PETALING JAYA: Kanun Tanah Negara 1965 membenarkan pihak berkuasa negeri merampas tanah berstatus pertanian yang dijadikan pembangunan komersial oleh mana-mana individu dan syarikat tanpa keizinan.
Pemilik tanah sepatutnya menggunakan tanah berkenaan mengikut kategori kegunaan dan syarat nyata dalam hak milik dan bukannya membangunkan projek pembangunan atau menukar status tanpa kebenaran kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, peruntukkan undang-undang di bawah Seksyen 52 Kanun Tanah Negara 1965 telah menetapkan semua tanah yang diberi milik terbahagi kepada tiga kategori kegunaan iaitu pertanian, bangunan dan industri.
Beliau berkata, semua pemilik tanah sepatutnya menggunakan tanah berkenaan mengikut kategori kegunaan tanah dan syarat nyata dalam hak milik dan bukanya sewenangnya menukar status tanpa keizinan.
Katanya, kegagalan mematuhi perkara itu merupakan satu kesalahan apatah sewenang-wenangnya menggunakan tanah pertanian sebagai pembangunan komersial untuk mengaut untung berlipat kali ganda.
“Sepatutnya pemilik kena mohon kepada pihak pejabat tanah untuk tukar status pertanian kepada pembangunan atau industri. Pihak berkuasa akan mempertimbang permohonan ini sama ada dibenarkan atau tidak.
“Ada peruntukkan di bawah undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara terhadap tindakan menukar status tanah tanpa kebenaran. Ia perlu ada permohonan, tetapi selalunya pihak berkuasa kena tengok dahulu kewajaran untuk meluluskan pertukaran status tanah,” katanya.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan masa depan keterjaminan makanan negara khususnya membabitkan beras yang merupakan makanan ruji rakyat berisiko terjejas apabila keluasan kawasan tanah bendang menyusut sama ada bagi tujuan pembangunan atau lain.
Ia ekoran hasil padi menurun apabila ada pesawah beralih kepada tanaman lain, menebus guna tanah untuk pembinaan rumah persendirian atau inap desa selain bagi tujuan pembangunan.
Pada masa sama, Mohamed Haniff Khatri berkata, pemilik yang ingin menggunakan tanah untuk kategori selain daripada yang tercatat dalam hak milik perlu mengambil tindakan untuk mengubah kategori kegunaan tersebut.
Katanya, perkara itu dibenarkan di bawah Seksyen 124 dan 124A Kanun Tanah Negara 1965 dan juga Kaedah-Kaedah Tanah Negeri membolehkan pemilik tanah berbuat demikian.
Pada kebiasaannya, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) akan membuat penilaian sebagai asas kepada perkiraan bayaran premium tambahan bagi setiap permohonan tukar syarat dengan perkiraan kadar premium tambahan serta asas penilaian adalah berbeza bagi setiap negeri sebagaimana Kaedah-Kaedah Tanah Negeri masing-masing.
Sementara itu, Mohamed Haniff Khatri memaklumkan, pihak berkuasa juga boleh merampas tanah pertanian terbiar yang didapati gagal mematuhi syarat milik termasuk tidak membayar cukai kepada kerajaan.
Sebaliknya kata beliau, keadaan itu bergantung kepada kes demi kes dan pertimbangan pihak berkuasa berkuasa dengan melihat kewajaran untuk menggunakan tanah kosong jika pemilik tanah gagal mematuhi undang-undang ditetapkan di bawah Kanun Tanah Negara. – UTUSAN










