Sanusi pernah lawat lombong haram REE Sik – Saifuddin

Sanusi pernah lawat lombong haram REE Sik – Saifuddin

SAIFUDDIN Nasution Ismail menunjukkan dokumen berkaitan pendedahan yang dibuat dalam isu REE pada sidang akhbar di Jitra, Kubang Pasu, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa pernah mengadakan lawatan ke kawasan perlombongan haram unsur nadir bumi (REE) Bukit Enggang di Sik pada 19 Februari lalu.

Namun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, yang menghairankan tiada tindakan serius diambil berhubung kegiatan itu.

“Dia tengok sendiri bagaimana kemusnahan kawasan ini, bagaimana cari gali yang secara intensif dilakukan melibatkan kawasan yang luas. Namun sejak tarikh itu tiada tindakan yang benar-benar serius diambil oleh beliau usai lawatan ke lokasi kejadian,” katanya.

Saifuddin turut menunjukkan gambar lawatan Menteri Besar dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama (BGU) Dewan Undangan Negeri (DUN), Jitra di sini, semalam.

Sementara itu, beliau turut mempertikaikan keterlibatan Pe­jabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah yang disifatkan perlu memainkan peranan melakukan siasatan dalam kes perlombongan REE itu.

“Saya teliti pelbagai peruntukan dalam enakmen berkaitan, menghairankan walaupun isu ini sangat serius, tiada kertas siasatan dibuka untuk menangani perlombongan haram dan kecurian berterusan. Sekurang-kurangnya ada tujuh fasal yang sepatutnya dikawal selia oleh PTG,” jelasnya.

Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan, pendedahan berhubung kaitan Muhammad Sanusi dengan individu warga China, So Loi Fat adalah berdasarkan bukti-bukti surat dan gambar yang dimilikinya, maka beliau tidak gentar dengan kenyataan Menteri Besar untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Orang putih kata see is belie­ving. Kaitannya ini surat Sanusi kepada Menteri (Dalam Negeri), minta pas lawatan ikhtisas. Tak ada kaitan di mana? Nak saman, samanlah tetapi surat ini daripada Pengerusi Prospek Suria,” katanya.

Mengulas kenyataan Muhammad Sanusi bahawa beliau memiliki peluru terakhir untuk menteri itu, kata Saifuddin, beliau juga tidak akan berhenti mendedahkan kepincangan berkaitan REE yang menjadi aset rakyat Kedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×