PUTRAJAYA: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula semalam dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi penerima pertama menandakan Malaysia kini memasuki fasa pemulihan daripada wabak tersebut.
Pakar-pakar meramalkan kesan pemulihan ekonomi boleh dilihat seawal Jun ini manakala penduduk pula boleh kembali menikmati kehidupan masing-masing seperti sebelum pandemik selepas itu.
Sektor penerbangan dan pelancongan diramal antara sektor paling pantas kembali rancak jika kerajaan menarik balik sekatan rentas negeri kesan program imunasi tersebut.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bakal memberi kesan besar kepada pelindungan kesihatan rakyat daripada jangkitan Covid-19.
Bagaimanapun, menurut beliau, buat masa ini rakyat masih perlu meneruskan cara hidup mengikut norma baharu sehingga program vaksinasi mencapai objektif imuniti komuniti.
“Ia (program vaksinasasi) salah satu perjalanan akhir apabila Malaysia menerima vaksin dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat keputusan untuk menjadi orang pertama disuntik vaksin tersebut.
“Biarpun pemberian vaksin sedang dilakukan, kita masih lagi melihat kepada langkah pencegahan dan kawalan kerana kes jangkitan harian belum mencapai tahap bahawa Malaysia sudah bebas,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Beliau berkata demikian selepas Muhyiddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah disuntik vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech menggunakan picagari khas Low Dead Volume (LDV).
Suntikan tersebut dilakukan Ketua Jururawat Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Lina Ibrahim dengan dibantu Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Mazirah Mokhtar pada pukul 2.42 petang.
Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, rakyat juga diseru terus mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan sama sekali.
“Buat masa ini, kita semua perlu teruskan lagi kaedah kawalan norma baharu dan SOP,” katanya.
Terdahulu, Dr. Adham dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menyaksikan kejayaan pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa Pertama di PKD di Presint 1.
Selain Perdana Menteri dan Dr. Noor Hisham, enam petugas kesihatan turut menerima suntikan vaksin pada hari tersebut iaitu Pegawai Perubatan, Dr. Tan Yee Ling; Penolong Pegawai Perubatan, Khairul Asraf Mohd Yasin dan pemandu KKM, Clement a/l Marai Francis manakala tiga jururawat iaitu, Lina, Mazirah dan Sheilla Mellisa Sikin.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau yakin Covid-19 akan berjaya diputuskan sekali gus negara akan kembali bebas daripada ancaman wabak tersebut.
Menurut Perdana Menteri, keyakinan tersebut berteraskan usaha dibuat kerajaan dalam memerangi Covid-19.
Justeru, Muhyiddin berkata, semua rakyat perlu menyokong usaha kerajaan selain berkeyakinan dalam tempoh singkat, Malaysia akan bebas daripada Covid-19.
“Syukur pada Allah, saya sudah terima suntikan vaksin. Saya yakin bahawa vaksin Covid-19 ini cukup selamat dan berkesan malah keadaan saya sehingga saat ini, Alhamdulillah.
“Saya tidak rasa apa pun (ketika disuntik). Sekejap sudah selesai, ia seperti suntikan biasa,” katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa Pertama di PKD Presint 11.
Justeru, kata beliau, rakyat dinasihat tidak risau dan tampil mendaftar menerima vaksin antaranya menggunakan aplikasi MySejahtera.
“Saya rayu rakyat Malaysia dan sesiapa sahaja yang sudah diputuskan untuk menerima vaksin percuma supaya tampil supaya mendapatkan giliran bagi diberi suntikan.
“Sokonglah usaha kerajaan yang mahu memutuskan rantaian wabak Covid-19. InsyaAllah, dalam tempoh singkat, kita semua akan bebas daripada wabak ini,” katanya. – UTUSAN











