Seludup ‘barang’ ke penjara Kelantan guna dron

Seludup ‘barang’ ke penjara Kelantan guna dron

HAZRY Desa bersama dron yang dihasilkannya untuk sistem pagar alam maya di Kangar, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kegiatan penyeludupan ‘barang’ terlarang ke penjara menggunakan dron mencetuskan kebimbangan apabila ia pernah dilaporkan berlaku di Kelantan pada 12 Disember lalu.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, polis menahan tiga lelaki yang dipercayai cuba menyeludup barang terlarang ke Pusat Pemulihan Akhlak Machang dengan menggunakan dron.

Menurut beliau, dron berkenaan dipercayai digunakan oleh pengendalinya untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam kawasan penjara.

Susulan kes berkenaan, sistem geofencing atau pagar alam maya merupakan kaedah berkesan dalam menangkis atau menghalang penerbangan dron bagi mencegah aktiviti menyeludup barang terlarang ke penjara melalui dron.

Sistem pagar alam maya ialah ciri yang menggunakan penerima Penentu Kedudukan Global (GPS) dron untuk menguatkuasakan amaran atau sekatan secara automatik berdasarkan tempat dron sedang terbang.

Pembangunan sistem berkenaan yang lebih jimat boleh dilaksanakan oleh pasukan penyelidik Pusat Kecemerlangan pesawat tanpa pemandu (UAV)/Centre of Excellence for Unmanned Aerial Systems (COE-UAS) Universiti Malaysia Perlis (Unimap) diketuai Prof. Dr. Hazry Desa yang juga merupakan salah seorang yang diiktiraf sebagai pakar dalam menghasilkan UAV di Asia.

Sistem pagar alam maya memang sudah teruji sebelum ini khususnya bagi menghalang penerbangan dron di lapangan terbang dan lokasi kritikal serta kawasan larangan lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hazry berkata, hasil pemerhatian dan kajian, lazimnya individu yang menyeludup barangan terlarang ke penjara menggunakan dron berkapasiti muatan barangan 200 sehingga 400 gram dan hanya mampu terbang setinggi 100 meter serta mampu bertahan sekitar 15 minit di udara.

Katanya, dron yang mungkin digunakan adalah jenis DJI dan seumpamanya yang har­ganya jauh lebih murah sekitar RM500 sehingga RM4,000.

Jelasnya, dron jenis itu mudah didapati dan ia dikenalpasti boleh digunakan untuk aktiviti tersebut.

“Sistem pagar alam maya tersebut akan menghalang penerbangan dron berkenaan untuk terbang melepasi kawasan yang telah ditetapkan. Atau dengan kata lain, dron terbabit tidak akan boleh bergerak ke hadapan jika ter­kena pagar alam maya ber­kenaan.

“Rata -rata penyeludup atau individu cuba menyeludup barangan terlarang itu ke penjara akan tertarik memilih dron jenis DJI kerana harganya yang mampu milik dan mampu digunakan melakukan aktiviti tersebut,” katanya.

Hazry yang berpengalaman luas dan banyak melaksanakan teknologi dron dalam bidang keselamatan, pemeriksaan, pertanian, pengawasan dan pelbagai lagi berkata, bagi membangunkan sistem berkenaan, beliau perlu berkomunikasi dengan syarikat DJI yang mengeluarkan dron jenis ber­kenaan.

Katanya, pagar alam maya berkenaan sesuai dibangunkan setinggi 500 meter di sepanjang ukur lilit kawasan penjara.

“Bagaimanapun, jika dron buatan sendiri, pagar alam maya itu tidak akan berkesan. Ia hanya berkesan dengan dron DJI sebab kita akan komunikasi dengan syarikat itu.

“Sistem berkenaan boleh dibangunkan dengan kerjasama syarikat tersebut memandangkan mereka mengeluarkan dron jenis berkenaan,” katanya.

Katanya lagi, aktiviti menyeludup barang terlarang ke penjara melalui dron itu me­rupakan satu ancaman dan ia memerlukan sistem berkesan bagi mengatasi permasalahan berkenaan.

“Berkemungkinan indivi­du yang menggunakan dron menyeludup barangan terlarang itu merancang dengan rapi dan sudah sedia maklum mengenai lokasi-lokasi spe­sifik yang sesuai dijatuhkan barang sebelum diambil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×