SEREMBAN: Petugas media mula berkumpul di perkarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di sini, pagi ini bagi mendapatkan reaksi Datuk Ismail Lasim susulan pembatalan pelantikan semua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa serta-merta.
Ia susulan kegagalan media mendapatkan reaksi Menteri Besar berhubung perkembangan isu berkenaan selepas tidak dibenarkan memasuki Wisma Negeri, hari ini.
Wakil Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebelum ini memaklumkan kawalan keselamatan di Wisma Negeri telah diperketatkan sejak 18 September lalu.
Bagaimanapun, setakat pukul 11.30 pagi ini, tiada kenderaan dilihat keluar masuk di Kediaman Rasmi Menteri Besar itu.
Petugas media masih berada di lokasi bagi mendapatkan reaksi Ismail berhubung perkembangan terkini berkenaan.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua 10 Exco berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali yang dikeluarkan malam tadi, keputusan itu dibuat selepas Baginda mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Menurut kenyataan sama, kesemua Exco berkenaan sebelum ini mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Susulan pembatalan pelantikan itu, Menteri Besar perlu mempersembahkan senarai calon Exco baharu untuk pertimbangan dan perkenan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Sepuluh Exco yang pelantikannya dibatalkan ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mustapha Nagoor, Datuk Zaifulbahri Idris, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah. – UTUSAN











