PETALING JAYA: Para pesawah mesti dibebaskan daripada isu monopoli dan ‘orang tengah’ yang menghimpit golongan tersebut sejak puluhan tahun lalu sehinggakan 90 peratus daripada mereka hingga kini masih kekal berstatus B40.
Kedua-dua isu itu adalah antara punca utama golongan pesawah kian hilang minat untuk terus memerah keringat dalam industri pertanian yang menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
Dalam masa sama, kerajaan disaran mewujudkan akta larangan menjual atau menukar status tanah pertanian khususnya industri padi sebagai penyelesaian dalam isu kawasan pertanian padi semakin mengecil saban tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Fatimah Mohamed Arshad berkata, tindakan menukar status tanah tersebut adalah disebabkan golongan berkenaan terdesak.
Katanya, ini kerana 90 peratus pesawah adalah kumpulan B40 dengan purata hasil padi menurun kepada 3.6 tan sahaja.
Katanya, struktur pasaran beras yang dilaksanakan secara berpusat adalah tidak mesra golongan pesawah untuk menjadi usahawan pada masa sama tidak memberi peluang kepada orang muda menginovasikan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memudahkan sistem bekalan.
“Walaupun kerajaan meningkatkan subsidi kepada pesawah namun jika hasilnya sedikit maka pendapatan mereka juga rendah. Semua lapisan dalam industri sawah padi dikawal oleh pihak tertentu yang mengaut keuntungan berlipat ganda daripada hasil titik peluh petani.
“Contohnya, agihan input (baja) dikawal oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sejak 50 tahun lalu. Disebabkan isu kelewatan pengagihan baja, peningkatan harga sehingga 200 peratus menyebabkan pesawah terdesak.
“Sama juga dalam isu benih, terdapat 11 pembekal dan pengilang yang mengawal turun naik harga pasarannya. Mereka ada kuasa main harga,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini hanya terdapat sekitar 170 kilang beras di seluruh negara yang mengumpul hasil usaha pesawah dengan potongan pemutuan sehingga 20 peratus.
Katanya, ia tidak termasuk isu mesin tuai besar berusia 30 tahun dibawa masuk dari Belanda yang mempunyai kadar tumpahan padi sekitar 20 peratus hingga menyebabkan kerugian hasil kepada pesawah.
“Hasil yang diperoleh pula dijual kepada ‘tauke’ kilang, petani hilang lagi 20 peratus (hasil pendapatan). Pada masa sama, kilang ada membuat kerjasama dengan Bernas (Padiberas Nasional Berhad) yang memonopoli import beras.
“Mereka (pengilang) ‘perkudakan’ petani. Ia adalah salah struktur, kesan polisi yang mengongkong hidup petani menjadi punca ia jadi begitu,” katanya sambil memberitahu ia tidak termasuk faktor lain antaranya perubahan iklim dan kaedah ‘single chopping’.
Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain berkata, kerajaan perlu mewujudkan akta larangan terhadap penjualan atau penukaran status tanah bendang yang menjadi penyumbang kepada penyusutan hasil padi di bawah kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mencecah 750,000 tan metrik sejak lima tahun kebelakangan ini.
Katanya, jumlah tersebut melibatkan purata penyusutan hasil sekitar 150,000 tan metrik setahun sejak 2019.
“Pada asalnya sememangnya sudah ditetapkan bahawa tanah pertanian tidak dibenarkan ditukar status namun penguatkuasaannya terlalu lemah. Sepatutnya memang tidak boleh (tukar status) kerana kerajaan perlu memikirkan soal masa depan keterjaminan makanan negara.
“Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan akta melarang pemilik bendang daripada menjual atau menukar status tanah tersebut untuk tujuan lain bagi mengelakkan krisis keterjaminan makanan di negara pada masa depan,” katanya.
Che Ani berkata, penyusutan hasil padi akan menyebabkan kerajaan terbeban apabila terpaksa mengimport lebih banyak beras untuk menampung keperluan rakyat Malaysia dalam keadaan nilai matawang Ringgit semakin menyusut.
Menurutnya, sebelum ini kerajaan hanya mengimport sekitar 30 peratus beras dari pelbagai negara untuk menampung keperluan penduduk manakala 70 peratus lagi adalah hasil dari dalam negara sendiri.
“Bagaimanapun, disebabkan pelbagai faktor terutamanya kawasan pertanian padi semakin mengecil, sistem pengairan tidak mencukupi, perubahan iklim, bencana alam dan lain-lain, hasil padi khususnya di bawah kendalian MADA semakin menyusut saban tahun.
“Hal itu menyebabkan kerajaan perlu meningkatkan import beras dari luar negara dan ia membebankan kerana kejatuhan nilai ringgit dan banyak lagi hal luaran lain. Tak terkejut jika peratusan import beras terpaksa dinaikkan sehingga 40 peratus,” katanya.
Pada masa ini, Malaysia bergantung kepada import beras sebanyak 35 peratus dengan bekalan beras bagi menampung keperluan rakyat negara ini adalah 2.4 juta tan metrik setahun.
Ini dengan anggaran seorang penduduk menggunakan 79 kilogram makanan ruji berkenaan dalam tempoh itu.
Mengikut data 2021, negara hanya menghasilkan 1.7 juta tan metrik beras setahun.
Mengikut rekod pada 2022 pula, Malaysia terpaksa mengimport 1.11 juta tan metrik beras dari Vietnam, 37.2 peratus; Pakistan (36.99 peratus); Thailand (12.9 peratus) dan India 8.6 peratus atau sebanyak 95,263 tan metrik.
Sementara itu, Ketua Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, Institut Pertanian Tropika Dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) UPM, Prof. Dr. Abdul Rahim Samad berkata, trend permohonan pertukaran status tanah daripada pertanian kepada pembangunan ketika ini amat membimbangkan.
Beliau yang juga salah seorang daripada panel penilai Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) berkata, permohonan untuk menukar status tanah dari pertanian kepada pembangunan berlaku secara berterusan disebabkan di sesetengah tempat, industri pertanian dilihat kurang memberi pulangan yang lumayan kepada pengusaha.
“Pemain industri di Malaysia ini secara umumnya tidak lagi melihat sektor pertanian sebagai satu punca pendapatan sebaliknya berpendapat bahawa sektor pembangunan selain pertanian lebih membawa pulangan yang lumayan kepada mereka.
“Melihatkan kepada situasi itu, agensi Kerajaan yang berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan PLANMalaysia perlu meneliti secara mendalam dan melaksanakan pemantauan serta penguatkuasaan sebelum mengeluarkan KM dengan mengambil kira impak positif dan negatif terhadap sektor pertanian negara sebelum membuat sebarang keputusan terhadap pertukaran status tanah,” katanya.
Walaupun tidak mempunyai angka sebenar berhubung trend permohonan pertukaran status tanah dari pertanian kepada pembangunan namun beliau memberitahu permohonan baharu sentiasa ada untuk dinilai oleh panel penilai PLANMalaysia mengenai cadangan pembangunan guna tanah.
“Kebanyakan status pendapatan isi rumah pesawah masih pada tahap kumpulan pendapatan B40 walaupun sudah hampir 30 tahun mereka berkecimpung dengan sektor pertanian. Oleh itu, tidak hairanlah jika mereka sanggup menukar status tanah pertanian kepada pembangunan”.
“Kehilangan sumber pertanian mungkin akan memberi kesan negatif jangka panjang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya. – UTUSAN










