ALOR SETAR: Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden diminta membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud perancangan untuk memerangkap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sehingga menyebabkan Menteri Besar itu tidak dapat berkempen di Sungai Petani, kelmarin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai ahli Parlimen bertanggungjawab, Afnan sepatutnya menggunakan saluran undang-undang dan bukannya mencipta persepsi.
“Keseluruhan perjalanan kempen di enam negeri semuanya berjalan tertib, mengikut peraturan dengan semua parti bertanding bebas menganjurkan ceramah dan sesi penerangan. Tak ada insiden di Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kecuali beberapa kes vandalisme melibatkan papan iklan memaparkan wajah Perdana Menteri.
“Pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri membuat pemantauan sepanjang masa tetapi apabila dikatakan sudah sampai separuh jalan tetapi terpaksa balik atas faktor keselamatan, maka mereka cuma perlu tampil mengadu kepada pihak berkuasa.
“Biar pihak berkuasa jalankan tugas tetapi cipta naratif untuk bina persepsi seolah-olah sampai begitu ancaman dihadapi macam Afnan kata kononnya ada perangkap, maka pergilah buat laporan polis dan beritahu siapa buat perangkap dan apa nak dibuat kerana hanya beliau yang ada maklumat,” katanya dalam sidang akhbar selepas membantu calon PH berkempen di Pasar Besar Alor Setar semalam. – UTUSAN











