Gagasan masyarakat madani jadikan etos negara

Gagasan masyarakat madani jadikan etos negara

DALAM ucapan di majlis Debat Perdana Madani baru-baru ini, Mohamed Khaled Nordin mahu gagasan masyarakat madani bukan sekadar difahami malah dipraktikkan dalam kehidupan harian. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA teruja untuk menghadiri Debat Perdana Madani yang diadakan di Dewan Tun Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Isnin lalu. Lebih penting, minat saya untuk memahami secara lebih mendalam konsepnya daripada pelopor idea itu sendiri, Datuk Seri Anwar lbrahim yang dijadual berucap sekitar 10.30 pagi. Namun, beliau tidak dapat hadir kerana keuzuran dan sebagai gantinya ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pesertanya agak ramai, memenuhi lebih separuh dewan yang mampu memuatkan sekitar 4,000 orang. Walaupun tidak berupaya untuk hadir sepanjang hari, saya kira ia satu kejayaan melihat daripada senarai ahli panel yang diundang merupakan tokoh-tokoh berwibawa termasuk dari luar negara.

Apa pun, saya tertanya-tanya dan berbincang dengan seorang rakan lama di UKM, Dr. Roosfa Hashim, ketika makan tengah hari, inginkan kepastian, “Adakah masyarakat madani ini suatu perkara baharu?”

Memuatkan artikel berkaitan…

Roosfa membawa ingatan saya pada sekitar 25 tahun lalu di UKM apabila dalam sesi syarahan perdana yang saya sampaikan untuk pengukuhan jawatan profesor bertajuk Tamadun Silam dan Pembinaan Tamadun Abad Ke-21 pada 27 Februari 1997. Ucapan itu katanya, diterbitkan semula dua kali bersama-sama ucapan Profesor Tan Sri Ismail Hussein. Kemudiannya dimuatkan juga beberapa ucapan Tun Mohd. Ghazali Shafie dalam koleksi bersama Tamadun Melayu Menyongsong Abd Ke-21 terbitan Penerbit UKM pada 2003.

Kembali ke rumah petang itu, saya mencari naskhah syarahan yang saya sampaikan 25 tahun dahulu. Betul, daripada 79 muka surat teks bercetak, dua ditumpu khusus tentang masyarakat madani. Antaranya rujukan kepada teks ucap utama Anwar bertarikh 26 september 1995 bertajuk Islam dan Pembangunan Masyarakat Madani dibentangkan di Festival Istiqlal, Jakarta. Ketika itu beliau Timbalan Perdana Menteri.

Antara lainnya Anwar mentakrifkan masyarakat madani sebagai ‘sistem sosial yang subur diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat. Masyarakat yang mendorong daya usaha serta inisiatif individu, baik dari segi pemikiran, seni, ekonomi dan teknologi.’

Dalam syarahan saya itu, dinyatakan juga masyarakat madani perlu mempunyai ciri-ciri civil society bermaksud kesedaran terhadap kehidupan berorganisasi dan penglibatan masyarakat massa dalam proses kenegaraan. Ia mestilah merangkumi kesedaran terhadap kebersihan, peraturan hidup, menghormati ibu bapa, guru serta orang tua yang merupakan nilai tradisi masyarakat kita; kepatuhan kepada masa serta keprihatinan terhadap kualiti alam sekitar. Sudah tentunya memerangi gejala rasuah adalah agenda yang sepatutnya diutamakan kerana ia merupakan virus bahaya paling mudah untuk merosakkan sesuatu organisasi dan meruntuhkan sesebuah tamadun sedang dibina.

UMNO

Pada fahaman saya, konsep madani itu berkaitan konsep tamadun, mada’in atau mudun yang kemudiannya melahirkan perkataan Madinah. Bagi pemikir Arab Andalusia abad ke 14 hingga 15, Ibnu Khaldun antara paling awal menggunakan istilah ini, madani lahir daripada perkataan al-madaniyah yang membawa erti kemakmuran hidup atau peradaban.

Dalam lain perkataan, ia bermaksud tamadun tinggi manusia mencakupi segala-galanya yang mempunyai keseimbangan di antara kemajuan material dengan spiritual, pertumbuhan ekonomi seiringan seni dan kreativiti, serta kemajuan individu dan keluarga bersama-sama kesejahteraan sosial secara umumnya dalam sebuah masyarakat yang menyanjung tinggi prinsip keadilan dalam erti kata luas.

Salah seorang tetamu undangan dari luar negara, Profesor Recep Santurk dari Qatar membincangkan madani dalam kerangka teori kitaran yang diperkenal oleh Ibn Khaldun di mana setiap tamadun, kerajaan mahupun organisasi akan melalui lima tahap perkembangan yang akhirnya membawa kepada kejatuhan.

Akibat daripada kelemahan dalaman dan apabila satu tamadun atau organisasi mengalami kejatuhan akibat kelekaan para pemimpinnya yang berfoya foya kerana kemakmuran dikecapi, serta kelemahan dari segi kerjasama dan permufakatan ahli masyarakatnya, ia akan diganti dengan sekumpulan elit baharu agresif lagi berkemampuan menggantikan yang lama. Namun, beliau berbeza pandangan dengan Ibn Khaldun dari segi jangka hayat sesebuah tamadun. Jika dibuat perbandingan, kerajaan Islam Uthmaniyyah dan kerajaan Islam Andalusia mampu bertahan masing-masing sehingga 500 dan 600 tahun berbanding Empayar Melaka hanya 110 tahun.

Saya cenderung untuk mengaplikasikan teori kitaran Ibn Khaldun ini kepada situasi semasa UMNO di mana sebuah organisasi politik orang Melayu yang begitu gagah lagi dikagumi suatu ketika dahulu secara tiba-tiba jatuh terdampar setelah mampu bertahan selama 75 tahun ataupun dua generasi akibat kelekaan para pemimpin elitnya.

Sebagai rumusan perbincangan, kami berpendapat ia adalah suatu gagasan besar ala sebuah ideologi semasa untuk pembangunan negara pada abad ke-21 ini oleh pucuk pimpinan kerajaan perpaduan yang masih lagi di peringkat pembangunan minda serta memberi erti dan dalam proses menyebarkan pemahamannya.

Pada masa tahap awal atau tahun pertama ini, ideanya masih berlegar dalam kalangan para elit dan penjawat awam dan masih jauh daripada sampai ke akar umbinya. Usaha untuk membangkitkan kesedaran madani dalam kalangan masyarakat massa masih perlu dipertingkatkan. Tepat sekali kata kata dalam ucapan perasmian Mohamed Khaled bahawa gagasan masyarakat madani ini perlulah dibina dan dibentuk kukuh supaya menjadi sebuah etos negara yang bukan sekadar difahami tetapi juga diguna pakai serta direalisasikan secara praktikal dalam kehidupan harian. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Presiden Persatuan Melayu Polinesia Sedunia dan Pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×