MIC menjangkau usia 77 tahun. Ditubuhkan pada 1946, ia adalah antara parti politik tertua di negara ini. Meskipun akhir-akhir ini gagal menempuh kejayaan besar dalam pilihan raya hingga menyebabkan timbulnya persepsi MIC sudah tidak bernyawa lagi, kini ia bangkit mengorak langkah membina pencakar langit di Kuala Lumpur untuk memaparkannya masih hidup dan segar.
Antara resolusi hangat dibincang dalam perhimpunan penubuhan MIC sebelum merdeka adalah cadangan membina sebuah bangunan bagi mengenang jasa Subash Chandra Bose, seorang pejuang kemerdekaan India. Premis bakal dibina itu digesa dikenali sebagai Bangunan Nethaji.
Susulan penubuhan MIC, pejabatnya beroperasi dari Kuil Sri Maha Mariamman di High Street (Jalan Bandar, Kuala Lumpur). Pejabat MIC kemudian berpindah ke sebuah rumah kedai di Jalan Brickfields pada 1956 dan beroperasi sehingga 1968.
Dalam pada itu, salah satu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT MIC) di bawah kepimpinan Tun V.T. Sambanthan, Presiden MIC kelima membuat keputusan membina Bangunan Nethaji bagi menempatkan ibu pejabat MIC. Program mengumpul dana untuk membina bangunan tersebut dilancarkan dengan slogan Satu bata untuk perwira. Malangnya idea mengumpul dana tersebut tidak mendapat sambutan daripada komuniti India pada ketika itu.
Dengan itu, hasrat tersebut ditinggalkan. Akan tetapi, Sambanthan tidak putus asa lalu melantik V. Manickavasagam, Timbalan Presiden MIC sebagai pengerusi projek membina bangunan MIC.
Manickavasagan dengan bantuan ahli-ahli MIC berjaya mengumpul dana mencukupi serta menyempurnakan projek pembinaan Bangunan MIC dengan jayanya di Jalan Ipoh. Ibu pejabat MIC itu dirasmikan oleh Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri kedua pada 23 Ogos 1973. Ibu Pejabat MIC beroperasi dari bangunan tersebut sehingga kini, yang juga dikenali sebagai Menara Manickavasagam.
Dalam pada itu, Tun S. Samy Vellu, Presiden MIC ketujuh mencadangkan pembinaan ibu pejabat baharu menjejaki langkah UMNO. Ibu pejabat UMNO yang terletak dalam sebuah bangunan kecil di Jalan Mountbattern (Jalan Tunku Abdul Rahman) pada 1955 telah berpindah ke Pusat Dagangan Dunia Putra (kini Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur)pada 1985.
Namun, cita-cita Samy Vellu tidak kesampaian kerana beliau mengalih tumpuannya kepada masalah pendidikan yang sangat terdesak bagi komuniti India pada ketika itu. Beliau menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pembinaan sebuah universiti, Universiti AIMST (perubatan) di Kedah untuk membuka peluang kepada anak-anak India yang ingin melanjutkan pendidikan tinggi.
Namun begitu, cita-cita membina sebuah bangunan baharu di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur tidak lenyap dan padam begitu sahaja. Presiden MIC kini, Tan Sri S.A.Vigneswaran meneruskan usaha untuk merealisasikan impian dan cita-cita pemimpin terdahulu yang terpendam selama 50 tahun. Lantaran itu, beliau dengan sokongan padu daripada timbalannya, Datuk Seri M. Saravanan telah mencadangkan membina sebuah bangunan ikonik berbentuk menara berkembar di tapak bersebelahan Menara Manickavasagam.
AHMAD ZAHID
Impian membina menara berkembar MIC menjadi realiti apabila upacara pecah tanah (letak batu asas) bangunan baharu itu berlangsung dengan meriah yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 21 Ogos lalu.
Bangunan menara berkembar MIC yang bakal dibina itu terdiri dari satu blok 35 tingkat dan satu blok lagi 45 tingkat. Menara berkembar ini bukan sahaja akan meletakkan Ibu pejabat MIC malah sebuah hotel lima bintang, kondominium dan pusat beli-belah seperti Suria KLCC.
Bangunan ini juga akan ada sebuah dewan persidangan yang boleh memuatkan hampir 3,500 orang pada satu-satu masa dengan pelbagai kemudahan teknologi maklumat (IT) termasuk ruang letak kereta lapan tingkat.
Apabila siapnya menara berkembar MIC ini nanti, kawasan ini bakal menjelma sebagai sebuah pusat perniagaan terkemuka di Kuala Lumpur malah menjadi sebuah bangunan pencakar langit ikonik yang mampu menarik orang tempatan serta pelancong dari luar negara.
Meskipun pelbagai faktor menyumbang kepada kemerosotan prestasi MIC dalam pilihan raya termasuk sokongan pengundi Melayu dan Cina kepada calon parti itu, ada pihak sering mendakwa kononnya MIC semakin hilang sokongan kaum India. Dakwaan ini merupakan satu andaian malah kekeliruan yang timbul dalam kalangan sesetengah pihak.
PARTI KERAMAT
Sebaliknya, kepimpinan MIC adalah mantap dan kukuh malah lebih komited dan bertanggungjawab dalam memenuhi aspirasi kaum India. Kepimpinan MIC ketika ini berjiwa besar untuk terus mara ke hadapan dalam menempuh pelbagai cabaran bagi mencapai kejayaan pada masa depan.
Apa pun, MIC mampu terus memainkan peranan penting mewakili kaum India dalam kerajaan, malah menentukan kemenangan gabungan lain-lain parti dalam pilihan raya seperti kemenangan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mengatasi gelombang hijau dalam pilihan raya negeri (PRN), baru-baru ini. MIC selaku parti keramat masih relevan dalam politik di Malaysia seperti parti Indian Congress di India, Parti Liberal Demokratik di Jepun, Parti Demokratik di Amerika Syarikat, Parti Konservatif di United Kingdom. Parti-parti tersebut masih relevan di negara masing-masing. Sebahagian besar komuniti India masih menyanjung tinggi peranan dan pengorbanan MIC dalam mengangkat martabat kaum India di negara ini.
Justeru, komuniti India menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada kepimpinan MIC kerana meskipun prestasinya merosot dalam pilihan raya yang menyebabkan kepimpinan BN memandang remeh terhadap kemampuan MIC. Kepimpinan MIC terus bangkit melonjakkan idea membina menara pencakar langit sebagai mercu tanda kecemerlangan dan kemampuan parti itu. MIC mampu melakar sejarah kecemerlangan yang tercipta pada Pilihan Raya Umum Keenam (PRU6) hingga PRU11. – UTUSAN
Datuk M. Periasamy ialah penganalisis sosiopolitik tempatan.










