Pas Pulau Pinang syor Dominic bawa jentera sendiri

Pas Pulau Pinang syor Dominic bawa jentera sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pas Pulau Pi­nang mengesyorkan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas membawa jentera kempen beliau sendiri.

Pesuruhjaya Pas Pulau Pi­nang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, tidak timbul isu Pas negeri memboikot Dominic ke­rana parti (Pas) itu sendiri tidak cukup ahli untuk membantu.

“Sekarang masing-masing ber­tanding kena bawa jentera ma­sing-masing, jadi Dominic kena bawa jentera dia.

“Kita pun tidak cukup (jentera), malah jentera kita sebenar­nya ada kawasan yang kena bantu juga, jadi siapa yang bertanding dia kena ketuai jentera di situ dan bawa jentera masing-masing,’’ katanya kepa­da Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas dakwaan jen­tera Pas yang dikatakan tidak turun bersama membantu kempen Dominic di Bayan Lepas.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata, pihaknya akur dengan arahan Pas Pusat supaya menjernihkan semula hubu­ngan dengan Presiden Gerakan itu selepas insiden di Sungai Dua, Selasa lalu.

Katanya, Pas negeri akan bertemu dengan semua ahli kawasan setempat, masyarakat sekitar dan sebagainya untuk menerangkan situasi berkenaan.

“Kita akan berusaha untuk murnikan keadaan (hubungan Pas dengan Dominic), kita kena berjumpa dan usahakan dengan cara cermat.

“Murnikan keadaan itu ma­cam kita akan bertemu dengan semua ahli, masyarakat akan pastikan semua benda dengan baik. Kita tengok cara macam mana akan bincang, tengok apa yang sesuai dengan keadaan dan apa yang Pas Pusat arahkan,” uarnya.

Sebelum ini, tular video di media sosial melibatkan insiden layanan ahli Pas terhadap Dominic dalam ceramah mega ‘PN Best’ di Sungai Dua, Selasa lalu.

Ceramah mega itu turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Pengerusi Perhubungan Bersatu Pulau Pinang yang juga calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Zulkifli Bakar.

Susulan insiden itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan yang menjelaskan Pas Pusat tidak merestui insiden berkenaan.

Katanya, pemilihan Dominic sebagai calon di DUN Bayan Lepas melalui semua proses dan melepasi syarat ditetapkan, sekali gus semua ahli dan penyokong perlu menerimanya.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata, salah satu petanda ahli Pas akur arahan dan ketetapan yang dibuat oleh Pas Pusat ialah tidak ada ahlinya yang bertanding sebagai calon Bebas.

“Kita akur dan tidak bertan­ding Bebas, itu maknanya kita akur dan telah memberi ruang kepada Dominic,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×