KUALA TERENGGANU: Negara boleh berhadapan kepupusan sumber ikan seperti yang berlaku di Vietnam ekoran aktiviti tangkapan semakin rakus dan penggunaan pukat tunda yang merosakkan habitat sumber protein itu.
Memburukkan lagi keadaan kehadiran nelayan asing secara haram yang melakukan aktiviti penangkapan secara agresif dan membawa hasil tangkapan ke negara mereka.
Kebanyakan nelayan asing terlibat dipercayai menangkap ikan dan sotong menggunakan pukat tunda ganding yang mengancam dan merosakkan sumber hasil laut termasuk terumbu karang.
Seorang nelayan tempatan, Abdul Rashid Ahmad, 52, berkata, nelayan bot asing kebiasaannya dipercayai ‘berkampung’ berbulan-bulan untuk mengikis hasil laut di perairan negeri ini.
Menurutnya, hasil tangkapan nelayan bot asing itu kemudian dipunggah beberapa bot lain untuk dibawa pulang ke Vietnam dan Thailand bagi memenuhi pasaran di negara berkenaan.
“Nelayan asing itu ada di laut selama tiga hingga empat bulan dan mereka melakukan kerja-kerja memindahkan hasil tangkapan itu ke dalam bot lain yang datang untuk dihantar ke negara mereka,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Abdul Rashid memberitahu, keghairahan nelayan asing menangkap ikan seperti yang dilakukan di perairan negara mereka sebelum ini boleh mengakibatkan hasil laut di sini turut pupus.
Katanya, masalah pencerobohan nelayan asing terbukti serius apabila dianggarkan 8,000 bot nelayan asing itu menceroboh perairan Pantai Timur dan ditahan pada setiap tahun.
Malah katanya, para nelayan di negeri ini juga tidak terkejut apabila Jabatan Perikanan Malaysia sebelum ini melaporkan negara mencatatkan kerugian mencecah RM4.25 bilion setiap tahun akibat aktiviti pencerobohan nelayan asing.
Seorang lagi nelayan yang mahu dikenali Mansor, 58, berkata, tangkapan ikan secara berleluasa dan berlebihan terutamanya oleh nelayan asing akan menyebabkan sebahagian ikan tidak sempat membiak dan mengekalkan jumlah.
“Populasi ikan dan habitat hidupan laut terancam melebihi kemampuan mereka untuk membiak kesan akibat penangkapan ikan secara berlebihan.
“Malah kelangsungan hidup komuniti nelayan tempatan di negeri ini yang bergantung kepada ikan turut terkesan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu Pensyarah Kanan Bidang Teknologi Alatan Perikanan dan Ekologi Perikanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Fazrul Hisam Abd. Aziz berkata, pencerobohan nelayan asing dan penggunaan peralatan perikanan yang tidak dibenarkan mengikut zon yang ditetapkan menjadi antara faktor menyebabkan berlaku kekurangan stok ikan di perairan negara ketika ini.
Menurutnya, permintaan tinggi terhadap bekalan ikan menyebabkan pengusaha perikanan akan cuba memperolehnya walaupun menggunakan teknik tangkapan yang melanggar undang-undang ditetapkan.
“Tidak seperti 10 atau 15 tahun dahulu, nelayan pesisir pantai masih boleh mendapatkan ikan bersaiz besar dengan mudah, namun kini saiz tangkapan semakin kecil dan berkurangan
“Nelayan pesisir pantai adalah golongan yang paling terkesan setakat ini apabila pendaratan ikan juga menjadi semakin rendah,” katanya.
Beliau menambah, isu penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU) juga perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa negara kerana mempunyai impak negatif terhadap stok perikanan di Malaysia untuk jangka masa panjang. – UTUSAN










