“BAYANGKAN sebuah dunia di mana setiap insan diberi capaian bebas kepada segala ilmu pengetahuan manusia.” Itulah kata-kata diungkapkan Jimmy Wales, seorang usahawan dari Amerika Syarikat bagi menggambarkan impiannya untuk memperkasakan ilmu. Walaupun mungkin tidak mengenali nama tersebut, namun bagi warga maya, kita pasti mengenali projek ensiklopedia percuma dalam talian yang berjaya beliau bangunkan sejak 2001, iaitu Wikipedia.
Baru-baru ini, saya berpeluang bercakap dengan pengasas Wikipedia ini ketika dijemput Yayasan Wikimedia untuk menghadiri Wikimania 2023, serta menjadi pemudah cara bagi satu sesi forum bersama Google.
Bagi Wales, matlamat utamanya adalah untuk menjadikan ilmu mudah dicapai oleh semua orang tanpa mengira di mana dan siapa mereka. Begitu banyak perkara dapat saya pelajari khususnya dalam usaha beliau memperkayakan simpanan ilmu yang berguna supaya dapat dimanfaatkan oleh setiap insan.
Hal ini dikupas lanjut dalam majlis anjuran bersama Wikimedia dan Google ketika sesi prapersidangan pada 15 Ogos lalu bertempat di ibu pejabat Google Asia-Pasifik, Singapura. Usaha membebaskan ilmu untuk diakses dengan mudah dan secara percuma serta dapat difahami dan ditaakuli oleh semua golongan masyarakat dunia bukanlah hal yang mudah. Pelbagai perkara harus dilakukan demi untuk meluaskan lagi skop kebolehcapaian ilmu agar membawa makna lebih besar dan komprehensif kepada dunia.
Peluang menjadi moderator pada sesi forum Wikimedia bersama Google amat bermakna kerana bukan sahaja ia memberikan saya pengalaman baharu yang berharga tetapi juga amat penting dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Penyelaras bagi Pusat Kawasan Kemahiran (RCE) Greater Gombak Youth. Banyak elemen dan idea baharu yang harus kami terokai demi menyejahterakan masyarakat khususnya dalam lingkungan gerak kerja kami.
Usaha memartabatkan ilmu sangat penting bagi kesejahteraan masyarakat serta memastikan kita sentiasa berupaya untuk bersaing dan mara ke hadapan. Menyingkap tamadun-tamadun kita terdahulu, didapati ilmu adalah elemen integral untuk memajukan serta menyejahterakan masyarakat. Pembinaan perpustakaan-perpustakaan dan arkib-arkib yang mendokumenkan segala bentuk ilmu dalam pelbagai bidang supaya ia dapat diakses telah melahirkan masyarakat cintakan ilmu.
Masyarakat kita harus dididik supaya cintakan ilmu, tidak lalai dan menghindari budaya hedonisme yang hanya hidup berkiblatkan keseronokan semata-mata. Kita akan ketinggalan jika tidak berusaha keras untuk terus maju. Hidup dalam dunia tanpa sempadan memerlukan usaha yang kuat kerana kita terpaksa bersaing dengan negara luar pada setiap masa. Walaupun di tanah air sendiri, kita bukan lagi sekadar perlu bersaing sesama kita sahaja tetapi mesti berhadapan dengan saingan global demi mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.
WIKIMEDIAWAN
Maka setiap daripada kita mempunyai peranan dan bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas masing-masing. Tanpa sistem sokongan yang padu, seluruh sistem akan musnah. Sebagai anggota masyarakat, kita lakukan apa yang diamanahkan demi kesejahteraan bersama. Sekecil mana pun usaha kita ke arah kebaikan, ia tetap akan menyumbang kepada kejayaan bersama. Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit.
Kalau kita asyik bertangguh, kita akan ketinggalan.
Semangat dan permuafakatan daripada lebih 3,000 penggiat Wikimedia (dipanggil Wikimediawan) dari seluruh dunia sepanjang persidangan ini harus dijadikan contoh kepada kita semua. Saya amat kagum dan menghargai keharmonian, kemesraan serta semangat kerjasama yang terserlah sepanjang persidangan ini berlangsung. Walaupun acaranya sangat padat dan waktu rehat agak terbatas, namun kami tetap ceria dan komited melaksanakan tugasan serta mengikuti program yang diatur. Dunia akan aman jika kita dapat bersatu untuk tujuan yang mulia serta saling hormat menghormati di antara satu sama lain.
Terbang ke Singapura dua hari selepas pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, saya cuba tumpukan sepenuh perhatian untuk menimba ilmu sebanyak yang mampu. Seminggu di Singapura, walaupun penat berkejar ke sana-sini, namun ia memberi ketenangan setelah penat diasak oleh polemik politik yang tidak lagi menghormati ilmu dan kebenaran. Malah suhu politik dalam kalangan mahasiswa pun boleh tahan panasnya. Amat malang sekali apabila keputusan PRN tidak dapat memadamkan bahang yang membakar.
Di sebalik kesibukan dunia, kita mesti sentiasa berusaha untuk menyumbang semula kepada masyarakat walau siapa pun kita. Salah seorang Wikimediawan Malaysia, Taufik Rosman yang bakal memulakan tugas sebagai guru tidak lama lagi telah bertahun-tahun gigih berusaha memartabatkan ilmu dalam kalangan golongan luar bandar terutama masyarakat orang asal. Melalui projek-projek Wikimedia, Taufik dan para penggiat lain di seluruh dunia dapat membina satu pusat ilmu dalam talian bagi semua orang. Maka amatlah bertepatan apabila anak Malaysia ini dinobatkan sebagai Wikimediawan Tahunan bagi tahun ini.
Kejayaan tidak akan datang bergolek ke pangkuan kita. Semuanya memerlukan usaha dan pengorbanan. Mengenali Taufik serta para sahabat Wikimediawan lain telah banyak memberikan pengajaran kepada saya tentang erti kerjasama, semangat tolong menolong dan bekerja dalam satu pasukan tanpa mengenal penat lelah atau berebut kuasa. Bukankah ini semangat yang harus ada dalam diri kita sebagai rakyat yang sayangkan negara?
Bukan semua usaha membantu masyarakat memerlukan kuasa politik dan harus memberi pulangan secara peribadi kepada diri kita. Bertanyalah kepada diri kita, dari manakah datangnya keamanan, keselesaan dan kemakmuran hidup yang dinikmati hari ini? Sedarlah, tanpa pengorbanan orang lain, kita tidak akan berupaya untuk membina kehidupan yang baik walau siapa pun kita. Cerapi segala potensi untuk kita menyumbang semula kepada masyarakat. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











