Lihatlah mesej perpaduan di langit

Lihatlah mesej perpaduan di langit

ABDULLAH Ahmad Badawi menandatangani replika kulit buku bertajuk Abdullah Fahim Perjuangan Seorang Tokoh Agama dan Kemerdekaan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 2001.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEDARKAH kita pada tanggal 31 Ogos 1957, iaitu lebih 66 tahun lalu ketika negara ini mula mengecapi kemerdekaan, berlaku satu fenomena alam semula jadi apabila planet dan buruj (gugusan bintang) berada pada kedudukan satu kelompok di ufuk barat?

Jika direnung secara mendalam, terdapat mesej tersirat pemilihan tarikh itu, iaitu jika planet dan buruj boleh berada pada kedudukan satu kelompok, inikan pula manusia yang sudah tentu tiada alasan untuk tidak bersatu padu.

Penetapan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu ditentukan selepas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan beberapa pemimpin UMNO lain meminta pandangan daripada Mufti Pulau Pinang ketika itu yang juga pakar dalam ilmu falak, Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim.

Allahyarham yang juga datuk kepada Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyatakan tarikh 31 Ogos 1957 dalam bahasa Arab adalah am khir atana yang bermaksud tahun baik datang kepada kita.

Sebenarnya banyak lagi nasihat-nasihat berguna Sheikh Abdullah atau nama sebenarnya Abdullah Ibrahim berdarah campuran Arab-Pattani yang dilahirkan di Mekah dan meninggal dunia pada 1961.

Saya sebenarnya cukup bertuah dilahirkan di sebuah kampung yang terletak tidak jauh dari pekan Kepala Batas, Pulau Pinang di mana Allahyarham yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kami menetap dan meninggal dunia ketika berusia 92 tahun.

Ibu sering bercerita kepada saya mengenai Allahyarham yang diberi gelaran tuan guru atau dipanggil Tok Ngah Lah oleh kenalan rapatnya yang dianggap penduduk kampung sebagai ulama bertaraf seorang wali Allah.

Peniaga di sekitar Pulau Pinang yang berbilang kaum dan agama biasanya berasa amat bertuah sekiranya Sheikh Abdullah masuk ke kedai mereka tetapi akan berasa bimbang sekiranya Allahyarham menegur barangan dijual di kedai mereka mahal, kerana alamatnya jualan pada hari itu akan merosot.

Begitulah pula sebaliknya apabila peniaga selalu berharap Allahyarham akan masuk ke kedai mereka kerana kehadirannya menjadi petanda bahawa jualan mereka pada hari itu akan laris.

Sheikh Abdullah juga mempamerkan sifat-sifat ahli sufi yang menjadi pengamal ilmu tasawuf yang sentiasa berpegang kepada sifat kasih sayang, perpaduan dan menolak kekerasan.

RAMPASAN KUASA

Sebelum Tunku Abdul Rahman memaklumkan pemilihan tarikh tersebut kepada pihak British, Sheikh Abdullah telah berpesan sekiranya tidak dipersetujui oleh British, beliau melarang pemuda-pemuda dari parti UMNO daripada melakukan kekacauan atau rampasan kuasa daripada penjajah agar tiada perkara buruk berlaku.

Allahyarham turut menasihat Tunku Abdul Rahman agar bekerjasama dengan pemimpin kaum lain supaya penjajah British bersetuju memberi kemerdekaan.

Sifat-sifat baik inilah yang diwarisi anaknya yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Ahmad Badawi Abdullah yang cukup mementingkan hubungan baik antara ahli-ahli UMNO dan Pas serta mahu melihat wujud perpaduan orang Melayu.

Walaupun bergiat aktif dalam UMNO, Allahyarham juga terlibat mengasaskan Dewan Pemuda Pas Pusat dan menjadi ketuanya yang pertama dari 1952 hingga 1953.

Pada ketika itu, ahli politik menganggotai lebih daripada satu parti adalah perkara biasa dan hanya berakhir pada 1954 selepas Pas menetapkan syarat supaya pemimpinnya tidak boleh menjadi ahli parti lain secara serentak yang menyebabkan Ahmad Badawi memilih untuk kekal bersama UMNO.

Ibu pernah bercerita, ada terdengar kebimbangan diluahkan Ahmad Badawi kepada ayahnya (datuk penulis) dengan ungkapan ‘Habislah kita’ setelah parti yang didominasi bukan Melayu semakin meluaskan pengaruh di Pulau Pinang yang menyaksikan orang Melayu, iaitu kaum minoriti di negeri itu semakin hilang kuasa tawar-menawar politik.

Ia semakin parah apabila UMNO dan Pas yang diharap saling bekerjasama untuk membela nasib orang Melayu berpecah. Oleh itu, perlu kita kembali menetapkan matlamat mewujudkan muafakat parti-parti politik Melayu. Ia hanya boleh berjaya jika setiap individu terutama ahli politik mengamalkan sifat-sifat yang cukup erat dengan ahli-ahli tasawuf, iaitu rahmah.

Secara umumnya, rahmah membawa maksud kasih sayang, belas ihsan dan kurniaan. Sifat-sifat ini membuatkan bukan Islam tidak takut dengan agama berkenaan dan sebab itu ia mudah disebarkan di alam Melayu.

Seperti yang pernah dihuraikan oleh penyelidik Universiti Islam Selangor (UIS), Rosni Wazir, “Tasawuf dan Alam Melayu adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan. Hal ini dipersetujui dengan fakta bahawa pengislaman sebahagian besar rantau tersebut adalah hasil daripada usaha, pengorbanan dan jasa yang dilakukan oleh pendakwah sufi yang datang dengan rupa sebagai pedagang dan kawan.

“Mereka datang dengan aman, membawa bersama akhlak mulia, penuh hikmah dan toleransi tinggi. Rekod menunjukkan tiada pertentangan atau permusuhan. Rantau Alam Melayu ini dengan mudah sekali menyerahkan dirinya untuk diislamkan oleh tangan-tangan yang berjasa ini,” katanya.

Sifat-sifat tersebut hanya boleh disemai jika ahli-ahli politik mengikut nasihat Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa supaya menolak kaedah keras dengan cara marah-marah, makian dan cacian pada yang tidak menyokong pandangannya dan jemaahnya.

Kepada semua rakyat, marilah kita sama-sama menyebarkan kasih sayang supaya harapan mewujudkan perpaduan menjadi kenyataan seperti tema sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang baru berlalu, iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

Hayatilah juga petikan sajak bertajuk Merdekakah aku yang ditulis oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara yang juga pengkaji bidang tasawuf, Dr. Nasir Hashim:

Merdekakah diri ku ini
Minda dijajah bersulamkan keangkuhan kaum dan lelong agama
Pembangunan entah ke mana
Nasib rakyat diheret ke lembah ketidaktentuan
Menyembah kebendaan dan memuja kebencian yang melumpuhkan perpaduan. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×