SESUATU yang lazim dalam dunia politik adalah masuk bakul angkat sendiri. Malah, riak dan takbur walaupun dilarang agama. Dikatakan cara berpolitik begini berbentuk ‘pengiklanan’ diri yang murah, setidak-tidaknya juga untuk parti atau kelompok sering didampingi.
Tujuan utamanya untuk mengekalkan ingatan seramai orang yang boleh akan keberadaan individu berkenaan secara positif supaya mudah dirujuk semula kelak.
Jadi, masuk bakul angkat sendiri sememangnya langkah paling sesuai serta murahan. Apatah lagi jika terbukti benar dan menguntungkan masyarakat terbanyak. Terus mendabik dada tidak putus-putus. ‘Iklan’ ini akan terus kekal dalam benak dan bergema semula semasa pilihan raya.
Mujurlah perkara membawa kepada hal-hal kebaikan tidak sering berlaku berbanding yang buruk. Kalau berlaku pun kurang berkesan. Jadi, ada juga batasannya. Kalau tidak bak ayam bertelur sebiji, riuh sekampung.
Dalam pada itu, terdapat pula kecenderungan mengada-adakan berita ‘baik’ supaya tiada kelompangan. Umpama menjual suatu barangan tiruan ataupun yang palsu untuk mengambil kesempatan.
Dalam era separa benar kini, tindakan tersebut turut menjadi lumrah. Pendek kata, memperdayakan khalayak untuk kepentingan sendiri dijadikan keasyikan, khususnya bagi mereka yang taasub kepada individu atau watak tertentu.
‘Bossku’, sebagai contoh, merupakan satu jenama yang dicipta dan diada-ada para pengikut tersendiri yang menguar-uarkannya. Tidak ketinggalan mereka yang tersepit, sanggup menegakkan benang basah selepas mahkamah menjatuhkan hukuman serta disokong pula oleh sekian ramai hakim pelbagai peringkat. Gelagat sumbang ini ada udang sebalik batu, bagi yang terdesak.
Terbaharu, ada yang tidak berpuas hati kerana ‘bossku’ seolah-olah dilupakan dalam menuntut apa yang mereka anggap sebagai satu ‘kezaliman’. Dan perlu ditentang bermati-matian, mempertahankan idola, betul atau tidak.
Ada juga mengambil kesempatan menyelamatkan diri masing-masing. Ini bukan di Malaysia sahaja. Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump juga terang-terangan terjebak dewasa ini. Ada yang menelah bahawa Trump berpeluang menjadi presiden lagi sekali, hasil gerakan penyokongnya.
Dalam arena politik, ini bukannya mustahil. Perlakuan tidak beretika agak seiras dengan janji-janji dan fakta palsu yang sering dihamburkan tanpa segan silu untuk mengaburi mata rakyat semua peringkat. Semoga dapat mempengaruhi keputusan untuk berkuasa.
Semuanya ‘dihalalkan’. Namun, menimbulkan pelbagai kemelut politik yang lain. Rencana minggu lalu memperlihatkan bagaimana watak politik boleh ber(maha)raja di mata, bersultan di hati yang berkarat.
TELANJANG
Sebagai tambahan untuk menaikkan ‘saham’ diri murahan, amalan 3T menjadi pilihan – tohmahan, TikTok, telanjang (3T). Terutama apabila terdesak, tidak kira siapa terkorban. Asalkan terus menjatuhkan dan mengaib pihak lain agar diri kelihatan bersih berbanding fitnah yang dilontarkan kepada pihak berkenaan.
Tiada batasan media, lagi lucah, lagi menarik. Ini taktik lama yang diamalkan senyap-senyap kerana masih ada rasa bersalah. Baling batu, sembunyi tangan.
Namun, kini sengaja diheboh-hebohkan akibat pengaruh media sosial yang menggila di seluruh dunia. Bakul yang hendak diangkat lebih luas kesannya. Menular dengan ratusan likes tersebar luas seperti diimpikan. Tuduhan melulu dan sepak terajang melalui media seperti TikTok serta wira sibernya menyerang terus menelanjangkan seadanya.
Dipenuhi bukti samar-samar, seolah-olah benar belaka jika kurang periksa. Terperangkap jiwa raga. Kadangkala pihak berwajib pun terkial-kial menyangkal serta merungkai. Apatah lagi terlibat secara halus dan bersekongkol secara sedar atau tidak. Masyarakat terus diperdaya buta-buta oleh tangan durjana, tamak haloba!
Angkatan 3T ini nampaknya mendapat sambutan kencang akhir-akhir ini. Mungkin tiupan pilihan raya yang menjelang tiba. Berasaskan bilangan kes saman menyaman antara pihak bertelingkah saban minggu khususnya melibatkan politikus berbangsa Melayu.
Tua, muda. Tidak kira. Tiada segulai sejalai. Adat resam bukan lagi ukuran kerana setiap kes mengandaikan serba-serbi unsur fitnah dan pembohongan berpaut sebagai alasan pelbagai saman mahkamah dan aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sasarannya, siapakah yang lebih bersalah menghantui politik semasa? Suatu persoalan amat dikesali kerana jelas melambangkan betapa kesusilaan politik tanah air kian merosot. Tidak rahmah. Budi bicara kecundang.
Begitu juga budi bahasa. Jika beberapa tahun dahulu, seorang Perdana Menteri (PM) menggunakan istilah kesat – kepala otak, ditujukan kepada seorang pemimpin politik terkenal negara, berpangkat ‘bapa’, baru-baru ini seorang menteri baharu bertatih mengulangi yang sama.
Istilah kesat pilihannya dihamburkan kepada pemimpin politik yang sama, berpangkat datuk baginya. Lebar jurang umur ini petanda amat memilukan apabila cucu cukup biadab kepada seorang lebih tua, walaupun bukan daripada darah daging sendiri.
Namun, tetap serumpun budaya dan agama. Ia ternyata satu ‘iklan’ paling pudar yang akan kekal selama-lamanya untuk tontotan bergenerasi akan datang. Malang lagi, sehingga ini, masih belum kedengaran rasa insaf untuk memohon maaf, baik secara digital sekalipun, kalau malu bersemuka dengan pihak berkenaan.
Masih belum terlambat, sebelum ada serang balas 3T yang turut menjijikkan lagi suasana politik. Natijahnya, arena politik perlu disental akan daki tebal terlebih dahulu sebelum negara kembali mewangi lagi suci! Bijak-bijaklah mengundi. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











