Cadangan gaji tetap guru KAFA dikaji

Cadangan gaji tetap guru KAFA dikaji

MOHD. Na’im Mokhtar menyampaikan sijil dan plag kepada wakil negeri pada Majlis Penutup Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan kali Ke-8 Tahun 2023 di Port Dickson, Negeri Sembilan semalam. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kerajaan akan melakukan kajian dan pertimbangan tentang pemberian elaun kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) kepada bentuk gaji tetap dalam Belanjawan 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia antara perkara perlu diperhalusi bagi memastikan kebajikan guru-guru KAFA di negara ini terbela.

“Itu (elaun kepada gaji tetap) memang dalam pertimbangan cuma banyak perkara yang perlu dilihat termasuk daripada sudut kedudukan kewangan negara dan struktur sendiri.

“Kita mengambil kira pertimbangan asas adalah kita hendak pasukan guru KAFA kebajikannya terpelihara dan terlindung dan dijaga. Itu harapan kita kerana guru KAFA ini yang mendidik anak-anak dan kalau kita tidak jaga kebajikan mereka sukar untuk mereka nak mendidik anak-anak dengan gembira dan tenang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Ihtifal Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-8 Tahun 2023 di sini semalam.

Seramai 672 orang menyertai enam acara yang dipertan­dingkan iaitu tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, bercerita kisah al-Quran, khat, jawi dan nasyid.

Johor muncul johan kese­luruhan dalam pertandingan yang berlangsung selama dua hari itu.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan nasib guru-guru KAFA di seluruh negara yang dilihat tidak terbela dan lantikan mereka yang berstatus tahunan juga menyebabkan sukar untuk urusan pinjaman kewangan.

Ini kerana sejak sekolah agama diperkenalkan 33 tahun lalu, guru-guru KAFA yang mengajar 1.3 juta murid hanya dibayar elaun kontrak antara RM1,000 hingga RM1,300 sebulan.

Elaun bulanan tersebut bukan sahaja berbeza antara ne­geri tetapi pendapatan mereka juga dalam kategori di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM2,208 sebulan

Dalam perkembangan lain, Mohd. Na’im berkata, kuasa dan tindakan berkaitan kejadian zikir menari yang didakwa berlaku di Makam Tok Kenali di Kelantan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa penuh jabatan agama Islam di peringkat negeri terbabit.

Beliau berkata, jabatan agama negeri akan menentukan daripada sudut hukum kepada isu terbabit.

“Saya berpandangan bahawa Mufti Kerajaan Negeri Kelantan (dalam konteks ini) merupakan pihak yang berautoriti untuk menentukan dari sudut hukum berkaitan amalan yang dilakukan di perkuburan tersebut itu,” katanya.

Pada 24 Ogos lalu, media melaporkan cicit kepada Tok Kenali menegaskan rakaman video yang menunjukkan sekumpulan individu berzikir beramai-ramai dengan kaedah luar daripada kebiasaan bukan ajaran ulama terkenal itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×