Bahang PRN sudah sampai kemuncak

Bahang PRN sudah sampai kemuncak

Parti-parti politik memperhebatkan kempen masing-masing bagi meraih undi dalam tempoh 48 jam sebelum hari pengundian Sabtu ini. -UTUSAN/AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri mencapai kemuncak apabila parti-parti bertanding giat memainkan pelbagai isu panas dan pemimpin memperhebatkan program turun padang menjelang 48 jam terakhir tempoh berkempen.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga akan turun berkempen ke Hulu Kelang di kawasan yang disifatkannya sebagai calon pengkhianat iaitu bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Hari ini, Anwar membuat kem­pen di tiga lokasi iaitu Kuala Selangor di Ijok pukul 9 malam, Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di Bandar Puteri Klang (10 malam) dan di Padang MPAJ AU2 Keramat (11 malam) sebelum ke Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah untuk pecutan terakhir kempen, esok.

Meskipun serangan adalah berkaitan isu lama dan pernah dijawab namun masih ramai ahli politik membangkitkan semula perkara itu bagi menarik pengundi khususnya yang atas pagar.

Antara isu sedang ‘kuat’ diputar semula seperti dakwaan kecurian unsur nadir bumi (REE) yang membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, projek pembersihan Sungai Klang melibatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan masalah air Kelantan serta tuduhan ka­fir-mengkafir sesama Islam.

Keghairahan tersebut menyebabkan ada pihak me­nerima notis saman kerana mendakwa tuduhan dilemparkan tidak berasas atau tanpa dikemukakan bukti bagi me­nguatkan dakwaan berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, tidak mustahil selepas ini banyak lagi isu dan sera­ngan yang dijangka dimainkan ahli-ahli politik sebagai turning point (titik perubahan) sokongan menjelang Sabtu ini.

Menurut beliau, perkara itu dilihat mampu mengubah kecenderungan pengundi muda dan atas pagar yang belum membuat keputusan untuk memangkah calon.

“Namun bagi pengundi tegar, sukar termakan isu dan serangan dimainkan menje­lang tiba hari mengundi. Mi­salnya dalam konteks REE, rakyat Kedah khususnya penyokong Pas amat susah mempercayai tohmahan terhadap Sanusi.

“Sebaliknya bagi pengundi tidak kepartian, mereka termakan dengan isu dan serangan politik dicetuskan kerana pendirian mereka boleh berubah beberapa jam sebelum me­langkah ke tempat mengundi,” katanya.

Kempen PRN secara tidak rasmi sebenarnya dimulakan sejurus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jun meskipun Suruhanjaya Pi­lihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 29 Julai lalu.

Sepanjang tempoh itu, semua pemimpin politik dilihat berkempen sama secara fizikal atau dalam talian dengan me­lakukan serangan terhadap pihak lawan sekali gus membuka ruang kepada saman-menyaman antara satu sama lain.

Pada masa sama, Mazlan berkata, kehadiran Perdana Menteri ke kubu kuat Perikatan Nasional (PN) kebelakangan ini sedikit sebanyak menyebabkan berlakunya peralihan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) sementelah Presiden PKR itu masih mempunyai aura sebagai seorang pemimpin dihormati masyarakat.

Katanya, situasi sama berlaku dalam siri ceramah Muhammad Sanusi apabila pe­nyampaiannya sering diterima baik dalam kalangan pengundi walaupun Pengarah Pilihan Raya Pas itu sering diserang oleh pihak lawan.

“Pertembungan gelombang Anwar dan gelombang Sanusi kini amat diperlukan oleh parti masing-masing dalam waktu terakhir kempen PRN memandangkan kedua-dua pemimpin itu mempunyai daya tarikan dalam kalangan rak­yat,” katanya.

Selain itu, Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim berkata, pengundi Malaysia ketika ini sangat dinamik dan boleh berubah dengan pantas terutamanya pengundi muda yang tidak mengikat kesetiaan mutlak terhadap mana-mana parti politik.

Oleh itu, katanya, kecen­derungan pengundi muda boleh berubah pada saat-saat akhir berdasarkan isu dimainkan sekali gus menyebabkan sikap mereka sukar dijangka oleh mana-mana pihak.

“Jika kena dengan strategi kempen, mereka akan kalih kepada parti tertentu secara trending. Inilah yang berlaku dalam PRU15 lepas apabila pengundi muda secara tren­ding pada saat-saat akhir membentuk gelombang hijau menyokong PN,” katanya.

Mohd. Yusri berkata, semua pihak perlu mengatur dua strategi berbeza sepanjang kempen iaitu untuk mengekalkan undi tegar dan untuk memujuk pengundi atas pagar supaya ‘kalih’ kepada parti masing-masing memandangkan pengundi tegar dan atas pagar masing-masing mempunyai peranan penting untuk menentukan kemena­ngan pilihan raya.

Sementara itu, isu-isu nasional seperti peningkatan kos sara hidup selain dakwaan orang Melayu dan agama Islam turut menjadi modal kempen dan ceramah pemimpin dan calon-calon dari PN di Negeri Sembilan.

Turut dibangkitkan parti itu adalah berkaitan isu kerjasama UMNO dan PH khususnya dengan DAP dengan harapan PN dapat meraih sedikit sebanyak pengundi dari UMNO yang masih tidak dapat lagi menerima hubungan kerjasama yang terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan.

Di peringkat gabungan kerjasama PH dan BN pula, track record kejayaan mereka mentadbir kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini menjadi antara bahan kempen mereka kepada pengundi.

Di Terengganu, kegagalan kerajaan negeri menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan mengecewakan golongan muda terutamanya mereka yang mempunyai kelulusan dari institusi pengajian tinggi sehingga terpaksa berhijrah merupakan antara isu yang diketengahkan BN.

Isu perumahan juga dibangkitkan penduduk terutamanya pasangan muda yang baru berumah tangga selepas tidak banyak projek perumahan baharu dibangunkan kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan rumah kepada rakyat negeri ini.

Isu bekalan air juga tidak dapat diselesaikan apabila krisis tersebut masih berlarutan di beberapa kawasan terutamanya di Marang dan masalah tersebut menjadi rungutan rakyat terutamanya pada musim perayaan.

Malah, rakyat juga tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri apabila gagal menguruskan bantuan banjir dengan baik sehingga masih ada mangsa bencana terlibat belum menerima sebarang bantuan.

Di Kelantan, masalah air yang sudah puluhan tahun membelenggu rakyat menjadi perkara utama yang diangkat sebagai bahan kempen di pentas-pentas ceramah umum mahupun kelompok di seluruh negeri itu.

Justeru, masalah air ini dilihat mampu ‘menggugat’  kedudukan Pas dan mungkin mampu menjadi ‘titik tolak’ kepada perubahan ke arah penubuhan kerajaan baharu di Kelantan selepas PRN nanti.

Di Selangor, gabungan dua gergasi PH dan BN dipercayai mempunyai peluang tipis untuk menguasai Selangor Utara, malah ada pihak mengatakan kawasan tersebut yang melibatkan 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) hampir hitam keseluruhannya.

Kawasan tersebut adalah N.01 Sungai Air Tawar, N.02 Sabak, N.03 Sungai Panjang, N.04 Sekinchan, N.05 Hulu Bernam, N.06 Kuala Kubu Bharu, N.07 Batang Kali, N.08 Sungai Burong, N.09 Permatang, N.10 Bukit Malawati, N.11 Ijok dan N.12, Jeram.

Berdasarkan komposisi kaum, hampir keseluruhan kawasan berkenaan dikuasai oleh pengundi Melayu iaitu antara 46 hingga 84 peratus, manakala Sekinchan menjadi satu-satunya kerusi dikuasai pengundi Cina iaitu sekitar 51.6 peratus berbanding Melayu 43 peratus.

Berbaki dua hari kempen, gambaran awal sudah boleh dilihat berhubung kedudukan PH-BN dan PN terhadap penguasaan kawasan mereka di Selangor Utara selepas timbul spekulasi parti kerajaan hanya mampu menguasai empat daripada 12 kerusi iaitu Sekinchan, Bukit Malawati, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali.

Di Kedah, tidak banyak isu tempatan atau masalah penduduk dimainkan sama ada oleh PH dan BN serta PN sepanjang kempen kerana bahan kempen yang digunakan kedua-dua pihak lebih berkisar kepada peringkat nasional terutamanya isu kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

PH-BN dilihat berhabis-habisan cuba ‘melondehkan’ pentadbiran Muhammad Sanusi, namun isu terbabit didakwa tidak mampu mempengaruhi pengundi terutama penyokong PN kerana sokongan terhadap gabungan itu tidak berganjak.

PN pula cuba membalas serangan menggunakan konsep sama dengan pendedahan berkaitan pengurusan Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang menanggung kerugian ketika era pentadbiran PH-BN di Kedah, tetapi ia tidak berkesan setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×