Isu beras: Kerajaan jumpa Bernas Khamis ini - Utusan Malaysia

Isu beras: Kerajaan jumpa Bernas Khamis ini

MOHAMAD Sabu berucap merasmikan Karnival Jualan Mega Agro Madani Peringkat Kebangsaan di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas), pegawai-pegawai tinggi Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) serta pesawah Khamis ini bagi membincangkan isu bekalan beras tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihak pengilang dan Lembaga
Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sudah diarah menghantar bekalan di mana-mana lokasi berlaku kekurangan beras.

Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi memastikan beras tempatan tidak dimanipulasi
sebagai beras import.

Katanya, kementerian telah mengadakan sesi dialog dengan pengilang dan pemborong di Kedah baru-baru ini dan mereka memberi jaminan untuk patuh dengan dasar-dasar ditetapkan kerajaan.

“Saya tegaskan tindakan keras akan diambil terhadap pengilang atau pemborong jika mereka cuba menyorok
atau pun menukar label beras semata-mata mahu mencari keuntungan,” kata beliau selepas merasmikan Karnival
Jualan Mega Agro Madani Peringkat Kebangsaan di Dataran
Sejarah Ayer Keroh di sini semalam.

BERAS

Oleh itu, kata Mohamad, kerajaan memberi jaminan bekalan beras tempatan di seluruh negara mencukupi dan kekal dijual RM2.60 sekilogram, meskipun berlaku kenaikan harga beras import khususnya dari India sebanyak 40 peratus.

“Tiada sebab harga beras tempatan naik kerana kerajaan memberikan subsidi sebanyak 60 peratus bagi mengekalkan harga pada paras RM2.60 seki­logram.

“Memang ada permintaan pengilang ingin menaikkan harga beras, namun perkara ini akan kita bincang dari semua segi sebab kalau sekarang ini kita tahu subsidi yang diberikan kerajaan sebanyak 60 peratus itu menyebabkan harga beras tempatan kekal pada harga RM2.60 sekilogram.

“Keadaan beras di negara kita adalah mencukupi cuma kadang-kadang beras import bukan barang kawalan, jadi yang kita kawal adalah harga beras tempatan kekal dengan harga RM2.60 sekilogram.

“Macam dulu bila kita hadapi masalah telur dan ayam, tetapi bila semua pihak be­kerjasama alhamdulillah kita dapat atasi masalah itu. Kita harap hal beras pun sebegitu juga,” kata Mohamad.

Mingguan Malaysia melaporkan harga beras pu­tih tempatan yang masih RM2.60 sekilogram adalah yang terendah di rantau ini ketika harga beras import terus meningkat.

INTERVENSI

Kerajaan pada masa sama turut melaksanakan langkah intervensi dan pengilang bersetuju memberi tambahan 20 peratus kuota bagi me­ningkatkan bekalan beras.

Jumaat lalu, Bernas mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import di pintu gudangnya di seluruh negara da­ripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan me­trik berkuat kuasa 1 September sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

Pasaran beras global termasuk beberapa negara ASEAN melonjak minggu lalu ke tahap tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh 12 tahun, berikutan tindakan India melarang eksport beras putih bukan basmati, baru-baru ini.

Malah, harga gred beras Viet­nam lima peratus pecah pada 27 Julai melonjak ke tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, iaitu AS$550 – AS$575 (RM2,500 – RM3,470) setiap tan, menandakan harga ter­tinggi sejak 2011.

Sementara itu, pasaran beras Thailand juga mengalami lonjakan harga yang selari apabila harga gred beras Thailand lima peratus hancur me­lonjak pada AS$605-AS$610 (RM2,742 – RM2,765) setiap tan, menca­tatkan paras ter­tinggi dalam tempoh 11 tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×