KUALA LUMPUR: Harga beras putih tempatan masih kekal RM2.60 sekilogram yang terendah di rantau ini ketika harga beras import terus meningkat.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, kerajaan pada masa sama turut melaksanakan langkah intervensi yang mana pengilang bersetuju memberi tambahan 20 peratus kuota bagi meningkatkan bekalan beras.
Katanya, pengilang padi bersetuju memberi tambahan 20 peratus kuota padi itu kepada kerajaan melalui Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan pemborong bumiputera.
Kementerian itu berkata, keputusan tersebut dicapai melalui sesi libat urus bersama industri pengilang padi dan pemborong beras zon utara 27 Ogos lalu di Alor Setar, Kedah.
“Kerajaan berharap dengan langkah ini, bekalan beras putih tempatan di pasaran kembali pulih dalam waktu terdekat dengan pertambahan jumlah pengeluarannya di pasaran.
“Sehingga kini, harga beras putih tempatan masih kekal pada harga kawalan RM2.60 sekilogram sejak tahun 2008 dan ia adalah harga terendah di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam pada itu, kementerian telah melancarkan Operasi Beras Putih (OP BPT) 16 Ogos lalu bagi menumpukan pemeriksaan dan penguatkuasaan peringkat pengilang padi dan pemborong beras.
“Jika didapati ada pihak gagal memenuhi perundangan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), kerajaan melalui kuasa Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras berhak membatalkan atau menggantung setiap lesen yang telah dikeluarkan,” katanya.
Selain itu, kementerian akan mengadakan sesi dialog Belanjawan 2024 bersama pemain industri atau pihak berkepentingan di bawah subsektor padi pada 7 September ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
“Ia bertujuan bagi mendapatkan input dan pandangan daripada pemain industri untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan,” katanya.
Kelmarin, Bernas mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import di pintu gudangnya seluruh negara daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik berkuatkuasa 1 September lalu sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Bernas dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengharungi separuh tahun pertama yang sangat mencabar disebabkan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran matawang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.
Katanya, faktor-faktor itu secara kolektif telah mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global, ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan oleh India baru-baru ini.
“Bernas telah menanggung kesan kenaikan harga beras import sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Walau bagaimanapun, akibat ketidakpastian keadaan semasa dan setelah mempertimbangkan keperluan untuk memastikan operasi perniagaan yang mampan dan kestabilan industri, pelarasan harga adalah perlu dan tidak dapat dielakkan buat masa ini,” katanya.
Pasaran beras global termasuk beberapa negara ASEAN melonjak minggu lalu ke tahap tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh 12 tahun, berikutan tindakan India melarang eksport beras putih bukan basmati, baru-baru ini.
Malah, harga gred beras Vietnam lima peratus pecah pada 27 Julai melonjak ke tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, iaitu AS$550 – AS$575 (RM2,500 – RM3,470) setiap tan, menandakan harga tertinggi sejak 2011.
Sementara itu, pasaran beras Thailand juga mengalami lonjakan harga yang selari apabila harga gred beras Thailand lima peratus hancur melonjak pada AS$605-AS$610 (RM2,742 – RM2,765) setiap tan, mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh 11 tahun lalu. – UTUSAN










