SEREMBAN: Sebanyak dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini yang ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini dikategorikan sebagai kerusi kelabu (dijangka sukar) kini dilihat sudah beralih kepada kerusi putih (berpeluang cerah menang).
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dapatan isu selepas seminggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 berlangsung dan ia menunjukkan sokongan yang diterima parti itu di peringkat akar umbi makin kukuh.
“Ada satu dua kawasan yang kami tahu di peringkat awal ada permasalahan, ada sedikit salah sangka dan salah komunikasi.
“Bagaimanapun, perkara tersebut telah selesai dan Alhamdulillah telah mula dapat diputihkan dan calon (yang bertanding) juga telah menerangkan kepada jentera pilihan raya.
“Kami telah menerangkan kepada pengundi dan nampaknya ada sedikit peningkatan baik daripada segi sokongan dan kami yakin isu yang ditimbulkan di peringkat awal itu dapat kita selesaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Taman Paroi Jaya hari ini.
Aminuddin yang juga calon bagi DUN Sikamat bagaimanapun tidak memberitahu dua kerusi yang dimaksudkannya itu.
Pada PRN Ke-15 kali ini, PH bertanding di 19 kerusi daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN di Negeri Sembilan manakala 17 kerusi lagi ditandingi oleh Barisan Nasional (BN).
Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, PH menang sebanyak 20 kerusi DUN manakala baki 16 kerusi dimenangi oleh BN.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, gabungan parti PH dan BN akan melancarkan manifesto secara bersama yang dijangka pada hari Ahad ini.
“Alhamdulillah, pagi tadi saya sudah berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan jawatankuasa manifesto, ia di peringkat akhir dan insya-Allah akan dilancarkan Ahad ini.
“Kami sudah dalam proses untuk cetak (manifesto) tersebut. Ia untuk rakyat keseluruhannya dan kami menambah baik manifesto agar masyarakat menerima nikmat kejayaan Negeri Sembilan itu sendiri,” katanya lagi.-UTUSAN.










