1MDB: Pendedahan Zeti sepanjang perbicaraan

1MDB: Pendedahan Zeti sepanjang perbicaraan

Zeti Akhtar Aziz hadir memberi keterangan bagi sambung bicara kes penyelewangan dana 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, baru-baru ini. – MINGGUAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pada 2 Julai 2018, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz tahu tentang derma Arab RM2.6 bilion yang memasuki akaun peribadinya.

Sepanjang mengetahui mengenai derma itu, Zeti, dakwa Najib, tidak pernah mempersoalkan perkara tersebut atau memberi sebarang bayangan bahawa mereka meragui sumber kewangan berkenaan.

Bagaimanapun, sejak 27 Julai lalu, Zeti mula ‘buka cerita’ bukan sahaja membabitkan derma Arab itu tetapi berhubung penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pemeriksaan utama (27 Julai & 14 Ogos)
Pada 28 Januari 2011, Pengarah Urusan Kumpulan AmBank melakukan kunjungan hormat kepada saya dan memaklumkan Najib akan buka akaun di AmIslamic Bank Berhad dan memaklumkan akaun tersebut ada dirujuk menggunakan kod khas. Tiada pada bila-bila masa, Cheak Teck Kuang memaklumkan mengenai derma yang akan dimasukkan dalam akaun tersebut. – Ketika membaca penyataan saksinya.

Bank Pusat (BNM) tidak jalankan pemantauan terhadap akaun individu. Tugas itu digalas oleh bank komersial yang menguruskan akaun terbabit. – Ketika membaca penyataan saksinya.

Pada 20 Jun 2013, Najib memohon kebenaran bahagian Pentadbiran Tukaran Wang Asing untuk menukar wang RM2.6 juta yang ada dalam akaun semasanya ke dalam bentuk mata wang dolar Amerika. – Ketika membaca penyataan saksinya.

Dalam suratnya, Najib mengisytiharkan wang (RM2.6 juta) adalah wang derma yang tidak digunakan dan hadiah peribadi yang diterimanya. – Ketika membaca penyataan saksinya.

BNM tidak mempunyai pengetahuan bahawa wang dalam akaun Najib adalah daripada 1MDB. – Ketika membaca penyataan saksinya.

Pada 13 Mac 2015, BNM terima maklumat risikan luar negara memaklumkan terdapat sejumlah wang yang besar telah didepositkan ke dalam satu akaun di negara mereka yang dimiliki rakyat Malaysia, Low Taek Jho (Jho Low).

Antara dokumen yang dirampas ialah tiga keping surat daripada Saud Abdulaziz Majid AL Saud yang tidak pernah didedahkan kepada BNM. – Ketika disoal mengenai derma Arab dan serbuan di AmBank, Jalan Raja Chulan.

Walaupun ada banyak bukti yang dikumpul dan direkodkan oleh BNM dalam kertas siasatan, apabila diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (bawah pimpinan Tan Sri Mohamed Apandi Ali) mengklasifikasikan siasatan itu sebagai “Tiada Tindakan Lanjut”. – Ketika disoal mengenai siasatan BNM berhubung penyelewengan dana.

Jumlah tersebut lebih tinggi daripada yang dinyatakan oleh Najib sebelum ini – Ketika ditanya mengenai dokumen serbuan yang menunjukkan RM3.2 bilion telah dimasukkan ke akaun Najib.

Dia berbohong. – Ketika ditanya mengenai dakwaan Najib bahawa beliau mengetahui mengenai derma Arab RM2.6 bilion.

Pada 3 Julai 2015, saya dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri dan beliau (Najib) meminta saya mengeluarkan kenyataan bahawa Najib tidak melakukan perkara salah membabitkan akaunnya.

Tidak normal untuk Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan tidak memberi sebarang maklum balas apabila ditanya mengenai 1MDB yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan (Diperbadankan). – Ketika ditanya sama ada Najib pernah memberi jawapan mengenai hutang 1MDB.

Najib tidak pernah tanya. – Ketika menjawab soalan sama ada Najib pernah bertanya mengenai transaksi membabitkan akaun peribadi miliknya.

Sesi soal balas (14-18 Ogos)

Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. – Apabila ditanya mengenai sama ada beliau sedar pihak berkuasa Singapura menyiasat syarikat suaminya.

Saya tidak pernah didatangi oleh mana-mana badan siasatan. – Berhubung dakwaan syarikat suaminya menerima wang daripada Jho Low.

Tiada pada bila-bila masa tindakan diambil terhadap mana-mana ahli keluarga saya oleh mana-mana pihak berkuasa dalam atau luar negara. Ketika disoal mengenai dakwaan ahli keluarganya menerima wang daripada Jho Low.

Suami saya yang sebenarnya membuat laporan kepada pihak berkuasa Singapura berhubung transaksi wang yang diragui dan memohon agar wang itu dipulangkan kepada pelabur. Saya percaya, pihak pembelaan menyoal mengenai wang tersebut kerana ia telah dipulangkan ke Malaysia. Ketika disoal lanjut mengenai dakwaan ahli keluarganya terima wang daripada Jho Low.

Apa yang saya tahu, tiada mana-mana individu dalam keluarga saya yang mengambil duit daripada 1MDB. – Ketika disoal lanjut mengenai dakwaan ahli keluarganya terima wang daripada Jho Low.

Tunjukkan saya buktinya. Tunjukkan kepada saya aliran keluar wang tersebut (ke dalam akaun syarikat Cutting Edge). – Ketika disoal lanjut mengenai dakwaan ahli keluarganya terima wang daripada Jho Low.

Suami saya (Datuk Dr. Tawfiq Ayman) pernah (buat kenyataan). Beliau (Tawfiq) tidak pernah kenal kedua-dua individu ini. Saya tidak pernah buat sebarang kenyataan kerana ia (dakwaan) merujuk kepada suami saya. – Ketika ditanya mengenai bekas-bekas pegawai Goldman Sachs, Tim Leissner dan Roger Ng.

Ketika pasukan petugas khas berjumpa (pertama kali) tiada sesiapa yang ada pengetahuan bahawa terdapat kaitan di antara 1MDB, wang yang diselewengkan dengan akaun bank Perdana Menteri (Najib). – Ketika disoal Pasukan Petugas Khas Menyiasat 1MDB.

Saya tidak pernah menerima sebarang hadiah mewah daripada sesiapa. – Ketika ditanya mengenai dakwaan Jho Low gemar menghadiahkannya hadiah mahal.

Tidak masuk akal dan melampau! – Ketika ditanya berhubung dakwaan Jho Low sering ke rumahnya pada hujung minggu di Bukit Tunku untuk masak pasta buat keluarga Zeti.

Tiada sebab untuk tidak meluluskan pemindahan AS$700 juta dana 1MDB ke luar negara kerana ia telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah 1MDB, kerajaan juga dah beri kelulusan.

Maklumat yang diberikan adalah maklumat terpilih. Laporan penuh mana-mana minit mesyuarat adalah rahsia, bank hanya diberikan sebahagian sahaja. Apa yang penting bagi BNM, terdapat kenyataan daripada CEO 1MDB yang menyatakan dana tersebut tidak akan dilencongkan ke tempat lain. – Ketika ditanya mengenai pemindahan dana 1MDB sebanyak AS$700 juta ke syarikat Good Star Limited milik Jho Low.

Secara bertulis tiada. Tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku di belakang tabir. Ketika ditanya sama ada Najib ada mengarahkan mana-mana kakitangan BNM untuk meluluskan pemindahan wang.

Sesi soal balas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terhadap Zeti bersambung 28 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×