BATU PAHAT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu meneruskan perjuangan sekiranya kerjasama bersama UMNO bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak dapat dicapai dalam Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, pilihan terakhir itu akan dipertimbang sekiranya segala usaha dilakukan untuk menyelamatkan kesatuan orang Melayu tetap gagal.
“Jika itu (kerjasama Bersatu-UMNO) tidak dapat dicapai maka kita akan teruskan juga dengan perjuangan Bersatu kalau benar-benar tiada pilihan lagi.
“Tetapi, jika diberi pilihan Melayu perlu bersatu, formula kestabilan Malaysia sebelum ini pun disebabkan Melayu bersatu yang ketika itu di bawah Barisan Nasional (BN). Apabila ada perubahan selama 22 bulan yang ditadbir oleh kerajaan sebelum ini faktornya kerana Melayu berpecah.
“Kestabilan telah menganggu-gugat. Kemudian (jika kestabilan) dilihat apabila Melayu bersatu, memang banyak kerusi-kerusi Pakatan Harapan (PH) akan kalah,” katanya mengulas keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang menolak kerjasama dengan Bersatu.
Mohd. Rashid yang juga bekas pemimpin PKR yang menyertai Bersatu berkata, Pas, UMNO serta Bersatu secara dasarnya adalah parti orang Melayu dan pada masa yang sama bangsa-bangsa lain boleh bersama untuk mendapat kestabilan.
“Pada kali ini saya mengharapkan jika diberi pilihan untuk bersama (ketiga-tiga parti) tetapi bukan di bawah BN sebaliknya dibawah PN,” katanya.
Ujar beliau, keputusan MT UMNO yang memutuskan untuk tidak bersama Bersatu pada PRU-15 adalah hak mutlak parti itu.
“Pada akhirnya rakyat mahukan kebersamaan untuk bekerjasama. Adalah lebih baik kita ambil pandangan daripada rakyat juga,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mohd. Rashid yang meninjau beberapa kawasan terjejas akibat air pasang berkata, sebanyak RM19.2 juta diperuntukkan bagi menaik taraf benteng di sekitar pantai daerah itu yang dijangka siap pada 2023.
Katanya, projek Fenomena Air Pasang Besar itu bakal memberi manfaat kepada puluhan ribu penduduk di jajaran pantai sepanjang 34.6 kilometer itu yang dijangka akan bermula penghujung tahun ini.
“Projek ini bertujuan membina dan menaik taraf penghadang air supaya kemasukan air laut ke kawasan perumahan serta pertanian dapat dikawal. Terdapat beberapa kawasan telah dikenal pasti berisiko berlaku air pasang besar setiap tahun iaitu di sekitar Tampok, Rengit, Senggarang, Minyak Beku dan Peserai,” katanya. -UTUSAN









