BUTTERWORTH: Calon Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Prai, H. Vikneswary tidak gentar berdepan dengan nama-nama besar biarpun pertama kali bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Penuntut tahun akhir Ijazah Kedoktoran Pentadbiran Perniagaan, Universiti Terbuka Wawasan itu mengakui, beliau berdepan persaingan getir dan cabaran berat untuk mendapatkan sokongan pengundi di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, tambahnya, situasi itu tidak mematahkan semangatnya untuk membawa suara politik baharu dan alternatif kepada pengundi dalam memilih wakil rakyat mereka.
“Sebab itu saya gunakan pendekatan berbeza bagi mendengar keluhan sekali gus menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat di DUN Prai.
“Saya tidak mahu berjanji kerana khuatir tidak dapat ditepati, namun akan menggunakan pengalaman yang dimiliki sepanjang berkecimpung dalam arena politik bagi menyampaikan suara mereka ke peringkat tertinggi.
“Pengalaman yang diperolehi akan digunakan bagi mencapai kemenangan, namun andainya sebaliknya berlaku, saya tetap dan sentiasa ada untuk rakyat,” katanya di sini baru-baru ini.
Selain Vikneswary, kerusi DUN Prai itu akan direbut tiga lagi calon iaitu Datuk Seri S. Sundarajoo (PH); David Marshall (Bebas) dan R. Sivasuntaram (PN) dalam persaingan empat penjuru.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pentas PRN kali ini juga akan digunakan beliau sebagai platform untuk berkongsi ideologi MUDA bersama pengundi.
“Sesi ramah mesra dan ‘walkabout’ menjadi medium bagi menyampaikan hasrat dan objektif dalam membawa perubahan suara pengundi.
“Saya berharap penduduk setempat akan menggunakan peluang ini dan tidak mensia-siakan hak mereka dalam menentukan bakal pemimpin mereka pada 12 Ogos nanti,” katanya. – UTUSAN










