APABILA bercakap mengenai petugas barisan hadapan yang gigih berjuang menyelamatkan negara tatkala pandemik Covid-19, pastinya gambaran rata-rata masyarakat adalah petugas kesihatan di hospital atau polis dan tentera di sekatan jalan raya (SJR).
Jarang sekali untuk membayangkan kisah pengorbanan wira ‘celoreng api’ dan peranan mereka dalam usaha melandaikan angka jangkitan yang masih empat digit, meskipun Perintah Kawalan dan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan kerajaan.
Di Melaka, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri terus progresif bukan sahaja dalam melaksanakan tugas-tugas penyelamatan, tetapi turut menggalas tanggungjawab baharu dalam mengekang penularan Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarahnya, Abu Obaidat Mohamad berkata, bermula dari April 2020 sehingga 18 Februari lalu, pasukannya menjalankan 2,662 operasi sanitasi di 14 lokasi, termasuklah pada kenderaan yang digunakan oleh orang awam.
Beliau memberitahu, operasi sanitasi itu dilaksanakan secara harian dan perancangan pula adalah berdasarkan laporan orang awam atau agensi-agensi kerajaan mahupun swasta.
“Jumlah kumulatif sanitasi yang dijalankan adalah sebanyak 2,662 dengan operasi tertinggi telah dijalankan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh berjumlah 519 kes.
“Selebihnya, operasi sanitasi telah dijalankan oleh sembilan BBP yang lain melibatkan pasukan di ketiga-tiga daerah di negeri ini,” katanya.

Jelas Abu Obaidat lagi, jika mengikut pecahan lokasi umum yang telah dijalankan sanitasi, jumlahnya adalah rumah ibadat (850), kompleks atau bangunan kerajaan (681), sekolah atau institusi pengajian (402), bas institut pengajian tinggi (324) dan kawasan perniagaan (116).
Selain itu, operasi turut dijalankan di sekatan jalan raya (85), kawasan pelancongan (62), kawasan persendirian (61), stesen minyak (25), kawasan perumahan (19), pasar raya dan gedung beli-belah (17), pasar awam (14) dan lapangan terbang, stesen kereta api dan jeti (empat) dan terminal bas serta teksi (dua).
Kata Abu Obaidat, pasukannya juga bertindak ke atas laporan bagi tugas-tugas khas meliputi operasi melibatkan serangga berbisa seperti tebuan dan lebah, serta bantuan pengurusan mayat.
“JBPM Melaka juga mengendalikan jumlah panggilan kecemasan yang melonjak naik sebanyak 47 peratus berbanding tahun 2018 dengan sebanyak 5,817 panggilan diterima,” jelasnya.
OPERASI PADAM 1,897 KEBAKARAN
Menyentuh mengenai operasi penyelamat pula, pada tahun lalu, Abu Obaidat berkata, JBPM Melaka berjaya melakukan operasi pemadaman kebakaran sebanyak 1,897 kes, manakala 1,847 kes melibatkan kerja-kerja penyelamatan termasuklah bencana banjir.
Katanya, jumlah kes kebakaran paling tinggi direkodkan pada tahun lalu adalah pada Februari disebabkan cuaca panas dan faktor manusia termasuklah pembakaran lalang secara terbuka.
“Kini, kita juga sedang mengalami musim panas, jadi saya meminta orang ramai khususnya penduduk di luar bandar supaya tidak melakukan pembakaran terbuka sama ada membakar daun-daun kering mahupun melupuskan sampah kerana kebakaran boleh merebak disebabkan faktor cuaca dan angin,” tegasnya.
Yang lebih membanggakan, jumlah taksiran yang berjaya diselamatkan pasukan wira ‘celoreng api’ itu pada tahun lalu di negeri ini adalah bernilai RM828.8 juta.












