Detik bersejarah terima vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Detik bersejarah terima vaksin Covid-19

Kumpulan pertama vaksin Covid-19 yang tiba di KLIA pada Ahad lalu dikawal ketat pasukan keselamatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas lebih setahun dihantui virus membawa maut Covid-19, akhirnya penantian rakyat memperoleh ‘perisai’ wabak menjadi kenyataan apabila vaksin keluaran Pfizer-BioNTech tiba ke negara ini pagi semalam.

Ia sekali gus menjadi detik bersejarah negara dan simbolik bagi setiap keringat, air mata dan pengorbanan semua pihak dalam menangani pandemik yang mengubah keseluruhan hidup rakyat.

Setakat kelmarin, Covid-19 yang dikatakan berasal dari Wuhan, China telah menjangkiti 280,272 orang selain mengorbankan 1,051 nyawa di negara ini.

Susulan penerimaan vaksin tersebut, Malaysia menjadi antara negara terawal menerima vaksin di Asia Pasifik.

Kebanyakan negara maju lain sudah beberapa bulan lebih awal menerima vaksin namun mengambilkira pertimbangan perolehan berdasarkan penelitian ujian klinikal tanpa perlu membayar harga premium atau wang pendahuluan Malaysia adalah antara negara terawal menerima vaksin.

Kini bermulalah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadual mengambil masa 18 bulan bagi memberi suntikan vaksin kepada kira-kira 26 juta rakyat atau 80 peratusrakyat.

Ketibaan 312,390 dos vaksin comirnaty keluaran Pfizer- BioNtech adalah vaksin pertama diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari lalu selepas meneliti profil keselamatan dan kualiti vaksin penduduk negara ini.

Terdahulu, kumpulan vaksin itu diterbangkan dari Puurs, Belgium sebelum transit di Leipzig Halle Airport.

Penerbangan tersebut kemudian singgah di Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik termasuk Malaysia.

Dari Singapura, Malaysia menerusi MH604 membawa sebahagian vaksin tersebut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

Vaksin tersebut dibawa dari kilang Pfizer di Belgium diuruskan oleh Pfizer dan DHL Express melalui perjanjian peringkat global dengan perlu mengekalkan suhu ultra sejuk -75°C (+/-15°C).

Semasa penerbangan, vaksin tersebut disimpan dalam bekas peranti beban unit (ULD) sebelum dipindahkan ke lori pengangkut untuk dibawa ke 16 Psat Simpanan Vaksin (PSV) di negara ini.

Ketibaan vaksin di KLIA disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Susulan kecekapan NPRA dalam memastikan objektif mencapai imuniti berkelompok dan kesediaan tertinggi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan di negara ini diawalkan pada Rabu ini berbanding perancangan asal 26 Februari.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disenaraikan sebagai penerima pertama disusuli Noor Hisham. Mereka akan menerima suntikan di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya.

“Kita buat keputusan awalkan program iminusasi kepada hari Rabu iaitu 24 Februari dengan Perdana Menteri dan Noor Hisham menerima suntikan pertama di PKD Putrajaya selepas mesyuarat jemaah menteri disusuli dengan pemvaksin atau vaksinator yang akan bertugas memberikan suntikan.

“Sejumlah 571,802 petugas barisan hadapan telah berdaftar untuk fasa pertama ini dengan 57.3 peratus daripadanya adalah anggota kesihatan dan perubatan serta 42.7 peratus pula dalam kalangan anggota bukan kesihatan,” kata Khairy.

Beliau berkata, kumpulan kedua vaksin dari syarikat pengeluar di Belgium itu akan tiba pada 26 Februari dan diikuti setiap dua minggu berikutnya sehingga 1 juta dos bagi fasa pertama.

Kata Khairy lagi, vaksin yang tiba semalam dihantar ke 16 PSV seluruh negara dan akan dihantar ke Johor melalui kenderaan darat dari Singapura pada pukul 2 petang manakala penghantaran ke Pulau Pinang melalui pesawat pada pukul 6 petang semalam.

Sebanyak 16 lokasi PSV di seluruh negara ialah enam di Selangor; Johor
(4); Kuala Lumpur (3); Pulau Pinang (2) dan satu di Putrajaya.

Dalam pada itu, Adham berkata, pelaksanaan vaksinasi ini boleh mendapat manfaat secara tidak langsung iaitu program pemantauan pemberian vaksin dengan kerjasama Pfizer bagi memastikan keseluruhan fasa dapat dilaksanakan.

Katanya, ini termasuk perundingan bersama syarikat pengeluar berkenaan bagi mengelak pembaziran vaksin untuk diagihkan ke peringkat antarabangsa.

“Teknologi pengedaran dan penghantaran vaksin penting kerana memerlukan suhu rendah dan memerlukan pelbagai peranti ultra sejuk untuk dihantar ke PPV. Semua penghantaran dari negara pengeluar, pengedaran ke PSV dan PPV adalah perjanjian end-to-end bersama Pfizer,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×