Prestasi buruk tiga negeri PN membimbangkan

Prestasi buruk tiga negeri PN membimbangkan

MAJORITI rakyat ingin melihat Anwar Ibrahim menerajui negara sehingga tamat penggal. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG hari mengundi pilihan raya negeri (PRN) esok, ramai pemerhati meramalkan status quo berkekalan. Ini akan menyaksikan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan kekal di tangan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) manakala Kelantan, Terengganu dan Kedah kekal di tangan Perikatan Nasional (PN).

Paling mutakhir ialah kajian terperinci satu badan kaji selidik berwibawa, Ilham Centre bertajuk Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan Perpaduan dan Dasar Malaysia Madani membabitkan 2,416 responden yang merupakan pengundi berumur 18 tahun ke atas di enam negeri tersebut dari 11 hingga 27 Julai lalu.

Kepada soalan, “Apakah parti yang akan diundi dalam PRN ini?” 75% pengundi Pulau Pinang memilih PH-BN, begitu juga dengan 57% pengundi Negeri Sembilan dan 55% pengundi Selangor. Sementara itu, 80% pengundi Kelantan memilih PN, begitu juga 69% pengundi Kedah dan 63% pengundi Terengganu.
Inilah hakikat perlu diterima. Mentaliti pengundi di negeri-negeri pembangkang masih tidak berubah walaupun pelbagai usaha dibuat untuk menyedarkan mereka.

Pengundi di Kelantan, Terengganu dan Kedah masih memilih PN walaupun kerajaan di tiga negeri tersebut tidak mempamerkan prestasi baik.

Daripada skor keseluruhan, tahap kepuashatian pengundi kepada kerajaan negeri juga tiga negeri PH berada di tempat tertinggi, bermula dengan Pulau Pinang, diikuti Selangor dan Negeri Sembilan. Kedah, Terengganu dan Kelantan sebaliknya berada pada tempat tercorot.

Kelantan menunjukkan prestasi paling teruk. Di Kelantan, hanya 62.0% setuju kerajaan negeri sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat, 58.3% setuju kerajaan negeri mempunyai hala tuju jelas untuk membangunkan ekonomi negeri, 51.5% berpuas hati bekalan air bersih diperolehi, 55.5% setuju pengurusan sampah dan sisa pepejal baik di bawah kerajaan negeri, 54.5% setuju pengurusan dan tadbir urus tanah oleh kerajaan negeri memuaskan dan 61.5% berpuas hati dengan prestasi kerajaan negeri setakat ini.

Kedua paling teruk ialah Kedah. Di Kedah, hanya 65.5% setuju kerajaan negeri sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat, 64.6% setuju kerajaan negeri mempunyai hala tuju jelas untuk membangunkan ekonomi negeri, 78.2% berpuas hati dengan bekalan air bersih diperolehi, 80.8% setuju pengurusan sampah dan sisa pepejal baik di bawah kerajaan negeri, 79.1% setuju pengurusan dan tadbir urus tanah oleh kerajaan negeri memuaskan dan 68.9% berpuas hati dengan prestasi kerajaan negeri setakat ini.

Seterusnya, Terengganu di mana hanya 65.4% setuju kerajaan negeri sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat, 64.9% setuju kerajaan negeri mempunyai hala tuju yang jelas untuk membangunkan ekonomi negeri, 77.4% berpuas hati dengan bekalan air bersih diperolehi, 68.4% setuju pengurusan sampah dan sisa pepejal baik di bawah kerajaan negeri, 73.6% setuju pengurusan dan tadbir urus tanah oleh kerajaan negeri memuaskan dan 69.2% berpuas hati dengan prestasi kerajaan negeri setakat ini.

PRESTASI TERUK

Walaupun mempamerkan prestasi teruk, malangnya majoriti pengundi di tiga negeri ini masih mahu mengekalkan kerajaan negeri hari ini dengan 66.0% pengundi Kedah berpendapat begitu, diikuti 57.0% pengundi Kelantan dan 61.4% pengundi Terengganu.

Bagi mereka, apa yang penting ialah kerajaan perlu mempamerkan keinginan memperjuangkan agenda Melayu-Islam. Ini paling jelas dengan 73% pengundi Kelantan, 55% pengundi Terengganu dan 46% pengundi Kedah. Berbeza dengan 85% pengundi Pulau Pinang yang mahukan kerajaan mempamerkan prestasi baik dan ini dikongsi oleh 78% pengundi Negeri Sembilan dan 75% pengundi Selangor.

Agak malang juga bila majoriti pengundi Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan perpaduan setakat hari ini menyebabkan skor keseluruhan yang berpuas hati hanya 41%. Begitu juga skor bagi mereka yang memahami dasar Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan perpaduan hanya 45% disebabkan hal sama.

Agak malang juga bila majoriti pengundi Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri menyebabkan skor keseluruhan berpuas hati 42% sahaja walaupun skor ini tinggi di tiga negeri PH-BN, iaitu 70% Pulau Pinang, 62% Selangor, 62% Negeri Sembilan.

Begitu juga majoriti pengundi Kelantan, Terengganu dan Kedah menyatakan negara tidak berada dalam landasan tepat di bawah kepimpinan Anwar menyebabkan skor keseluruhan 41% peratus sahaja walaupun skor ini tinggi di tiga negeri PH-BN, iaitu 69% Pulau Pinang, 63% Selangor, 58% Negeri Sembilan.

Sama halnya dengan mereka yang menyatakan kepimpinan Anwar mampu mengembalikan kepercayaan rakyat dan keyakinan orang Melayu terhadap kerajaan yang rendah dalam kalangan pengundi Kelantan, Terengganu dan Kedah menyebabkan skor keseluruhan 40% sahaja walaupun skor ini tinggi di tiga negeri PH-BN, iaitu 68% Pulau Pinang, 64% Selangor, 59% Negeri Sembilan.

Berdasarkan kaji selidik ini, masih banyak perlu dilakukan oleh Anwar dan kerajaan perpaduan bagi meyakinkan pengundi Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk menerima dan memahami beliau dan dasar Malaysia Madani.

Apa yang baik daripada kaji selidik ini ialah ia menunjukkan hasrat PN untuk merampas Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan menemui kegagalan sekali gus melenyapkan sebarang spekulasi mengenai pertukaran kerajaan di tengah penggal.

Rakyat terbanyak juga ingin melihat Anwar menerajui negara sehingga tamat penggal. Dalam tempoh empat tahun yang ada selepas ini, usaha perlu lebih digemblengkan bagi menjadikan mentaliti pengundi berubah. Prestasi buruk tiga kerajaan negeri membimbangkan. – UTUSAN

Dr. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×