KUALA LUMPUR: Semua pemimpin politik perlu membersihkan minda mereka daripada tanggapan Perdana Menteri atau badan eksekutif boleh campur tangan dalam keputusan mahkamah mengenai sesuatu kes.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad memberi ingatan itu selepas melihat seolah-olah ada kaitan antara keputusan UMNO keluar daripada Perikatan Nasional (PN) dengan keputusan Mahkamah Tinggi menghukum bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram minggu lalu.
Menurut beliau, ia berikutan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO akan mengambil keputusan politik yang besar selepas sabitan bersalah Najib dibacakan hakim.
“Kenyataan itu memberi gambaran kerana marah atau kecewa Najib disabitkan dan dihukum, Presiden UMNO itu membuat keputusan menarik UMNO keluar daripada PN.
“Tanpa apa-apa penjelasan selanjutnya, apa yang kita fikir ialah ahli Parlimen UMNO tidak akan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan Muhyiddin serta kerajaan PN akan tumbang,” katanya dalam satu kenyataan.
Minggu lalu, Najib dijatuhkan hukuman penjara dan denda RM210 juta atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Dua hari selepas keputusan tersebut, Ahmad Zahid mengumumkan UMNO memutuskan untuk tidak menyertai PN, sebaliknya parti itu akan memberi komitmen memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan Pas dan komponen Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Abdul Hamid mempersoalkan kepada siapa kekecewaan dan kemarahan Ahmad Zahid itu ditujukan.
“Satu-satunya andaian yang boleh dibuat adalah kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan kerajaan PN kerana tidak mahu campur tangan untuk membebaskan Najib sama ada dengan mengarahkan Pendakwa Raya menarik balik pertuduhan atau mengarahkan hakim membebaskannya.
“Jika itulah sebabnya, maka ia amatlah mendukacitakan. Ia bererti bahawa beliau membawa UMNO menyertai PN dengan tujuan atau sekurang-kurangnya dengan harapan Perdana Menteri dan kerajaan PN akan membebaskan Najib dan mungkin beliau juga,” katanya.
Kata Abdul Hamid, keadaan itu jika berlaku menunjukkan Ahmad Zahid tidak menghormati prinsip pengasingan kuasa dan keluhuran undang-undang. – UTUSAN







