Isu pekerja asing antara punca hasil ikan berkurang

Isu pekerja asing antara punca hasil ikan berkurang

Masalah pekerja warga asing dikatakan antara faktor hasil tangkapan ikan merosot sejak tahun 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah berkai­tan pekerja asing terutamanya pada bot vesel C dan vesel zon C2 adalah antara penyumbang berkurangnya jumlah tangkapan ikan negara kepada 1.31 juta tan metrik bagi tahun 2022.

Jumlah tangkapan ikan negara menunjukkan penurunan dalam tiga tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2020 berjaya menangkap haiwan laut itu sebanyak 1.38 juta tan metrik, namun, ia menurun kepada 1.33 juta tan metrik (tahun 2021) dan terus menurun hingga 1.31 juta tan metrik bagi tahun 2022.

Vesel merujuk kepada bot-bot yang digunakan nelayan untuk menangkap ikan dan bagi vesel di zon C serta zon C2, para nelayan beroperasi di kedudukan 15 batu nautika ke atas yang bermuatan antara 40 sehingga 70 GRT (Gross Registered Tonnage).

Peralatan menangkap ikan yang digunakan oleh vesel yang beroperasi di zon tersebut adalah peralatan komersial sahaja seperti pukat jerut ikan dan pukat tanda, selain vesel juga wajib memasang peralatan Automatic Identification System (AIS).

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, pengusaha-pengusaha vesel zon C dan vesel zon C2 berhadapan masalah peningkatan kos yang menyebabkan kapasiti menangkap ikan mereka berkurang.

“Isu berkenaan nelayan asing ini berbangkit di mana sekarang kumpulan nelayan tersebut yang bekerja di atas vesel penangkapan ikan tempatan perlu mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Namun, kos untuk mendapatkan kru nelayan asing ini ditanggung oleh pengusaha vesel lalu menyebabkan kapasiti mereka untuk turun ke laut berkurang, lalu secara langsung menyebabkan pendaratan ikan juga berkurangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kata beliau, penurunan jumlah tangkapan ikan itu juga berpunca daripada peningkatan kos bahan bakar dan aktiviti-aktiviti pembangunan seperti tambak laut serta pengorekan pasir yang menjejaskan tangkapan nelayan pantai.

“Peningkatan kos bahan bakar atau minyak ini menyebabkan nelayan berhadapan peningkatan kos operasi sebanyak 90 peratus jadi kapasiti mereka turun ke laut berkurang.

“Ini memberi implikasi kepada kru dan awak-awak yang bekerja di atas vesel nelayan jika vesel penangkapan ikan tempatan itu tidak ke laut,” katanya.

Namun, Adnan berkata, setakat ini kadar sara diri (SSR) bagi ikan adalah tinggi iaitu melebihi 90 peratus dengan penggunaan ikan per kapita (PCC) sebanyak 46 kilogram (KG) setahun.

“Bekalan ikan dalam negara bagi keterjaminan makanan adalah dalam keadaan baik dan terkawal.

“Pihak kerajaan juga menggalakkan simpanan ikan melalui stokpile ikan terutamanya apabila musim ikan banyak, untuk kegunaan dalam negara terutamanya apabila musim monsun dan perubahan iklim,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian terlibat sedang memberi penumpuan terhadap industri akuakultur yang menyumbang sebanyak 40 ke 60 peratus pengeluaran ikan dalam negara.

“Tahun 2022, pengeluaran akuakultur menyumbang sebanyak 30 peratus atau 573 ribu tan metrik kepada pengeluaran perikanan negara.

“Bagi maksud ini, fokus akan diberikan untuk memperkasakan industri benih bagi menyokong pengeluaran akuakultur. Terkini, pengeluaran benih dalam negara sebanyak 5.1 billion ekor dari lebih 500 hatcheri kerajaan dan swasta seluruh Malaysia

“Penumpuan terhadap industri laut dalam dan tuna yang masih berpotensi untuk diterokai. Setakat ini perikanan laut dalam hanya menyumbang 16 peratus (160,000 tan metrik) kepada pendaratan perikanan tangkapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×