PRN: Negeri mana majoriti mudah atau dua pertiga? - Utusan Malaysia

PRN: Negeri mana majoriti mudah atau dua pertiga?

Bahang PRN di enam negeri akan sampai kemuncak Sabtu ini. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan di lima negeri kecuali Selangor diramal mengekalkan kuasa dengan kemenangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya negeri (PRN) esok tanpa mengubah status quo di kesemua negeri terbabit.

Di Selangor, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka kehilangan beberapa kerusi, namun masih mampu mendirikan kerajaan dengan keputusan majoriti mudah menguasai 29 kerusi daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Keputusan tersebut dipengaruhi sentimen pengundi di lima negeri kecuali Selangor yang tidak terpengaruh dengan isu-isu semasa dan kempen parti-parti bertanding. Namun di Selangor terdapat kelainan apabila kerjasama BN dengan DAP dilihat masih tidak disenangi pengundi selain krisis kepimpinan UMNO sedikit sebanyak menyebabkan parti-parti gabungan kerajaan hilang undi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abdul Muis berkata, pihaknya tidak melihat sebarang kejutan yang mungkin berlaku pada PRN kali ini.

Malah, katanya, tempoh hampir dua minggu kempen juga tidak memberikan sebarang perubahan kepada lebih 9.7 juta pengundi di enam negeri.

“Jadi mempertahankan status quo masing-masing dengan majoriti dua pertiga tidak ada masalah, melainkan ada kejutan di saat akhir. Sentimen ketika ini tidak nampak ada unsur yang membolehkan perhijrahan undi secara besar-besaran.

“Oleh itu, setiap parti akan kekalkan voters bank (bergantung kepada pengundi putih), jadi kalau PH ada orangnya yang mengundi PH seperti mana pilihan raya umum lepas dan Pas, PN dengan orangnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, Mujibu berkata, data di lapangan setakat semalam juga jelas menunjukkan peralihan undi kepada parti lawan adalah satu perkara yang mustahil.

ANKUBA

Katanya, ia berdasarkan ankuba terbesar sama ada pengundi UMNO akan melakukan peralihan dan orang muda yang dilihat bersama PN.

“Sebab tidak ada isu meletup. Serangan PH pun tidak begitu (kena), tindakan damage control Pas merehatkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor juga tidak membantu.

“Dari sudut menyerang Kerajaan Perpaduan juga adalah isu sama ketika PRU15 dan sentimen semasa tidak banyak berubah disebabkan jarak PRN dan pilihan raya umum yang dekat.

“Sepanjang kempen juga senyap, sunyi serta tenang, jadi kita boleh tahu pengundi ada pilihan mereka, malah pengundi atas pagar tidak menunjukkan reaksi dan ia susah dijangka, tetapi kita jangka tidak ada perubahan besar,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan berkata, pengundi pada PRN kali ini lebih bersikap senyap dan tidak menunjukkan kecenderungan mereka secara terbuka sekali gus menjangkakan status quo di enam negeri.

Menurut beliau, langkah itu sama ada mereka khuatir tidak mahu dilihat sebagai penyokong Kerajaan Perpaduan atau PN.

“Sebab itu kita lihat seolah-olah Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor ke arah PH dan BN, manakala Kelantan, Kedah dan Terengganu memang tidak perlu dipersoalkan lagi.

TERKEJUT

“Walaupun begitu, tidak perlu terkejut jika ada perubahan misalnya Kedah (yang terkenal) swing state, cuma mana-mana negeri walaupun status quo tidak menampak dua per tiga, tetapi kehakisan sokongan di kerusi-kerusi Melayu (kepada) PN,” katanya.

Dalam pada itu, analisis Utusan Malaysia meramalkan gabungan PH-BN mampu menguasai DUN Selangor sekurang-kurangnya majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Ini kerana pertembungan dua parti gergasi PH-BN dan PN menyebabkan masing-masing hanya menguasai sebahagian daripada 56 kerusi.

Malah, faktor tersebut dikatakan turut disumbang oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang dipercayai mampu memenangi sebahagian daripada 14 kerusi yang ditandinginya menerusi pertembungan tiga penjuru dan ke atas.

Selain itu, kerjasama antara PH dan BN di atas kertas dilihat tidak mempunyai banyak masalah untuk menang di kesemua 36 buah kerusi dipertandingkan di Negeri Sembilan.

Di pihak lawan mereka iaitu Perikatan Nasional (PN) optimis untuk mencipta kejutan sekurang-kurangnya mendapat 19 kerusi DUN iaitu majoriti mudah untuk membentuk sebuah kerajaan.

Di Terengganu, sasaran PN memenangi kesemua 32 kerusi DUN dijangka tidak mampu tercapai kerana BN dan PH di negeri itu tidak mahu mengaku kalah.

Difahamkan sekurang-kurangnya tiga kerusi yang disandang oleh Pas sebelum ini berada dalam keadaan tidak selamat dalam genggaman parti itu, tetapi didapati masih berada di hadapan untuk kekal menerajui kerajaan negeri itu dengan majoriti selesa.

MASALAH

Gabungan PH dan BN juga dilihat tidak berdepan masalah untuk membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang dengan jangkaan kemenangan sehingga 30 daripada keseluruhan 40 kerusi dipertandingkan.

Penyokong dan pengundi DAP juga dilihat tidak tergugat dengan krisis dalaman parti itu terutama tindakan keluar parti pemimpin kanan termasuk Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy yang kecewa selepas digugurkan daripada mempertahankan kerusi DUN Perai.

Namun, kemampuan PN yang dikatakan tidak bermasalah untuk mendapat kemenangan dua pertiga di Kedah semakin menjadi tanda tanya.

Meskipun terdapat ramalan untuk gabungan itu mampu menambah jumlah kerusi sehingga kepada 29 berbanding 21 yang dikuasai ketika ini, sasaran itu diunjurkan semakin mengecil.

Faktor tersebut dipengaruhi dengan keyakinan PH dan BN untuk sekurang-kurangnya mendapat 19 kerusi DUN yang juga syarat paling rendah untuk mana-mana parti atau gabungan membentuk kerajaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×