PETALING JAYA: Russia menuduh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang dikuasai Barat sebagai berat sebelah, dijadikan boneka selain mengenakan peraturan ‘syok’ sendiri.
Malah, setiap gerakan ICC sehingga kini didapati tidak disokong dan tidak disertai China, Malaysia, Amerika Syarikat (AS), India, Turkiye, Iran, Indonesia, Arab Saudi, Pakistan dan banyak lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Duta Russia di Malaysia, Naiyl M. Latypov berkata, Barat didapati terus menyebarluaskan mandat antarabangsa ICC yang seakan-akan diiktiraf secara umum, namun, ternyata pihak berkenaan meminggirkan negara yang tidak menyokongnya.
Pada hakikatnya, Latypov memberitahu, ICC jelas dijadikan alat perjuangan kolektif Barat untuk menentang kerajaan yang tidak disukainya dan Russia juga tidak berkecuali.
“Pada 17 Mac lalu, ICC mengeluarkan waran tangkap kepada Presiden Russia, Vladimir Putin, dan Pesuruhjaya Presiden untuk Hak Kanak-kanak, M.V. Lvova-Belova. Mereka dituduh ‘menculik’ kanak-kanak dari Ukraine iaitu pemindahan kanak-kanak dari zon perang ke kawasan selamat di Russia dan Barat menyebutnya sebagai penculikan.
“Berdasarkan logik ini, kanak-kanak itu harus ditinggalkan dari bawah bom Ukraine. Logik kami adalah untuk menyelamatkan mereka (kanak-kanak) dan membolehkan bersatu semula dengan ibu bapa mereka. Bagaimanakah ICC berjaya meluluskan keputusan itu (menyifatkan penculikan)? Pada malam sebelum keputusan itu diterima, Hakim Antoine Kusie-Mbe Mindua (Congo) tiba-tiba dikeluarkan daripadanya,” katanya.
Dalam kejadian lain, tambah Latypov, sehari sebelum permulaan prosedur penangkapan bekas Ahli Parlimen British dari Parti Konservatif yang menjalani hukuman atas pertuduhan gangguan seksual terhadap seorang remaja lelaki, tertuduh bagaimanapun diperintah oleh peguam ICC, K Khan yang juga merupakan adiknya supaya dibebaskan dari penjara London, United Kingdom di mana tertuduh menghabiskan hanya separuh tempohnya di penjara.
“Kisah ini disiarkan secara terbuka oleh BBC, CNN. Apa yang boleh disimpulkan daripada peristiwa ini? Satu lagi contoh baharu yang membuktikan bahawa Barat menjadikan ICC sebagai alat dasarnya. Sebaik sahaja Presiden Uganda bersuara menentang dasar penjajah Barat dan bertelagah dengan AS, ICC segera muncul dengan tuduhan yang lebih berat,” ujarnya.
Menurut Latypov, rasuah dan dasar piawaian berganda dalam ICC bukanlah satu rahsia.
“Dapatkah anda membayangkan situasi di mana wang dipindahkan secara terbuka ke mahkamah untuk mengadakan perbicaraan terhadap defendan yang dilantik oleh penaja sendiri terlebih dahulu? Dan dalam ICC, praktik ini dianggap biasa.
“Tengok sendiri, waran penangkapan warga Rusia diumumkan tiga hari sebelum Persidangan Penderma di London untuk menyokong ICC. Selama ini, para penaja Barat secara terbuka mengisytiharkan bahawa dana yang diberikan oleh mereka harus digunakan secara eksklusif untuk menyiasat ‘jenayah’ Rusia.
Sebenarnya, kata Latipov, ICC dipercayai mengambil wang daripada mereka yang berkepentingan dalam penyiasatan konkrit dan kebanyakan negara menganggap hal itu sebagai penyuapan mahkamah.
“Dan bagaimanakah ICC bertindak balas terhadap peristiwa peperangan di Afghanistan? Para hakim ICC boleh berbangga dengan diri mereka sendiri. Tidak seorang pun askar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang bertanggungjawab di atas jenayah yang dilakukan, apatah lagi dalam kalangan para pemerintah. Lebih-lebih lagi pimpinan negara-negara NATO tidak dikenakan hukuman apa pun.
“Tetapi sejak kewujudan ICC, badan mahkamah itu mengemukakan tuduhan terhadap 52 orang antaranya 47 dalam kalangan warga Afrika. Perangkaan yang menarik menunjukkan kekejaman yang paling besar dan berdarah dalam sejarah moden dilakukan oleh negara-negara Barat,” jelasnya.
Latypov turut mempersoalkan bekas Setiausaha Negara AS, Jeneral Colin Powell yang menipu seluruh dunia dengan mendakwa bahawa Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran dan sehingga kini tidak dihadapkan ke muka pengadilan.
Namun, katanya, puluhan ribu rakyat Iraq mati, tetapi ICC seolah-olah tidak mengambil peduli.
“Saya juga ingin bertanya kepada ICC, bagaimana pula dengan penjara rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang tersebar di seluruh Eropah. Atau hal itu benar-benar hal lain lagi?, soalnya. – UTUSAN










