Pemimpin atau strategi UMNO mesti segera diubah - Utusan Malaysia

Pemimpin atau strategi UMNO mesti segera diubah

SEBAGAI Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi (tengah) mesti memikul tanggungjawab atas segala kekalahan dalam pilihan raya negeri 12 Ogos lalu dan tidak boleh menafikannya. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Negeri Ke-15 (PRN15) yang membabitkan enam negeri di Malaysia iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, baru sahaja melabuhkan tirainya baru-baru ini. Sebagaimana yang dijangka, keputusannya ialah pengekalan ‘status quo’ sebagaimana yang terdahulu.

UMNO paling terkesan dengan PRN15 ini bila menang hanya 19 dan kalah 89 kerusi yang ditandingi mencatatkan peratusan menang sebanyak 17.6 peratus berbanding Parti Amanah Negara (menang lapan dan kalah 23 kerusi) yang mencatatkan peratusan menang sebanyak 25.8 peratus. PKR (menang 26 dan kalah 33 kerusi) pula mencatatkan kemenangan 44.1 peratus dan DAP paling cemerlang memenangi sebanyak 46 daripada 47 kerusi (97.9 peratus).

Tiada perkataan lain yang boleh diungkapkan bagi menggambarkan prestasi keseluruhan UMNO dalam PRN15 ini selain daripada ‘kalah teruk’. Daripada 108 kerusi yang ditandingi oleh UMNO, parti tersebut hanya mampu menang sebanyak 19 kerusi sahaja. Keadaan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO.

Memuatkan artikel berkaitan…

Terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada berlaku keadaan ‘kalah teruk’ UMNO dalam PRN15 ini. Antaranya ialah, pertama, sikap overconfident (terlalu yakin) dalam kalangan segelintir pemimpin UMNO yang melihat usaha untuk memenangi PRN15 ini sebagai ‘kacang’ sahaja kerana UMNO ialah sebahagian daripada parti pemerintah dan boleh mengambil sedikit ‘manfaat’ daripada statusnya pada ketika ini.

Kedua, memandang rendah terhadap PRN15 sebagai satu bentuk ‘referendum rakyat’ dengan pelbagai ‘gelombang politik’ yang inginkan perubahan positif di negara ini. Ketiga, memandang rendah ‘kuasa politik rakyat’ yang mampu mengubah dengan ‘tangan/undi’ mereka apa-apa sahaja yang mereka fikirkan perlu diubahkan.

Selepas tamatnya PRN15 ini, kita mesti menerima hakikat bahawa keputusan ini boleh ‘menggegarkan’ kedudukan Kerajaan Madani di Putrajaya sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Walaupun ia tidaklah membabitkan pertukaran kerajaan Pusat atau pelantikan perdana menteri baru, aura PRN15 ini sudah cukup untuk membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak tidur lena.

Implikasi paling teruk dalam PRN15 ini ialah kepada UMNO. Daripada pemerhatian penulis di beberapa buah kawasan pengundian yang sempat ditinjau, rata-rata ahli dan penyokong UMNO sangat ‘marah’ kepada parti dan presiden parti mereka.

Ada dalam kalangan ahli dan penyokong UMNO tidak turun mengundi sebagai protes dan ada juga dalam kalangan mereka ini memberi undi kepada calon-calon daripada Perikatan Nasional (PN).

Sebagai pemimpin utama parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mesti memikul tanggungjawab atas segala kekalahan ini dan tidak boleh menafikannya. Dalam hal ini, penulis teringat kata-kata bekas calon pilihan raya presiden Amerika Syarikat, Mitt Romney, yang pernah mengatakan bahawa “kepimpinan adalah tentang mengambil tanggungjawab, bukan membuat alasan”.

Ringkasnya, Ahmad Zahid tidak boleh menafikan bahawa strategi beliau untuk mengadakan pakatan politik dengan PH selepas PRU15 telah ‘mengguris’ hati dan jiwa ahli UMNO khasnya di peringkat akar umbi. Jika ini bukan penyebabnya, masakan UMNO kalah teruk?

IKHLAS

UMNO perlu perubahan segera dari segala aspek demi memastikan survival berterusan dalam arena politik tempatan. Saranan sebegini sebenarnya sudah banyak diutarakan oleh ramai pihak dalam pelbagai bentuk artikel dan penulisan.

Malah penulis sendiri beberapa tahun lalu pernah menulis mengenai isu ini dengan mengatakan bahawa ‘saranan supaya UMNO berubah bukan sekadar slogan semata-mata’.

Pemimpin dan ahli UMNO juga boleh mengambil nasihat, saranan dan iktibar daripada pelbagai pihak dan sumber, termasuk daripada golongan bijak pandai. Pun begitu, bila dan bagaimana UMNO hendak berubah bergantung kepada dirinya sendiri.

Perubahan dalam UMNO mestilah datang secara ikhlas dari atas dan bukannya dari bawah. Pemimpinlah yang membentuk pengikut, dan bukan sebaliknya. Sementara kita semua sibuk melayan rasa pening kepada dan berkerut di dahi sambil memerhati statistik keputusan PRN15 yang membabitkan UMNO, usaha untuk berubah mesti dilakukan dengan segera.

UMNO masih boleh diselamatkan dengan syarat ia mesti berubah. Ingatlah bahawa keputusan PRN15 ini sebenarnya ‘suara’ rakyat termasuk ahli dan penyokong UMNO yang inginkan perubahan.

Cabaran terbesar UMNO untuk beberapa tahun akan datang, sekiranya masih wujud adalah untuk mendapat keyakinan dan kepercayaan sepenuhnya daripada seluruh ahli dan penyokong UMNO.

Cadangan untuk proses ‘pemutihan’ secara besar-besaran hingga ke peringkat akar umbi tidak memberi jaminan UMNO akan pulih kembali tetapi akan menambahkan lagi kebencian kepada UMNO dan akhirnya parti itu akan ditinggalkan dan mungkin kelak akan ‘dikuburkan’ tanpa batu nisan.

Apakah Ahmad Zahid berjiwa besar untuk menyahut desakan supaya beliau meletakkan jawatan sebagai presiden parti? Apakah timbalan dan tiga naib presiden UMNO serta ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO lain berani mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan jika beliau enggan berbuat demikian secara sukarela?

Jika Ahmad Zahid meletakkan jawatan atau bercuti sementara, UMNO akan dilihat berwajah baharu yang lebih segar di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan dibantu oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani selain Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Mohamad dan Khaled dari negeri yang UMNO menang, Negeri Sembilan dan Johor. Johari pula hebat kerana menang di Kuala Lumpur apakala semua calon lain kalah.

Jika Ahmad Zahid tidak sanggup meletakkan jawatan apakah beliau berani mengkaji balik strategi mengadakan pakatan politik dengan PH seperti diutarakan oleh Ahli MKT UMNO, Isham Jalil, iaitu bekerjasama hanya dalam kerajaan dan bukan dalam pilihan raya?

UMNO wajib segera berubah. Perubahan segera boleh datang dalam bentuk pengurusan organisasi tetapi lebih penting ialah dari sudut kepimpinan dan strategi. Sama ada pemimpin atau strategi, salah satunya mesti diubah untuk UMNO kembali relevan. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×