PERJALANAN yang panjang, perit dan sukar. Itu yang dapat digambarkan mengenai situasi dialami pelari denai terutama bagi kategori jarak jauh yang ‘malas’ berlatih.
Ini juga menjadi sebab ada segelintir pelari merungut dengan bermacam alasan, kononnya bentuk permukaan trek dan laluan yang sukar, masalah kemudahan dan kekurangan logistik serta segala macam lagi, apabila latihan tidak dititik beratkan.
Segala kesalahan diletakkan pada pihak lain.
Bagaimanapun, kesengsaraan pelari denai yang berada dalam kelompok sedemikian sedikit sebanyak terubat apabila menyelusuri kawasan dan pemandangan yang cantik sepanjang laluan trek.
Itu belum lagi apabila mata melihat jurukamera yang tersorok di sebalik celahan pokok dan daun, bagai seorang sniper membidik musuh.
Pelari yang berada dalam kepenatan selepas puas meredah semak dan menarah bukit masih boleh tersenyum macam tiada apa-apa berlaku walaupun dalam hati siapa yang tahu.
Kesengsaraan dan keperitan pelari dalam kategori ini juga biasanya terubat apabila melihat segala macam makanan dan minuman diberikan di setiap titik temu (checkpoint) tanpa sebarang had.
Semua ‘manfaat’ yang diberikan ini telah disediakan dalam acara larian King of Kemensah Trail baru-baru ini dan ia untuk semua peserta, tanpa mengira kategori pelari.
Apa yang menarik semua peserta juga dihidangkan dengan pelbagai bentuk laluan dan perlu berdepan cabaran daripada segi mental dan fizikal.
Jurucakap penganjur The Comrades, Arman Arshad, berkata pihaknya memberikan kelainan dan penambahan dalam beberapa aspek seperti logistik dan teknikal untuk kepuasan peserta seperti penyediaan sarapan pagi.
“Pada hari pertandingan peserta disajikan dengan cekodok cicah sardin dengan kopi panas yang enak dimakan sewaktu hujan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Antara kategori yang dipertandingkan dalam acara yang memasuki edisi kesembilan ini ialah 100 kilometer (km), 50km, 30km, 18km, 10km dan 5 km.
Jumlah ketinggian bagi setiap kategori ini pula antara 3433 meter sehingga 209 m dengan mengikut kategori masing-masing.
Setiap peserta dilepaskan mengikut kategori bermula dari Kem Ghafar Baba dan menyelusuri laluan seperti Bukit Pau, Lubuk Tedung, Kem Tangga, Sungai Seli dan Bukit Korea.
ANAK SUNGAI
Apa yang menarik, peserta juga perlu menyeberangi beberapa anak sungai selain melalui trek kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV).
Arman berkata, pihaknya turut menambah baik beberapa perkara penting antaranya penambahan command centre bagi kemudahan komunikasi.
“Semua titik temu dan sweeper (individu terakhir yang akan memastikan semua pelari selamat) turut dilengkapi walkie talkie.
“Ia untuk memastikan komunikasi lebih efektif dalam kalangan semua petugas dan pelari,” jelasnya.
Ujar Arman, acara berkenaan juga secara tidak langsung berjaya menaikkan nama kawasan tersebut sebagai salah satu tempat riadah yang berada berhampiran kawasan pinggir ibu kota.
“Saya berharap kawasan ini kekal terpelihara dengan keindahan flora dan faunanya,” katanya.
King of Kemensah Trail 2023 dimenangi Maihazan Nurafendi Din dengan catatan masa 14 jam 11 minit untuk jarak 100 km.











