dan mengubah penyampaian penjagaan kesihatan dan akhirnya, kehidupan pesakit.
Yayasan berkenaan turut terpilih sebagai salah satu daripada tiga pemenang global teratas untuk Program ROSE (Removing Obstacles to Cervical ScrEening).
Dua pemenang lain ialah Hospital Ipswich di United Kingdom dan National Basketball Association (NBA) Amerika Syarikat (AS).
Majlis penyampaian anugerah bagi mengiktiraf program berkenaan berlangsung di ibu kota baru-baru ini.
Jelas Adeeba, tunjang kisah kejayaan program berkenaan bukan semata-mata kerana integrasi lancar pensampelan kendiri, ujian HPV Primer, platform kesihatan digital yang memanfaatkan teknologi mudah alih dan rantaian yang kukuh kepada penjagaan, tetapi juga kepada perpautan antara pendidikan, penglibatan komuniti dan advokasi.
“Kami amat berbesar hati untuk diiktiraf sebagai organisasi Asia pertama memenangi anugerah berprestij ini, yang menggariskan kejayaan Program ROSE,” ujarnya.
Tambahnya, melalui pendekatan inovatif itu, hampir 200 wanita berjaya dirawat untuk pra-kanser dan kanser peringkat awal.
Menurut beliau, model program itu bukan sahaja menangani isu kesihatan kritikal, tetapi benar-benar memperkasakan wanita untuk menjaga kesihatan mereka sendiri.
Pemeliharaan privasi dan maruah mereka sepanjang proses saringan memberi manfaat ketara dan meluas untuk pesakit, doktor dan sistem kesihatan yang lebih luas.
“Matlamat kami adalah untuk memperkasakan komuniti yang kurang disaring dan terpinggir kerana kami kekal teguh dalam misi kami untuk mencipta sejarah kanser serviks di negara ini,” katanya.










