PETALING JAYA: Jabatan Imigresen mengesahkan seramai 1,086 pendatang asing tanpa izin (PATI) Myanmar dihantar pulang secara sukarela ke negara asal mereka menggunakan tiga buah kapal Tentera Laut Myanmar melalui Lumut, Perak, semalam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semua yang dihantar pulang tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka.
“Mereka bersetuju untuk pulang pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,” kata beliau dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, semua PATI berkenaan dihantar pulang melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak menggunakan tiga buah kapal Tentera Laut Myanmar.
Katanya, imigresen menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra akan terus berusaha mendapatkan persetujuan negara-negara lain seperti Vietnam, Indonesia dan Bangladesh untuk mengikut jejak Myanmar membawa pulang rakyat masing-masing yang menyalahi akta imigresen.
“Masih ramai PATI warga negara lain yang ditahan dalam depot-depot imigresen di negara ini.
“Imigresen berterima kasih kepada TLDM dan Kedutaan Myanmar yang melaksanakan program penghantaran pulang 1,086 PATI Myanmar hari ini (semalam),” kata beliau.
Kesemua PATI tersebut sebelum ini ditahan di depot-depot imigresen di seluruh negara sejak tahun lalu.
Kata beliau, program penghantaran pulang itu adalah sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh Imigresen bagi tahanan yang ditempatkan di depot.
Jelasnya, proses pengusiran pada tahun lalu perlahan kerana kebanyakan negara menutup pintu sempadan.
Terdahulu, satu sumber berkata, kesemua warga Myanmar itu membabitkan mereka yang terlibat kesalahan seperti tiada dokumen pengenalan diri, memalsukan dokumen, tinggal lebih masa, jenayah dan kesalahan-kesalahan lain.
Jelasnya, pihak Kedutaan Myanmar yang menentukan tahanan tersebut dipilih untuk dihantar pulang semalam.
“Senarai tersebut adalah daripada nama dikemukakan oleh kerajaan Malaysia dan hampir 95 peratus membabitkan etnik Chin beragama Buddha.
“Mereka yang dihantar pulang telah ditahan lebih setahun di depot Jabatan Imigresen di seluruh Malaysia kecuali di Sabah dan Sarawak,” kata sumber itu.
Mengulas lanjut, sumber itu memaklumkan, proses pengusiran itu bermula kira-kira pukul 8 pagi melibatkan imigresen, Angkatan Tentera Malaysia, TLDM serta tentera Myanmar.
“Proses ini berjalan lancar dengan kawalan ketat serta mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Prosedur penghantaran pulang ini adalah proses biasa kerana sebelum ini kita juga pernah menghantar tahanan warga asing lain. Ini bagi mengurangkan kesesakan di depot imigresen selain bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di depot tahanan,” katanya.
Mengulas lanjut, sumber berkata, mengambil kira pergolakan yang berlaku di Myanmar, tidak timbul isu bahawa kerajaan Malaysia bersikap tidak berperikemanusiaan seperti didakwa beberapa pertubuhan bukan kerajaan.
Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membenarkan penangguhan interim penghantaran pulang 1,200 rakyat Myanmar dari Markas Pangkalan TLDM Lumut sementara menunggu permohonan kebenaran semakan kehakiman dua organisasi bukan kerajaan (NGO) yang didengar hari ini.
Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membenarkan permohonan ex parte (sebelah pihak) Asylum Access Berhad dan Aimal Sdn. Bhd. selaku pemohon sementara menunggu pelupusan pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman didengar dan dilupuskan.
Mahkamah membuat perintah tersebut dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian.
Semakan kehakiman itu antara lain memohon agar keputusan kerajaan untuk menghantar balik individu-individu berikut ke Myanmar yang telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian digantung sehingga pelupusan pendengaran kebenaran untuk semakan kehakiman. – UTUSAN











