MUKADIMAH
JIKA dahulu Perlis sering disebut-sebut sekadar menjadi lokasi transit untuk ke Pulau Langkawi melalui Kuala Perlis, namun kebelakangan ini sektor pelancongan di negeri ini sudah jauh berubah sehingga menjadi antara lokasi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.
Perkembangan tersebut juga menyaksikan Perlis buat julung kalinya bakal melaksanakan Tahun Melawat Perlis (TMP) sekali gus bakal memperkenalkan lokasi-lokasi pelancongan menarik di negeri ini.
Ke arah itu, pelbagai perancangan telah diatur kerajaan negeri dan pihak terlibat dalam merealisasikan TMP 2024/2025 yang bakal menjadi penanda aras baharu kepada negeri ini di mana Perlis sudah dilihat berada di dalam kelas tersendiri dalam sektor pelancongan.
Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dan ASYRAF MUHAMMAD bersama jurugambar, IZLIZAN OTHMAN dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, WAN BADARIAH WAN SAAD di pejabatnya baru-baru mengenai pelancongan selain persediaan dan cabaran kerajaan negeri dalam melaksanakan TMP buat pertama kali.
UTUSAN: Bagaimana persediaan kerajaan negeri ke arah melaksanakan TMP 2024/2025?
WAN BADARIAH: Seperti yang saya sebut sebelum ini, untuk persediaan TMP 2024/2025, kerajaan negeri buat masa ini fokus kepada menambah baik dan menaik taraf infrastruktur di lokasi-lokasi pelancongan sedia ada dan juga lokasi pelancongan yang dibangunkan oleh individu dan syarikat swasta.
Kita membantu dari segi infrastruktur seperti menyediakan jalan dan laluan. Tahun ini, kerajaan negeri akan lebih melaksanakan perkara-perkara itu. Dan juga sekarang ini, promosi juga telah dimulakan. Sebagai contoh, kita sudah menaikkan billboard di lebuh raya dan juga menjalinkan kerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan memaparkan video pelancongan di dalam perkhidmatan tren elektrik (ETS).
Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) pun sudah memohon pada KTMB untuk tambahan koc basikal bagi menarik lebih ramai pelancong ke Perlis. Ini bagi memudahkan mereka melakukan aktiviti kayuhan di negeri ini. Itu antara yang kita sudah mulakan.
Berapa peratus persediaan setakat ini bagi penganjuran TMP 2024/2025?
Saya rasa tidak sampai lagi 50 peratus. Kita pun bermula sedikit lewat. Mungkin disebabkan pertukaran kerajaan negeri sebelum ini menjadi antara faktor berkenaan. Selain itu, TMP juga tidak pernah dilaksanakan dan ini merupakan kali pertama.
Memandangkan ini kali pertama pelaksanaan TMP, bagaimana YB melihat cabaran dalam merealisasikan penganjuran tersebut?
Cabaran agak berat. Ini dianggap sebagai turning point bagi kerajaan negeri. Untuk penganjuran selepas ini, mungkin kita dapat tambah baik lagi kelemahan. Cabaran paling sukar ialah mungkin kerana perancangan yang dibuat ini sudah lama. Dan kemudiannya berlaku pula pertukaran kerajaan malah kita juga baru ingin membiasakan diri dengan pentadbiran ini. Selain itu, kekangan kewangan pun menjadi antara cabaran besar. Kita negeri yang kurang hasil. Lagipun ini penganjuran pertama dan masih belum ada sebarang penanda aras dalam penganjuran TMP 2024/2025. Kita akan lihat apa penambahbaikan yang boleh dilaksanakan untuk penganjuran seterusnya selepas ini.
Untuk merealisasikan penganjuran TMP 2024/2025, pihak mana yang akan dilibatkan?
Pihak yang terlibat seperti agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri secara langsung. Selain itu, pemain industri juga akan memainkan peranan penting dalam penganjuran julung kali ini. Tidak lupa juga pengamal media yang turut diharap dapat membantu dalam menjayakan penganjuran TMP 2024/2025.
Kerjasama dengan kerajaan Pusat juga baik walaupun kita adalah negeri pembangkang. Jabatan-jabatan dan agensi Persekutuan yang berada di Perlis memberi kerjasama amat baik, tiada masalah. Jabatan Kerja Raya (JKR) juga kini sedang giat menaik taraf papan tanda pelancongan untuk lebih membantu pelancong yang datang ke Perlis. Jika dilihat banyak papan tanda lama, jadi kita ingin tukar kepada yang baharu untuk memudahkan pengunjung.
Dari aspek promosi, apa yang telah dan akan dilaksanakan selepas ini?
Selain billboard, sekarang ini kita turut memaparkan video pelancongan dengan kerjasama KTMB. Promosi juga secara tidak langsung turut dilaksanakan di laman-laman sosial seperti Facebook Tourism of Perlis Official dan juga kita dapat kerjasama daripada produser tempatan yang menjalankan penggambaran di Perlis dengan meminta penglibatan artis-artis mereka untuk membantu mempromosi TMP 2024/2025. Kita juga mengalakkan rakyat Perlis sendiri membantu mempromosikan TMP 2024/2025. Kita ada cadangan daripada beberapa pihak untuk menggalakkan pempengaruh luar yang datang ke Perlis untuk membuat promosi.
Apa yang kerajaan negeri cuba tonjolkan menerusi penganjuran TMP 2024/2025?
Kita nak tonjolkan beberapa aspek mengikut kluster seperti ekopelancongan, agropelancongan, membeli-belah, sukan, seni budaya dan warisan serta pelancongan agama. Kita sajikan lain daripada negeri lain. Kekuatan kita ialah ekopelancongan dan agropelancongan.
Berapa jumlah sasaran pelancong untuk TMP 2024/2025?
Macam yang kita sebut sebelum ini, kerajaan negeri menyasarkan seramai 2.8 juta. Tapi kalau boleh dapat tiga juta itu lebih baik. Ia akan jadi satu bonus untuk Perlis yang kecil ini. Kalau dilihat pada hari-hari cuti hujung minggu sekarang ini pun, ramai pelancong yang masuk ke sini.
Kalau dibandingkan dari aspek persediaan dengan Perak dan Melaka, Perlis dilihat sedikit perlahan, pandangan YB?
Jika dilihat, kita agak sedikit perlahan berbanding dua negeri itu dari segi promosi dan lain-lain. Perak pun sudah melakukan pelancaran, Melaka pun memang sudah mempunyai kekuatan tersendiri. Bagi Perlis pula, kita mungkin akan melakukan pelancaran TMP 2024/2025 sekitar November nanti.
Bagaimana dengan koordinasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu menjayakan TMP 2024/2025?
Setakat ini, kita mendapat kerjasama yang amat baik dari pelbagai NGO. Sekarang ini, antara salah satu rangka promosi turut dilaksanakan menerusi aktiviti-aktiviti dianjurkan oleh NGO. Memang langkah itu ke arah mempromosikan negeri ini.
Jika dilihat selain pelancong tempatan, Perlis juga sering menerima pengunjung dari negara jiran seperti Thailand. Bagaimana kerajaan ingin menarik kehadiran pelancong dari Thailand?
Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Izizam Ibrahim ada melakukan perjumpaan dengan pihak Thailand sewaktu mengikuti program Halal Ekspo di sana. Dan ketika itu, beliau sempat berbincang dengan Datuk Bandar Sadao dan Hatyai. Maka kita akan jalinkan kerjasama dengan pihak Thailand untuk tarik pelancong dari sana. Mungkin mereka boleh sediakan pakej tertentu dan bawa pelancong dari negara itu ke negeri ini.
Dan mereka juga minta untuk dapatkan kebenaran agar dapat membawa masuk bas pelancong ke Malaysia, namun ia bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Ia tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Jadi, agak sukar sikit kerana mungkin melibatkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pelbagai lagi. Jadi, kita tidak boleh bagi kebenaran. Untuk kita nak masuk ke sana (Thailand) memang mudah, namun bas mereka nak masuk sini (Malaysia) susah. Mungkin ejen pelancongan di sini boleh sediakan pakej itu dengan kolaborasi bersama Thailand.
Dari segi prasarana penginapan, adakah mencukupi setakat ini?
Buat masa sekarang, saya merasakan masih kurang. Sebab kalau hotel pun kita ada berapa sahaja. Inap desa yang diiktiraf Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pun ada empat sahaja. Kami nak promosi penginapan yang diusahakan sendiri oleh sebilangan pihak pun tidak boleh sebab ada dalam kalangan mereka tidak berdaftar dengan MOTAC. Tapi pengusaha terlibat boleh membantu juga dalam penyediaan penginapan buat pelancong yang datang ke Perlis, namun ia atas risiko sendiri.
Kerajaan negeri kini dalam proses pemutihan bagi senarai pendek inap-inap desa yang belum berdaftar. Kita akan panggil mereka untuk diberi taklimat. Sebab pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga akan terlibat sama. Ini kerana perkara ini melibatkan tanah, kebenaran merancang dan lain-lain. Buat masa sekarang, saya rasa kita ada dalam lebih 100 bilik penginapan sahaja di Perlis. Kita perlu lebih 3,000 bilik bagi satu-satu masa.
Selalunya waktu yang penuh adalah pada cuti persekolahan. Disebabkan itulah kita perlukan pengusaha inap desa ini berdaftar. Kerana jika sesuatu berlaku di penginapan mereka, mungkin mereka ada insurans dan lain-lain dan memudahkan kerajaan juga untuk bantu mereka. Sekarang ini kebanyakannya buat secara persendirian, jadi kita nak bantu pun susah. Pemutihan yang kami sedang laksanakan ini juga mungkin akan selesai dalam tahun ini juga.
Dahulu Perlis dianggap sebagai destinasi persinggahan atau transit sebelum ke Pulau Langkawi, namun ia sudah berbeza sekarang. Apa pandangan YB?
Dahulu mungkin orang tidak kenal sangat Perlis dan dianggap sebagai negeri kecil yang hanya untuk pertanian. Tapi mungkin disebabkan media massa, maka ia telah membuka ruang bagi menjadikan negeri ini sebagai tarikan masyarakat. Perlis ini menyajikan alam semula jadi. Orang yang membesar di ‘kota batu’ lebih sukakan ketenangan. Kita ada semua, laut, sungai, sawah padi, kampung, bukit bukau dan pelbagai lagi.
Setakat ini, adakah kita mempunyai pusat sehenti atau one stop center untuk pelancongan di Perlis?
Buat masa ini belum. Tapi selepas ini kita akan adakan mesyuarat bagi menubuhkan satu jawatankuasa untuk pelancongan. Sebab kalau diikutkan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pernah menitahkan agar dapat ditubuhkan tourism board (lembaga pelancongan). Insya-Allah, kita akan cuba laksanakan. Dan kerajaan negeri juga mungkin boleh mendapatkan perkongsian daripada negeri-negeri lain. Musim pilihan raya pun sudah tamat dan sekarang ini waktu bekerja, jadi kita nak belajar dengan negeri-negeri lain yang sudah ada lembaga pelancongan. Perak dan Kelantan pun sudah mantap.
Harapan kerajaan negeri sempena TMP 2024/2025?
Harapan kerajaan negeri adalah agar penganjuran ini berjaya direalisasikan dan tarik pelancong ke Perlis. Ia juga diharap dapat menjadi titik tolak bagi memajukan lagi industri pelancongan di Perlis. Sebab pelancongan ini bukan sahaja untuk pelancong tapi juga rakyat negeri ini. Dari situ rakyat dapat jana pendapatan tambahan mereka. Melalui pelaksanaan ini, ia juga dapat menjana pendapatan buat negeri ini. – UTUSAN










