PH-BN hadapi cabaran kekalkan jumlah kerusi

PH-BN hadapi cabaran kekalkan jumlah kerusi

DR JENIRI AMIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menjelang pecutan terakhir kempen dalam enam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka dapat mengekalkan tiga buah negeri mereka iaitu Sela­ngor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang namun kehilangan beberapa kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula dijangka dapat mengekalkan Kedah, Terengganu dan Kelantan kerana sentimen-sentimen bangsa serta agama yang dimainkan sepanjang kempen.

Ini kerana masyarakat di kawasan-kawasan bandar didapati lebih melihat kepada dasar ekonomi, pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai aspek sebelum membuang undi, manakala masyarakat luar bandar lebih mementingkan soal agama serta kaum.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, keputusan PRN dijangka tidak ada kejutan, ma­sing-masing dapat mengekalkan ‘kuasa’ di negeri masing-ma­sing, namun PH-BN berhadapan cabaran besar mengekalkan jumlah kerusi.

Kata beliau, sebanyak 4.9 juta pengundi muda dalam enam PRN ini juga dijangka memberi cabaran kepada PH-BN, memandangkan ‘gelombang hijau’ yang sedang melanda politik negara ketika ini.

“Cabaran PH-BN sekarang khususnya adalah menguasai dan mempengaruhi pengundi Melayu dan muda ini, mereka tidak boleh bergantung kepada kempen tradisional dan sedar mengenai pemasaran politik melalui media sosial.

“Saya percaya sebahagian besar pengundi bukan Me­layu akan berpihak kepada PH-BN, tidak ragu-ragu mengenai perkara ini. Sebab pengundi kumpulan tersebut lebih risau tentang penguasaan Pas, mereka tidak mahu parti tersebut menguasai negeri mahupun negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, bahang PRN di enam buah negeri mencapai kemuncak apabila parti-parti bertan­ding giat memainkan pelbagai isu panas dan pemimpin memperhebatkan program turun padang menjelang 48 jam terakhir tempoh berkempen.

Dr. Jeniri berkata, masyarakat di bandar lebih sedar akan kepentingan ekonomi, kestabilan, perumahan dan sebagainya yang menandakan mereka akan memberi sokongan kepada gabungan yang mampu memenuhi kehendak tersebut.

Namun, jelasnya, situasi berbeza di kawasan-kawasan pendalaman kerana pengundi di sana lebih percaya akan aspek agama dan kaum, ia menjadi faktor utama dalam mereka menentukan sokongan.

“Tetapi di mana-mana pun, pada akhirnya saya percaya pengundi mahu isu atau masalah mereka diselesaikan seperti kos sara hidup, kualiti kehidupan, ekonomi, pendapatan, inflasi dikurangkan, peluang pekerjaan dan pendidikan,” katanya.

Ditanya mengenai masalah air di Kelantan akan menyebabkan masyarakat di sana mengubah sokongan kepada PH-BN selepas memberi mandat mereka kepada Pas selama 32 tahun untuk memerintah.

“Pas terlalu kuat (di Kelantan) disebabkan sosialisasi politik atau zaman berzaman yang sudah berdekad-dekad, dari satu generasi ke generasi lain. Pengundi di sana lebih mengutamakan soal agama dan Pas dilihat begitu berupaya untuk memperjuangkan aspek tersebut,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×