PETALING JAYA: Isu kepercayaan terhadap kepemimpinan dan dasar parti menjadi faktor UMNO ditolak orang Melayu dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang berakhir kelmarin.
Daripada 108 kawasan yang ditandingi parti terbesar orang Melayu itu, UMNO hanya mampu menawan 19 daripadanya walaupun memilih berada dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).
Naratif yang berlarutan sejak sekian lama itu menyebabkan rakyat terutamanya orang Melayu sendiri tidak lagi menjadikan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO sebagai tempat bergantung sehingga mendorong mereka memilih parti-parti lain sebagai wadah politik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, UMNO perlu melihat kepada cara parti ditadbir selama ini agar dapat menarik semula sokongan orang Melayu khususnya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) pada 2027.
“Bagi pendapat saya semua pemimpin UMNO di setiap peringkat termasuk Top 5, MT, ketua-ketua bahagian di setiap negeri tersebut termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri kena bertanggung jawab atas kekalahan ini. Saya secara peribadi, walaupun baru lima bulan menjawat jawatan Naib Presiden turut bertanggung jawab di atas kekalahan ini.
“Kita kena melihat semula sama ada cara UMNO ditadbirkan selama ini dapat terus menarik sokongan orang Melayu pada masa akan datang. Kita perlu melihat perkara ini dari sekarang sebelum menjelangnya PRU16 pada 2027,” katanya di sini, semalam.
Dalam keputusan kelmarin, UMNO tewas di semua kerusi di Kedah dan Terengganu, sebaliknya menang dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang, Kelantan (satu) dan Negeri Sembilan (14).
Perikatan Nasional (PN) pula menguasai 146 daripada 245 kawasan ditandingi di samping mengekalkan kemenangan di Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan majoriti besar.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sikap pemimpin yang masih dibuai sindrom penafian banyak merugikan parti itu apabila tidak memahami kehendak rakyat.
Katanya, perkara itu akhirnya mencetuskan hilang kepercayaan dalam kalangan rakyat sehingga terbawa-bawa bermula PRU15 sehingga PRN.
“Hilang kepercayaan ini meluas. Ia merangkumi polisi dan dasar UMNO di samping kepimpinan parti itu sendiri yang menyumbang masalah kepercayaan rakyat, jadi masalah ini kena ditangani segera, jika tidak boleh berterusan sehingga pilihan raya akan datang.
“Tugas pemimpin UMNO kali ini adalah untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat. Membawa suara rakyat perlu diutamakan. Bukan suara pemimpin. Berani untuk berubah, jika kita tidak mahu UMNO terus dilupakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Justeru itu Dr. Muhamad Akmal berkata, UMNO perlu muhasabah dan melihat punca kekalahan di samping melakukan perubahan agar parti terus diyakini dan mendapat kepercayaan rakyat terutamanya dalam kalangan orang Melayu.
Katanya, Pergerakan Pemuda UMNO mengambil langkah melakukan bedah siasat pada Rabu ini untuk melihat semula faktor kekalahan dan kajian lapangan berhubung prestasi UMNO dalam pilihan raya itu.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kelemahan untuk memberi penerangan kepada akar umbi berhubung kerjasama dengan PH menjadi antara faktor ahli-ahlinya tidak keluar mengundi dalam PRN kelmarin.
“Jadi UMNO sebagai sebahagian Kerajaan Perpaduan perlu fokus agenda rakyat agar kita terus diyakini. Soal politik ini cukuplah, selepas ini fokus kepada agenda rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, isu kerjasama dengan DAP, institusi Presiden dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak antara disuarakan akar umbi ketika beliau menjelajah ke enam negeri membantu calon berkempen.
Katanya, UMNO perlu melakukan sesuatu dengan membuat pertimbangan yang sewajarnya agar parti itu tidak terus kalah menjelang PRU16.
“Di mana-mana saya pergi akar umbi kita rata-rata bertanya tentang tiga perkara: Pertama berkenaan DAP, kedua berkenaan Presiden, dan ketiga berkenaan Datuk Sri Najib. Perkara-perkara ini adalah isu-isu utama di akar umbi.
“Berkenaan DAP, saya telah kata sebelum ini bahawa perkara ini adalah amat sensitif kepada akar umbi kita. Jika kita paksa akar umbi kita undi DAP, mereka akan bantah dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi, atau lebih teruk mereka protes dan undi PN. Ini yang telah berlaku di enam negeri ini,” katanya dalam hantaran facebook, semalam. – UTUSAN










