Puas hati dapat conteng dinding - Utusan Malaysia

Puas hati dapat conteng dinding

Siti Sarah Maswan melukis mural di atas dinding dua tingkat dengan hanya memanjat tiang gol.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tubuhnya kecil molek saja tapi ia tidak menghalang Siti Sarah Maswan memanjat dinding setinggi dua tingkat untuk melukis mural.

Pelukis mural berusia 26 tahun itu, mengakui tidak berasa gayat berada di tempat tinggi walaupun hanya berdiri di atas tangga atau besi perancah.

Malah pernah juga gadis berjiwa kental ini melukis mural di atas dinding dua tingkat dengan hanya memanjat tiang gol.

“Mula-mula ngeri juga panjat dinding. Namun kerana minat dalam bidang melukis mural, saya lupakan rasa takut.

“Setakat ini saya bersyukur tiada sebarang kemalangan tidak diingini berlaku. Saya juga pastikan diri dilindungi insuran. Kalau nak guna kren, kos agak tinggi dan bergantung kepada bajet pelanggan,” katanya.

Gadis berasal dari Sekinchan ini sudah banyak menghasilkan lukisan mural.

Kebanyakan kemahiran melukis muralnya ditagih di sekolah kebangsaan dan menengah sekitar Selangor.

“Saya suka melukis sejak kecil lagi dan selalu kena marah dengan mak dan abah sebab suka conteng dinding di rumah.

“Rupa-rupanya sampai sekarang minat ‘conteng’ dinding masih berterusan. Bezanya sekarang, conteng dinding dapat duit. Rasa puas hati betul bila dapat conteng dinding yang besar,” katanya.

JANA PENDAPATAN

Kebanyakan mural dihasilkan berinspirasikan alam semulajadi seperti flora dan fauna serta hidupan laut serta doodle.

Lakaran beraneka warna dihasilkan menggunakan cat berkualiti tinggi supaya tahan lama selain menarik mata yang memandangnya mural dihasilkan.

Ujar Siti Sarah, tema mural bergantung kepada keinginan pelanggan.

Beliau hanya menyediakan beberapa gambar mural yang disarankan untuk pelanggan pilih.

Selain mural di dinding, beliau turut melukis mural di lantai atau tangga.

Projek mural pertama dihasilkan ialah di sekolah Sungai Terap, Tanjung Karang.

Bayaran untuk lukisan mural bergantung kepada saiz dan kerumitan.

Antara projek terbesar pernah dijalankan ialah melukis mural di atas lantai dan dinding dua tingkat di sebuah sekolah selama lapan hari pada awal tahun ini.

TUBUH BENGKEL MASDE

Graduan Seni Kraf Batik, Institut Kraf Negara ini asalnya adalah pelajar bidang kejuruteraan ukur tanah di sebuah politeknik di Kulim, Kedah.

Namun ternyata bidang itu bukan minatnya lantaran jiwanya lebih cenderung ke arah seni dan fesyen.

Biarpun awalnya keluarga tidak bersetuju dengan keputusan beliau berhenti daripada Politeknik, Siti Sarah tetap terus mengejar cita-cita dalam seni fesyen.

“Minat pada seni membuatkan saya meneruskan pengajian di Institut Kraf Negara di Rawang dan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang seni batik pada tahun 2019,” katanya.

Setahun bekerja di sebuah syarikat pengeluar batik di Kuchai Lama, Kuala Lumpur, pandemik Covid-19 pula melanda.

Situasi itu memaksa Siti Sarah balik ke kampung halaman di Sekinchan untuk menjaga ibu yang sedang sakit ketika itu.

Berada di kampung, mencambah ideanya untuk membuka sebuah bengkel batik.

“Kebetulan depan rumah kami ada sebuah rumah kecil, bekas tempat pekerja abah saya tinggal dulu. Saya cat semula rumah itu dan jadikan bengkel batik yang dikenali sebagai Masde Batik House. Masde adalah gabungan nama ibu bapanya iaitu Maswan dan Asma Dewi,” katanya yang membangunkan bengkel itu berbekalkan modal sendiri sebanyak RM4,000.

Biarpun ramai yang tidak yakin dengan kemampuan Siti Sarah, beliau tetap bulatkan tekad untuk berjaya.

MENEMPA NAMA

Hari ini Siti Sarah berjaya menempa nama dalam industri batik negara.

Fesyen berasaskan motif batiknya mula menerima tempahan daripada orang ramai.

Malah bengkelnya turut dikunjungi pelancong dari Korea dan Jepun yang berminat untuk melihat seni batik dan produknya secara dekat.

“Suasana kampung yang aman dengan pemandangan sawah padi menjadi pencetus inspirasi kepada saya dalam menghasilkan produk unik berasaskan batik.

“Saya suka corak abstrak, kartun dan kasual untuk gaya di pantai. Sentuhan motif batik yang ringkas digemari pelancong dari luar negara.

“Rekaan jubah tidur ala kimono dengan motif batik yang ringkas, pernah ditempah sebuah butik di New York untuk dipasarkan di sana,” katanya.

Tegas soal pembayaran

“MULA-MULA dulu saya tidak minta deposit kerana percaya pelanggan bayar bila tempahan siap. Tapi ada yang tidak mahu bayar selepas tempahan dibuat siap.

“Sejak kejadian itu, saya mengenakan deposit 50 peratus bagi setiap tempahan,” kongsi Siti Sarah mengenai pengalamannya selama bergiat dengan kerja melukis mural.

Cabaran lain katanya, berdepan pelanggan yang mahukan perkhidmatan melukis mural secara percuma atas alasan Siti Sarah kononnya sudah banyak duit,” katanya.

Pengalaman itu menyebabkan Siti Sarah tegas dalam soal pembayaran.

Beliau turut aktif mempelbagaikan strategi pemasaran bagi memastikan perniagaannya terus maju.

Antaranya menyertai pelbagai acara bagi mengetengahkan produk batiknya, seperti program Hari Kraf Malaysia yang turut dijalankan di seluruh negara.

Beliau juga sering menerima jemputan menyertai program anjuran Badan Bukan Kerajaan (NGO) di serata pelusuk negara.

Beliau turut menerima undangan mengajar kakitangan awam di beberapa kementerian untuk membuat batik.

“Bengkel saya turut dibuka kepada yang ingin membuat lawatan, belajar membuat batik dan menjalankan latihan industri,” katanya.

Ketika ditemui, Siti Sarah ditemani pelatih industri Politeknik Seberang Prai, Siti Nur Ain Chais dan pekerja, Arfah Humairah Hushaimi.

Tambah beliau lagi, pelatih industri di bengkel itu beruntung, kerana bukan saja belajar membuat batik tetapi cara berniaga.

“Ini bagi memastikan, apabila mereka keluar kelak, ilmu tidak terhad pada batik saja.

“Selain itu, mereka juga mampu menjana pendapatan sendiri dengan bakat yang ada.

Semangat usahawan Siti Sarah diwarisi daripada ibunya yang berniaga kedai makan berhampiran jalan besar Sabak Bernam.

Selain membina perniagaan dalam industri fesyen, Siti Sarah juga gemar memasak malah turut menyimpan cita-cita untuk membuka sebuah kafe berhampiran bengkelnya.

“Saya sedang mengusahakan untuk membuka kafe bagi memeriahkan lagi bengkel saya.

“Hidangan istimewa yang bakal ditawarkan adalah bakso. Menu itu sangat digemari penduduk tempatan dan pelancong,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×