PN yakin manifesto, naratif isu Sanusi tarik sokongan pengundi

PN yakin manifesto, naratif isu Sanusi tarik sokongan pengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perikatan Nasio­nal (PN) yakin sokongan menjelang pilihan raya negeri (PRN) esok terus meningkat dipengaruhi manifesto dan naratif Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md. Nor yang didakwa memberi kelebihan kepada gabungan blok itu.

PN menganggap naratif sepanjang kempen itu berjaya mengalih tumpuan parti-parti kerajaan yang dikatakan bersifat defensif pada saat akhir sebelum hari mengundi.

Timbalan Pengerusi PN Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, situasi tersebut menjadi gelombang positif kepada parti dan kesempatan itu membolehkan gerak kerja kempen dirancakkan sebelum tempoh yang diberi berakhir malam ini.

“Sokongan terus meningkat kerana tumpuan mereka teralih ke Muhammad Sanusi sehingga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pun terikut menyerang kembali yang saya kira baik juga apabila (PH-BN) terlalu tertumpu kepadanya.

“Minggu ini kita memang arahkan kepada semua jentera untuk menerangkan atau menyampaikan tawaran kepada rakyat untuk dinilai mana yang terbaik buat mereka dan memberitahu ia boleh dilaksanakan berdasarkan pengalaman calon-calon yang bertanding,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, selain berdepan prosiding mahkamah berhubung kenyataan menyinggung Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Muhammad Sanusi juga dilaporkan akan disaman Amirudin dan pengasas kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan.

Tindakan tersebut dilakukan selepas beliau mengaitkan ke­dua-dua pihak itu dengan projek pembangunan Sungai Klang yang didakwa merugikan kerajaan negeri sehingga RM180 juta serta dakwaan pemberian tanah seluas 600 hektar.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Yunus yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang berkata, rakyat memberikan maklum balas baik terhadap Tawaran PN Selangor yang dibentangkan pada Jumaat lalu.

“Kita pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan ne­geri pada 2008 hingga 2015. Kita tahu macam mana kekuatan Selangor sebenarnya. Dahulu ketika pentadbiran Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disebut merakyatkan ekonomi negeri, saya ingat banyak dasar baik kita laksanakan.

“Bila kita turun ke program-program (kempen) bukan sahaja daripada kelompok masyarakat Melayu, malah Cina dan India juga memberikan respon baik, mereka tahu apa yang kita tawarkan adalah realistik dan boleh dilaksanakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×