PETALING JAYA: UMNO perlu mencari jalan untuk mengatasi defisit kepercayaan orang Melayu terhadap parti itu sendiri untuk kekal relevan daripada menukar logo daripada Barisan Nasional (BN) kepada UMNO pada pilihan raya akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, menukar logo hanyalah sekadar ‘hiasan kulit’ namun tidak mengubah keraguan orang Melayu terhadap parti tersebut.
Beliau berkata, hilangnya kepercayaan pengundi Melayu terhadap UMNO bukanlah kerana logonya.
DOMINAN
Sebaliknya, ketika menggunakan logo BN pun, pengundi tetap akan mengingati UMNO kerana parti tersebut sinonim dan dominan dalam gabungan berkenaan.
“Saya melihat tiada masalah untuk menggunakan guna logo UMNO itu, namun ketika menggunakan (logo) Barisan Nasional juga orang akan teringat UMNO kerana UMNO dan Barisan Nasional adalah sinonim.
“Jadi, pertukaran logo ini hanyalah sebagai hiasan kulit saja tidak membawa perubahan dari segi struktur atau persepsi pengundi Melayu itu sendiri.
“Masalah UMNO adalah organisasi atau kepimpinan parti itu sendiri,” katanya.
Katanya, beliau juga melihat cadangan pertukaran logo tersebut sama juga dengan ‘suara-suara’ yang mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk meletakkan jawatannya atas prestasi buruk parti tersebut.
Menurutnya, pengunduran Ahmad Zahid tidak akan menyelesaikan masalah UMNO.
STRATEGI
“Ia tidak akan menyelesaikan masalah kerana strategi desakan itu tidak menghilangkan keraguan (orang Melayu) terhadap UMNO, sama juga dengan pertukaran logo.
“Mungkin bila desakan dibuat untuk (Ahmad) Zahid undur diri, bila ada cadangan untuk menukar logo dengan menggunakan logo UMNO mungkin boleh menyedapkan hati kerana mereka rasa telah melakukan sesuatu untuk manfaat UMNO.
“Bagaimanapun, pada hakikatnya ia tidak akan mengubah apa-apa persepsi pengundi Melayu terhadap UMNO bukan kerana presiden bukan kerana logo,” katanya.
Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu hantaran di Facebook miliknya melontarkan persoalan adakah sudah tiba masanya UMNO bertanding atas tiket sendiri pada pilihan raya akan datang atau masih di bawah bendera BN atau di bawah BN dengan gabungan baharu.
Persoalan tersebut menimbulkan pelbagai pertanyaan sama ada UMNO akan bertanding secara ‘solo’ dengan meninggalkan BN yang turut disertai MIC dan MCA atau sekadar menggunakan logonya sendiri pada pilihan raya akan datang.
BN pada pilihan raya di enam negeri baru-baru ini mencatatkan prestasi terburuk apabila hanya berjaya menawan 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya. – UTUSAN










