DALAM kempen pilihan raya negeri (PRN) 2023 membabitkan Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang, banyak pihak berkongsi pemerhatian dan pandangan mereka mengenai apa yang berlaku di bawah.
Sepanjang tempoh berkempen, kita dapat lihat banyak isu penting dan manifesto parti-parti bertanding diuar-uarkan kepada para pengundi yang memberikan mereka input serta membentuk pendapat umum mengenai PRN.
Di sini timbul persoalan, apakah yang akan dipilih oleh pengundi, parti atau calon? PRN kali ini membabit komposisi pengundi berbilang kaum seperti Melayu, Cina, India dan etnik minoriti lain.
Undi Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) turut bergantung kepada pengundi berbilang kaum ini. Justeru, yang mana mesti dipilih, sama ada calon atau parti, sebenarnya satu persoalan penting.
Isu ini turut memberi kesan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun lalu apabila rata-rata pengundi dilihat memberikan isyarat jelas bahawa mereka lebih cenderung memilih parti yang dilihat dapat memberikan kestabilan kepada pembentukan kerajaan.
Bagi mereka, calon hanya memberikan impak pada skala kecil. Ini bermakna pada ketika itu, sebahagian besar daripada 21 juta pengundi termasuk 1.2 juta remaja berusia antara 18 hingga 20 tahun telah membulatkan tekad dan memilih parti yang perlu dipangkah.
Kita mesti menerima hakikat bahawa PRN 2023 ialah satu bentuk ‘referendum rakyat’ yang ingin melihat pembaharuan politik berlaku dan sudah pasti keputusan PRN ini bakal memberikan impak besar kepada Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
Jika pengundi sekadar inginkan pembaharuan kecil dalam kawasan tempat tinggalnya, maka bolehlah mengutamakan faktor calon yang ditampilkan. Pilihan ini boleh dibuat dengan mudah tanpa mengira parti mana yang diwakilinya.
Namun, jika pengundi inginkan sesuatu lebih besar, sebagai contoh, perubahan politik ataupun untuk mengekalkan status quo sedia ada baik di peringkat negeri atau negara, barangkali boleh sahaja difikirkan faktor parti yang diwakili oleh calon terbabit.
Strategi akhir dan penting mesti diperkemaskan oleh jentera parti-parti politik yang bertanding ialah melancarkan kempen supaya para pengundi membulatkan tekad mereka dengan memilih parti politik berbanding calon bertanding.
Perkara ini selari dengan sentimen yang ada di bawah. Rata-rata pengundi sekarang tidak mementingkan soal calon kerana mereka lebih kepada mahu meluahkan perasaan kepada kerajaan memerintah. Undinya bukan undi for (untuk) tetapi against (menentang) sesuatu.
Dalam kata-kata penganalisis politik, Dr. Bridget Welsh, apa yang banyak disuarakan sekarang ialah perasaan ketidakpuasan hati, kemarahan dan kebencian bercampur dengan ketakutan dan kekecewaan.
REFORMASI INSTITUSI
Kerajaan dilihat tidak mempunyai dasar dan hala tuju jelas untuk menangani pelbagai isu ekonomi yang sedang mencengkam kehidupan rakyat di pelbagai peringkat. Malah, slogan ‘reformasi institusi’ yang telah bertahun dilaungkan juga turut ‘senyap’ entah kenapa.
Selain isu calon yang tidak begitu dominan, isu tempatan dan negeri juga ditenggelami oleh perasaan ketidakpuasan hati di peringkat nasional. Dalam konteks Kedah umpamanya, rakyatnya marah kerana negeri dan Menteri Besar mereka dilihat sebagai ditindas secara berlebihan.
Lebih menjadikan PRN 2023 ini mempunyai ciri nasional ialah kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat aktif di dalamnya tidak seperti sebelum ini dalam mana Perdana Menteri seboleh-bolehnya menjauhkan diri daripada terlibat berkempen secara terus dalam PRN atau pilihan raya kecil (PRK).
Bila Perdana Menteri terlibat aktif, keputusannya pasti akan menjadi refleksi kepada penerimaan atau penolakan rakyat ke atas beliau. Jika PH-BN menang 4-2 atau 5-1 atau status quo kekal PH-BN kukuh tetapi bagaimana jika PN menang 4-2 atau 5-1?
Dalam konteks Kedah, dapat dilihat pelbagai isu dihadapkan kepada Menteri Besarnya oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet beliau menunjukkan PH-BN begitu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan negeri itu, tetapi bagaimana jika PN terus menang besar?
Terlalu aktif berkempen di luar juga boleh menimbulkan persoalan kerana mereka sepatutnya fokus berada di pejabat dan bekerja kerana cabang eksekutif ialah pelaksana, bukan penceramah. Orang menilai mereka bukan daripada ceramah tetapi hasil kerja mereka.
Strategi yang lebih baik untuk PH-BN sepatutnya ialah cuba fokus untuk mengekalkan penguasaan di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang kerana mereka pasti selamat jika ini dapat dilakukan tetapi tumpuan berlebihan kepada Kedah boleh backfire.
Pujian perlu diberi kepada wartawan Utusan Malaysia, Muhamad Aimy Ahmad kerana berani melaporkan perkara sebenar di lapangan, iaitu serangan bertali arus tidak menggoyahkan malah ‘gelombang Sanusi’ memungkinkan PN meraih kemenangan lebih besar di Kedah.
Serangan bertali arus dilihat tidak memberikan kesan malah lebih memantapkan lagi sokongan kepada Sanusi (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor). Rakyat berfikir, kenapa Sanusi perlu diserang atau dicabar untuk berdebat sedangkan isu-isu diperkatakan sepatutnya diselesai melalui sistem perundangan.
Wartawan seperti juga cendekiawan, ada tanggungjawab menyampaikan kebenaran. Walaupun kebenaran itu mungkin tidak disukai oleh pihak yang berkepentingan, tetapi penyampainya akan dikenang oleh sejarah kerana ketulusan dan keberanian mereka.
Semoga dalam masa berbaki ini, para pengundi dapat membulatkan tekad mereka dan membuat keputusan memilih parti politik terbaik untuk mewakili mereka sebagai kerajaan berbanding calon yang jika parti kalah, tidak akan mampu berbuat apa-apa. – UTUSAN
PENULIS ialah Felow Penyelidik Bersekutu di Institut Hal-Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD), Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).











