SEJARAH tidak membohongi kenyataan. Dan, kenyataan sejarah adalah statik. Tiada siapa yang boleh menafikan dan merubahnya. Nilai ketamadunan bangsa dan tanah air boleh terganggu dan terkeliru jika fakta sejarah diselewengkan manakala, latar belakang sejarah menjadi asas dan tapak bagi mencorak masa depan bangsa dan negara.
Misalnya, apa pun perkembangan yang mengguris luka UMNO, parti itu tetap tercatat dalam sejarah politik tanah air yang mengaitkannya dengan perjuangan memerdekakan bumi pertiwi ini. UMNO disinonimkan dengan perjuangan membebaskan Tanah Melayu dari penjajahan asing. Dan, UMNO terbukti berjaya mengisi kemerdekaan dengan memakmurkan negara setidak-tidaknya sepanjang tempoh lebih enam dekad.
Isu atau dilema yang dihadapi UMNO ketika ini adalah tentang kelangsungan survival menelusuri perjalanan politik negara. Reputasi UMNO terjejas teruk ekoran peratusan sokongan pengundi merosot pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu. Ternyata mengejutkan. Namun, UMNO belum rebah, tetapi tercedera. Cuma, ukuran tahap kecederaan itu terpulang pada perkiraan umum, khususnya dalam kalangan ahli dan penyokong parti itu sendiri.
Kecederaan bererti sesuatu yang perlu dirawat dan diubati. Terpaksa mencari kaedah dan penawar yang betul-betul tepat dan mujarab bagi menyembuh dan memulihkannya. Ujian adalah pengajaran. Memperbetulkan keadaan, perlu bangkit dengan semangat yang tinggi sambil bercagar kejujuran dan hati terbuka. Menyelitkan agenda untuk melunaskan kepentingan sesiapa atau kemuslihatan mana-mana kelompok tidak akan menyelesaikan keadaan.
Eloklah, terdapat banyak reaksi umum, terutama kalangan ahli, pendukung dan penyokong UMNO sendiri berusaha melakukan post-mortem, mengkaji, mencari punca kelemahan. Yang penting adalah menterjemahkan segala penemuan kepada tindakan. Jika tidak segala kekhilafan akan kembali berulang.
Golongan berusia emas khususnya orang Melayu yang mengenali dan menikmati jasa UMNO sejak sekian lama, menjadi resah dan terganggu emosi. Ramai masih menganggap, UMNO tetap relevan dengan peranannya sebagai pemelihara Islam, penjaga kedaulatan Raja-Raja Melayu serta pemegang tonggak mengekalkan keistimewaan kedudukan orang Melayu. Hakikat ini sentiasa terpahat sebati di sanubari.
Barangkali persepsi kalangan orang muda jauh berbeza. Maklumlah, mereka lahir dalam suasana aman dan serba serbi berorientasikan kemudahan. Apa pun, ada juga pengundi muda pernah bersuara: “Kami akui UMNO sebuah parti keramat banyak berjasa, tetapi sampai bila mahu memaksa kami akur dengan segala perkembangan dalam parti itu yang ada sebahagiannya membuat kami sangsi dan tidak menepati perkenan di hati?”
Luahan orang muda ini perlu ‘diambil kisah’ dan diberi jawapan tepat dan menyenangkan mereka. Persegarkan keyakinan mereka terhadap kedudukan sebenar UMNO. Gerakkan mana-mana institusi sesuai untuk mendekati mereka. Generasi muda adalah lambang masa depan bangsa dan negara. Jika andaian mereka salah, perbetulkan!
Disebut ‘institusi’, keterlibatannya termasuk keluarga, pejabat, badan-badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk, premis pendidikan dan agama. Kenapa takut atau keberatan sangat untuk bercakap tentang politik? Sedangkan politik adalah berkaitan kuasa yang menentukan nasib bangsa.
Berbalik kepada persoalan besar, kenapa UMNO seolah-olah ‘ditolak’ secara mendadak oleh masyarakat khususnya dalam kalangan orang Melayu di Semenanjung? Ramai yang meletakkan kebanyakan puncanya bertolak daripada faktor dalaman. Kata mereka, kekuatan sesuatu pasukan bukan semestinya terletak pada bilangan atau angka, tetapi pada kesepaduan, nilai setia kawan, ikhlas dalam perjuangan dan bukan rakus mengejar kedudukan dan kekayaan sehingga sanggup bersengketa, bertelagah secara keterlaluan dan terbuka…untungnya siapa?
UMNO tidak perlu memperlekeh sesiapa. Sebagai parti politik, ‘nyawanya’ terletak pada sokongan ramai, bukan terhad pada ahli atau kelompok berkepentingan dalam parti. Sementara, nilai atau harga bagi setiap undi dan sokongan terhadap parti politik, tidak berbeza di antara orang berharta, berdarjat, berpengajian atau berjawatan tinggi mahu pun petani atau buruh kasar. Justeru, dampingi dan rapatlah dengan semua, termasuk para jemaah di masjid atau surau.
Beruntungnya, terutama Pas, pergolakan dan kecelaruan dalaman UMNO menyenangkan mereka mengaut peluang. Berlaku di sesetengah keadaan di mana timbul kata-kata: “aku terpaksa pilih Pas kerana tidak ada pilihan …. muak dengan UMNO”. Lebih mudah lagi bagi Pas meraih untung apabila ‘pemain yang sudah di luar pasukan’ asyik menghentam balik UMNO siang dan malam.
Ditanyakan kepada seorang bekas ‘orang kuat’ sebuah parti lawan UMNO tentang apa kurangnya UMNO berbanding parti yang dianutinya dahulu? Lalu jawabnya: “Pertama kerana UMNO tidak ‘mengeksploitasi agama’ dan kedua kerana UMNO tidak konsisten ‘memesrai’ masyarakat. UMNO ada kala meletakkan seolah-olah masyarakat yang ‘berkehendakkan’ mereka, bukan mereka yang menghendaki masyarakat.
Kembalikan UMNO ke persada kegemilangan. Manfaat besarnya demi keutuhan Melayu pada umumnya. UMNO masih berakar tunjang kukuh dan mampu berkembang subur meneduhkan semua. Yakinkan semua, UMNO boleh menerajui pemerintahan negara dengan berkesan, sebagaimana terbukti (track-record) sejak sekian lama.
Tidak perlu membina sebuah projek lebuh raya baharu jika sekadar di atasnya tumbang pokok atau bertaburan objek yang tercicir dibawa kenderaan. Bersihkan saja lebuh raya sedia ada dan gunakanlah sebaiknya selepas segalanya dibersihkan.
Ambil pengajaran dari hadis Nabi SAW: “Seorang Muslim tidak patut jatuh dua kali ke satu lubang yang sama.” (diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK)










