PERJALANAN kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sunyi sepi, seolah-olah tiada pilihan raya berlangsung di sini meskipun tempoh berkempen ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah memasuki hari keempat.
Keadaaan itu lebih suram jika dibandingkan dengan beberapa siri pilihan raya ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penampakan bendera-bendera parti bertanding serta poster calon Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak ubah seperti ‘bagai mencari jarum dalam jerami’, jika ada sekalipun hanya di markas parti dan bilik gerakan.
Suasana malam juga tidak meriah seperti lazimnya yang mana hanya Pas dilihat sedikit agresif mengadakan ceramah.
Senario itu menimbulkan persoalan adakah status Simpang Jeram sebagai kerusi DUN yang tidak memberi kesan langsung kepada jumlah kerusi di Dewan Rakyat membuatkan parti bertanding tidak memberikan tumpuan sewajarnya?
Atau kedua-dua pihak terlalu yakin dengan kekuatan pengundi asas masing-masing memandangkan Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah) menyatakan bahawa mereka mempunyai struktur akar umbi yang kuat di Simpang Jeram?
Kehadiran orang awam ke ceramah-ceramah pilihan raya juga dilihat merosot berbanding kemuncaknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, berkemungkinan rakyat sudah ‘lali’ dengan proses demokrasi berkenaan.
Senario itu sedikit sebanyak memberi gambaran awal terhadap peratusan keluar mengundi pada 9 September ini, yang mana bakal lebih rendah berbanding PRN baru-baru ini.
Peratusan rendah membuatkan jangkaan keputusan sukar diramal sama ada berpihak kepada kerajaan perpaduan ataupun blok pembangkang.
PRK DUN Simpang Jeram menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PH, Ir. Nazri Abdul Rahman; calon PN, Dr. Mohd. Mazri Yahya dan calon Bebas, S. Jeganathan. – UTUSAN










