Sanusi tidak mohon maaf kepada Vincent Tan

Sanusi tidak mohon maaf kepada Vincent Tan

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan beliau tidak meminta maaf kepada ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan yang menuntutnya berbuat demikian hingga tamat waktu bekerja hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Muhammad Sanusi, kes yang didakwa pihak Vincent sebagai mengandungi kenyataan berbaur fitnah itu masih berkembang dengan dokumen-dokumen mengenainya sedang didedahkan.

“Tak (mohon maaf). Kes masih berkembang dan dokumen-dokumen sedang didedahkan. Kita tengok sehari dua lagi, tiada ulasan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Mai Sat Menteri Besar Kedah di Taman Tunku Yaakob di sini, hari ini.

Vincent yang juga Pengasas Berjaya Corporation Berhad dan Berjaya Land Berhad (Berjaya Land) melalui surat tuntutan dihantar pada Jumaat lalu, memberi masa hingga tamat waktu bekerja hari ini untuk Muhammad Sanusi meminta maaf kepadanya dan membayar ganti rugi sebanyak RM200 juta.

Menurut surat itu, Muhammad Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) pada program Jelajah Mega Perikatan Nasional (PN) Best di Dataran Darulaman, 2 Ogos lalu.

Jika gagal berbuat demikian, Vincent akan memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi yang kini sedang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri.

Dalam perkembangan lain Muhammad Sanusi mempersoalkan tindakan Perdana Menteri mengumumkan kenaikan skim subsidi harga padi (SSHP) menjelang hari pengundian PRN di enam negeri.

“Tak patutlah (umum). Kalau tak ada pilihan raya, tak boleh buatkah? Buatlah di luar musim pilihan raya apa yang dilakukan ini nampak sangat,” katanya.

Beliau bagaimanapun menasihatkan pesawah terlibat agar mengambil wang tersebut dan mengucapkan terima kasih tetapi tetap memberi undi kepada PN.

“Kalau kita ambil duit itu dan beri undi kepada dia, duit itu jadi rasuah pilihan raya. Jadi untuk mengelak daripada menjadi rasuah pilihan raya, maka undi PN, ‘halal’ duit itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa ada dalam kalangan calon Pakatan Harapan (PH) yang turut membeli undi.

“Saya dapati ada juga berjalan seluk poket kemudian sua (hulur) kepada orang. Menjelang hari pengundian, mungkin ada lagi perkara itu. Jadi siapa bagi duit jangan undi dia sebaliknya undi lawan dia. Kalau UMNO bagi, undi PN dan duit itu halal,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN