KALAU anda merasakan dengan melemparkan gelaran mak cik bermulut becok akan membuatkan dirinya berasa tersinggung atau terluka, maaf, ia mungkin tidak akan pernah berlaku.
Ini kerana Sharifah Shahirah sepertinya sudah terbiasa dengan karektor begitu yang sudah sedia ada sebati dengan dirinya.
Dari satu sudut, tentunya wanita berusia 46 tahun ini berasa mustahil untuk dia berubah menjadi orang lain semata-mata demi memuaskan hati semua pihak.
Malah, dek perangai ‘mak cik-mak cik’ inilah yang menyebabkan dia tidak lekang didatangi rezeki, menerima tawaran kerja selain disayangi peminat-peminat setianya.
“Usia saya sudah hampir menjengah ke angka 50, kalau masih berangan nak jadi macam anak dara mestilah macam ada yang tak kena juga.
“Ada artis lain, contohnya macam Che Ta. Dia lebih suka memotretkan imej dirinya sebagai seorang wanita yang classy dan bergaya muda. Saya pula tak macam tu.
“Tak apalah kalau saya dah tak cantik-cantik, nampak macam mak cik, perangai pun begitu. Kiranya sesuailah dengan usia bukan?,” katanya.
Berkongsi lanjut, kata isteri kepada pelakon Ijoy Zahari ini, dia tidak merasakan berperangai seperti mak cik-mak cik itu sesuatu yang jelik kerana jika dikaitkan dengan bidang lakonan, dia sedari dahulu selesa membawakan watak seperti itu.
“Dari muda saya sudah membawakan watak orang kampung, bermulut becok dan sebagainya. Kemudian orang kata, alahai Shahirah ini kampungnya.
“Tak ada pula saya nak berkecil hati. Okey sahaja. Buat apa nak malu kalau memang inilah diri saya. Terimalah realiti,” katanya.
Sempat menyelitkan jenaka spontan, kata pengacara dan penyampai radio Suria FM ini lagi, walaupun dirinya dianggap wanita kampung, dia berbangga kerana pernah menjadi gadis penghias sampul hadapan majalah terkemuka tanah air satu ketika dahulu.
“Jangan main-main makcik ini pernah juga sarung baju glamor-glamor tahu!” katanya tertawa.

Menyedari dirinya sering dilihat penuh dengan sifat Happy Go Lucky, kata wanita yang baru-baru ini tular dengan aksi bersahajanya dalam program Famili Duo TV3, dia mengaku melalui perjalanan hidup yang sama sahaja dengan orang lain.
Kata wanita ini, tiada bezanya dia dengan mana-mana isteri atau para ibu lain kerana apa yang dipaparkan dalam Instagram atau media sosial baginya adalah apa yang orang mahu lihat.
“Ini realiti, saya di rumah pun ada sahaja gaduh dengan suami, bertekak dan menjerit dengan anak-anak, pegang rotan dan macam-macam lagilah berlaku dalam rumah.
“Cuma semua itu ibaratnya tak sempat divideokan, tidak digambarkan. Iyalah, buat apa nak tunjuk pada orang? Saya di rumah memang biasa-biasa sahaja, sama macam orang lain,” katanya.
Tidak menolak bahawa ramai memilih untuk memaparkan yang indah-indah sahaja dalam platform media sosial, Shahirah tidak merasakan penting untuk dia hidup dalam keadaan menunjuk-nunjuk setiap masa.
“Buat apa nak jadi macam tu? Kasihanlah pada hati mereka yang tak tenteram kalau tengok kita bahagia, kita lebih daripada dia.
“Tak perlulah. Saya okey sahaja hidup sederhana macam ini, gembira dan bahagia sahaja,” katanya.








