MELAKA: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh akan diketuai Naib Ketua Pemudanya, Azhan Ishak selaku pemangku selepas Ketua Pemuda, Afiq Amani Annuar mengumumkan keluar parti.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kekuatan sebagai pemimpin dan pendukung parti adalah untuk kekal berada dalam barisan perjuangan tatkala ia diuji hebat.
Tegasnya, pemimpin sebenar tidak lari meninggalkan parti saat UMNO dalam serba kepayahan dan kekal bersama hanya ketika manis dan senang.
“Pemuda UMNO akan terus istiqamah dalam meneruskan dan menggalas tanggungjawab untuk memperkukuhkan UMNO. Pemimpin itu datang dan pergi, patah tumbuh hilang berganti, perjuangan UMNO tetap diteruskan.
“Tindakan keluar parti secara beramai-ramai tidak sesekali akan merencatkan semangat rakan-rakan Pemuda yang lain yang masih setia, bersusah payah dan akan terus mengangkat perjuangan ini walau dalam keadaan yang susah mahupun senang.
“Suka untuk saya ingatkan dan berpesan kepada rakan-rakan Pemuda, perjuangan kita ini tidak berlandaskan individu atau mana-mana figura politik, tetapi perjuangan Pemuda dalam UMNO adalah untuk meneruskan fungsi dan peranan institusi dalam merekrut anak muda, memelihara perjuangan agama, bangsa dan tanah air,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Afiq Amani membuat keputusan mengejut keluar parti kerana mahu berehat daripada arena politik tanah air.
Afiq Amani yang juga anak kepada Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu dibuat berpandukan kepada keadaan UMNO kini yang dilihat sudah lari daripada landasan perjuangan sebenar.
Menurutnya, perkara itu jelas dilihat selepas UMNO mengambil keputusan untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan sehingga mengenepikan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MIC serta MCA.- UTUSAN










