KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak andaian penjawat awam cenderung untuk mengundi parti pemerintah dan bersikap kepartian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, dakwaan itu tidak benar, malah percaya bahawa setiap penjawat awam wajar bersikap berkecuali dan tidak menunjukkan kecenderungan memihak kepada mana-mana parti.
“Cuepacs berharap golongan ini dapat menjalankan tugas tersebut dengan baik demi kelangsungan pilihan raya, buat rakyat dan parti-parti politik. Pada masa yang sama, kita berharap supaya mereka ini kekal berkecuali dalam apa saja bentuk yang tidak menunjukkan bahawa mereka memihak kepada mana-mana pihak.
“Apa saja bentuk kertas undi, biarkan kekal rahsia walaupun telah buat pilihan sendiri. Kita hormati setiap undi awal ini atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap calon dan parti yang dipilih.
“Jangan menguar-uarkan kepada mana-mana pihak dan kita percaya, semua penjawat awam mengamalkan sikap berkecuali ini dan tidak terlibat berkempen semasa menjalankan pengundian tersebut,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Terdahulu, media tempatan melaporkan sejumlah 97,388 pengundi dalam kalangan anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama penentuan mandat kerajaan negeri menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dalam proses pengundian awal, hari ini.
Turut menyokong pandangan Cuepacs ialah Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Mokhtar Omar yang tidak menolak bahawa sikap berkec uali ketika mengundi perlu ada pada semua golongan penjawat awam.
“Saya bersetuju bahawa penjawat awam kena bersikap berkecuali. Hal ini bukan perkara baharu kerana daripada dahulu, ketika masih dalam perkhidmatan pun memang golongan tentera dan tentera tidak boleh menunjukkan mereka memihak kepada mana-mana parti ketika mengundi.
“Mereka berhak memilih dan memangkah mana-mana calon atau parti yang mereka rasakan tepat untuk mengemudi kawasan yang terlibat dalam PRN. Kita kena hormati, itu adalah hak dan pilihan masing-masing.
“Bagaimanapun, usah tunjukkan kecenderungan itu kepada mana-mana pihak. Berdasarkan pengalaman, saya tidak pernah melihat penjawat awam cenderung kepada mana-mana parti,” katanya. – UTUSAN











